Liverpool Diundi Sebagai Pasukan Paling Dibenci Di England

Liverpool telah diundi sebagai kelab paling dibenci dalam saingan Premier League pada ketika ini, hasil undian para peminat.

Pada awal bulan baru-baru ini, pengurus Manchester City tampil mengeluarkan dakwaan tak masuk akal dengan menyatakan yang seluruh negara mahu melihat Liverpool menjuarai saingan Premier League musim ini.

“Semua orang di negara ini menyokong Liverpool, media dan semua orang.”

Jelas Pep Guardiola selepas tamat aksi kemenangan 5-0 Man City bertemu Newcastle United.

Beliau kemudiannya mendapat sokongan mengejut dari pengurus Chelsea, Thomas Tuchel.

“Saya boleh faham mengapa dia (Guardiola) ada perasaan seperti itu. Secara amnya saya boleh katakan sukar untuk mempertikaikan hal itu.”

Jelas Thomas Tuchel menjelang aksi perlawanan akhir saingan FA Cup bertemu Liverpool.

“Saya tak kata saya sokong 100 peratus tapi saya boleh nampak. Memang ada simpati yang mendalam untuk Liverpool di negara ini.”

Walau bagaimanapun, media SPORTbible ada membuat poll di laman twitter untuk mengkaji kebenaran di sebalik kenyataan dari kedua-dua pengurus itu.

Para peminat di media sosial walau bagaimanapun memilih Liverpool sebagai pasukan paling di benci dalam saingan Premier League berbanding Manchester United, Chelsea dan Arsenal.

Dari 28,602 undian, 41.6 peratus memilih Liverpool sebagai kelab yang paling mereka benci dari empat kelab gergasi Premier League itu.

Manchester United berada di kedudukan kedua dengan menerima 35.1 peratus undian, sementara Chelsea di kedudukan ketiga dengan 14.3 peratus undian.

Arsenal merupakan antara kelab paling disayangi dari keempat-empat kelab tersebut dengan mereka hanya ada sembilan peratus sahaja pembenci.

Selain dari empat kelab itu, para peminat turut menyebut nama Leeds United dan Tottenham Hotspur sebagai antara kelab yang paling banyak pembenci.

Liverpool baru-baru ini turut dihentam teruk oleh para peminat kerana sikap para penyokong mereka yang memboo Prince William dan mengganggu nyanyian lagu kebangsaan.

Jurgen Klopp walau bagaimanapun tampil mempertahankan para penyokong selepas beliau ditanya tentang hal tersebut.

Pandangan Jurgen Klopp tentang sikap penyokong Liverpool

Pengurus The Reds, Jurgen Klopp tampil memberi pandangan beliau tentang sikap penyokong Liverpool yang memboo lagu kebangsaan ketika aksi perlawanan akhir saingan FA Cup kemarin.

Menjelang aksi perlawanan akhir yang dilangsungkan di Wembley itu, para penyokong Liverpool memboo lagu ‘God Save The Queen’, yang mana budaya menyanyikan lagu itu sudah bermula sejak 1927 lagi.

Prince William yang juga merupakan presiden Persatuan Bola Sepak turut teruk kena boo ketika beliau bersalaman dengan para pemain menjelang aksi sepak mula perlawanan.

Penyokong Liverpool di dalam stadium teruk dihentam sejak beberapa hari kebelakangan ini dan Klopp sendiri turut ditanya tentang hal tersebut.

Ketika temu bual sebelum perlawanan bertemu Southampton, Jurgen Klopp telah ditanya tentang pandangan beliau berkait sikap para penyokong Liverpool itu.

Menurut Neil Jones dari Goal, Klopp ketika itu menjelaskan bahawa:

“Sudah tentu, saya ada pandangan sendiri, tapi dalam situasi ini, soalan terbaik adalah mengapa ini berlaku? Orang-orang tak akan lakukan itu tanpa ada sebab tertentu. Mungkin kita patut tanya soalan ini.”

Liverpool dalam perlawanan itu berjaya menewaskan Chelsea 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit permainan.

Mason Mount gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir selepas diselamatkan oleh Alisson Becker, sementara Kostas Tsimikas pula menjadi wira menyempurnakan sepakan penalti akhir Liverpool untuk mengesahkan gelaran FA Cup mereka musim ini.

Isu berkait tindakan para penyokong memboo lagu kebangsaan England dan isu berkait lagu ‘Abide By Me’ terus menerus mencetuskan perbalahan di laman media sosial.

Hal berkait penyokong Liverpool memboo lagu kebangsaan England sudah berlaku sejak sekian lama dahulu lagi.

Hal itu berlaku kerana isu berkait pengurusan kerajaan Konservatif di bandar tersebut pada tahun 1980 an dahulu.

Kegagalan kerajaan dan ditambah pula dengan peristiwa Hillsborough pada tahun 1989, yang mana hal itu telah mengorbankan 97 orang penyokong Liverpool, menambahkan lagi kebencian warga Merseyside itu.

Petarung UFC, Paddy Pimblett merupakan penyokong tegar Liverpool dengan beliau turut tampil di media sosial untuk menghentam semula kenyataan dari pemain midfield Premier League, Curtis Woodhouse.

Curtis Woodhouse menganggap tindakan para penyokong Liverpool itu sebagai satu hal yang sangat memalukan.

Pimblett yang sebelum ini turut mengharamkan The Sun dari bertanya apa-apa soalan kepadanya dalam sidang media menghentam Woodhouse kerana tak faham kenapa penyokong Liverpool bertindak seperti itu.

“Hal yang paling memalukan adalah kamu sangat tahu mengapa ia berlaku dan kamu hari ini datang sini tulis tentang reaksi mereka macam budak enam tahun, kamu betul-betul perlu membesar, kamu tahu itu kawan.”

Petarung berusia 27 tahun itu kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Kenapa kamu mempersoalkan mengapa kami boo mereka? Jika kamu faham, kamu tak akan pernah tanya soalan macam itu.”

Selepas menjuarai saingan FA Cup, Liverpool kini sudah sah memenangi dua Piala dari empat pertandingan yang mereka sertai musim ini.

Menariknya lagi, Liverpool masih mampu untuk memenangi dua lagi baki pertandingan itu kerana mereka bakal turun bertemu Real Madrid dalam aksi perlawanan akhir saingan Champions League.

Liverpool juga berpotensi untuk memintas Manchester City di puncak saingan Premier League selepas skuad kendalian Pep Guardiola itu sekadar seri bertemu West Ham semalam.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2021/22: Tottenham 2-2 Liverpool