Liverpool di Liga Juara-Juara: Air Mata, Nasib Malang dan Misi Bangkit Semula

Mohamed Salah menangis. Bukan sebab bawang atau gas pemedih mata tapi sebab impiannya nak angkat trofi Liga Juara-Juara buat kali kedua hancur berkecai.

Liverpool dah tersingkir dan harapan Salah untuk menang Ballon d’Or makin pudar, tak kisahlah berapa banyak rekod yang dia pecahkan dalam liga.

Darwin Nunez dan Curtis Jones pula termenung panjang, mungkin fikir nak tukar profesion sebab sepakan penalti mereka diselamatkan Gianluigi Donnarumma, si penjaga gol yang macam ada kuasa ghaib.

Trent Alexander-Arnold pula terpaksa keluar awal gara-gara kecederaan buku lali. Dia sekarang menunggu imbasan untuk tahu sama ada boleh main final Piala Carabao lawan Newcastle United atau tak.

Ibrahima Konaté sampai kejang otot sebab terlalu penat dan Alisson Becker pula nampak macam tak percaya yang dia boleh berada di pihak yang kalah walaupun beraksi macam Superman sepanjang perlawanan.

Nasib baik ada Virgil van Dijk. Walaupun dengan hati yang remuk, dia terus jalankan tugas sebagai kapten, angkat rakan sepasukan yang dah layu macam sayur terlebih masak.

Rekod Malang Arne Slot

Buat Arne Slot, kekalahan ini lebih daripada sekadar “bad day at the office.” Ini kali pertama dalam sejarah Liverpool mereka terkeluar dari kejohanan Eropah walaupun menang perlawanan pertama di tempat lawan.

Lebih parah, ini juga kali pertama Liverpool kalah dalam penentuan penalti di Liga Juara-Juara. Kalau dulu mereka pernah menang dramatik pada final 1984, 2005 dan separuh akhir 2007 lawan Chelsea, kali ini nasib tak menyebelahi mereka.

Sepatutnya perjalanan Liverpool di Eropah musim ni boleh menjadi lebih gemilang. Mereka sudah kalahkan Bayer Leverkusen dan Real Madrid, 2 juara liga masing-masing. Tapi bila dapat PSG dalam undian pusingan 16, ia ibarat dapat soalan bocor tetapi tetap tersalah jawab dalam peperiksaan.

Banyak perkara yang boleh mengubah keputusan. Kalau lah Salah lebih tajam depan gol masa awal perlawanan, kalau lah tandukan Jarell Quansah tak terkena tiang, mungkin cerita malam tu berbeza. Malangnya cerita “kalau” tak boleh ubah realiti.

Slot pun mengaku bahawa kekalahan ini cukup pahit dan dia cuba ambil iktibar.

“Perlawanan paling gila yang pernah saya sertai. Intensiti luar biasa,” katanya.

“Kalau tengok 90 minit pertama, kami tak layak kalah. Tapi kalau tengok 180 minit, mungkin seimbang. Tapi kalau nak menang kejohanan ini, kena kalahkan pasukan besar macam PSG—dan kami tak buat.”

Misi Bangkit: Boleh Move On Ke Tak?

Arne Slot sekarang kena buat kerja lebih sikit. Ini merupakan kekalahan ke-5 Liverpool dalam 46 perlawanan pada musim ni, tapi tak ada satu pun yang seteruk ini.

Kalau kalah kepada Nottingham Forest dalam liga dulu, boleh anggap itu sekadar off day. Kalah kepada Tottenham dalam separuh akhir pertama Piala Carabao? No problem, boleh tebus balik di Anfield. Kalah kepada PSV dan Plymouth Argyle? Itu pun tak jadi isu sebab Liverpool turun dengan barisan simpanan.

Tapi kali ni, kesannya lebih mendalam. Slot dan pasukannya kena pastikan kekecewaan ni tidak mengganggu baki musim mereka.

“Mungkin ini bukan masa nak cakap benda ni kepada pemain, tapi saya boleh cakap di sini: musim lepas, kami langsung tak masuk Liga Juara-Juara. 2 musim lalu, kami tersingkir selepas kena belasah 5-2 dengan Real Madrid di Anfield. Kalau nak tersingkir, biarlah dengan cara terhormat, bukan kena buli,” katanya.

Piala Carabao: Peluang Tebus Kekecewaan

Dengan Alexander-Arnold cedera dan Joe Gomez masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan, Quansah nampaknya akan main di posisi bek kanan dalam final Piala Carabao lawan Newcastle. Slot mungkin menyesal tak rehatkan lebih ramai pemain ketika lawan Southampton sebelum ini kerana PSG rehatkan 8 pemain utama sebelum perlawanan semalam. Akibatnya, Liverpool nampak penat dan kurang bertenaga dalam masa tambahan.

Sekarang, Liverpool kena fokus perlawanan di Wembley. Trofi Piala Carabao mungkin bukan sebesar Liga Juara-Juara, tapi menang tetap memang. Kalau berjaya menang, Liverpool akan memegang rekod kejuaraan ke-11 dalam pertandingan itu. Iasatu pencapaian yang masih boleh dibanggakan.

Impian treble memang dah berkecai tapi mereka masih boleh dapat double. Itu pun dah cukup hebat untuk musim pertama Slot sebagai pengurus.

Lepas final Piala Carabao, Liverpool akan berehat 17 hari sebelum sambung aksi liga lawan Everton. Dengan Arsenal ketinggalan 15 mata, kejuaraan liga sudah semakin hampir.

Ya, tersingkir dari Liga Juara-Juara memang sakit. Tapi itu bukan penamat musim Liverpool. Slot kena cepat ubah mood pasukan dan pastikan mereka kembali kuat untuk terus buru trofi.

Liverpool sudah jatuh. Tapi persoalannya sekarang adalah mereka boleh bangkit balik ke tidak?

BACA:  Premier League 2021/22: Liverpool 4-0 Manchester United (Agg. 9-0)