Liverpool Sudah Merancang Laluan Untuk Sambutan Liga Perdana Inggeris & Liga Juara-Juara

Walaupun musim masih belum melabuhkan tirainya, Liverpool nampaknya sudah 100 langkah di hadapan kerana mereka dilaporkan sudah memuktamadkan laluan yang akan dilalui bas yang membawa para pemain sekiranya Liverpool bergelar juara Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Musim 2018-2019 menyaksikan anak buah Jurgen Klopp melalui musim yang cukup menakjubkan. Dengan saingan liga masih berbaki 1 perlawanan sahaja lagi, Liverpool masih lagi berpeluang untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris sekiranya Manchester City keciciran mata menentang Brighton manakala Liverpool berjaya mengutip mata penuh menentang Wolves.

Liverpool pasukan pilihan untuk bergelar juara Eropah musim ini

Walaupun begitu, agak sukar untuk melihat Manchester City keciciran mata selepas berhempas pulas sepanjang musim mengejar Liverpool dan akhirnya 2 mata di hadapan selepas melalui 37 perlawanan.

Di peringkat Eropah pula, Liverpool mempamerkan kebangkitan luar biasa dan akan diingati untuk satu tempoh yang amat lama apabila menyingkirkan Barcelona walaupun tewas 3-0 dalam perlawanan pertama di Nou Camp minggu lalu.

Stadium Anfield menjadi saksi kebangkitan luar biasa Liverpool apabila mereka berjaya menjaringkan 4 gol untuk menyingkirkan pasukan pilihan dari Sepanyol itu. Ramai yang menganggap ia sebagai kebangkitan paling menakjubkan yang pernah disaksikan, menyamai peristiwa ‘Istanbul Miracle’ yang berlaku lebih 14 tahun dahulu.

Laluan sudah ditetapkan walaupun trofi belum dimenangi. Confident tak salah!

Divock Origi dan Gergio Wijnaldum masing-masing menjaringkan dua gol untuk menghantar Liverpool ke perlawanan akhir dan mereka dijadual akan bertemu Tottenham Hotspur di Madrid pada penghujung bulan nanti.

Liverpool masih mempunyai beberapa minggu untuk mempersiapkan pasukan bagi pertemuan paling penting itu tetapi buat masa sekarang, fokus mereka sudah tentu terarah kepada Liga Perdana Inggeris dimana Wolves bakal menjadi lawan terakhir mereka musim ini.

Liverpool boleh menewaskan Wolves dengan seberapa banyak gol yang mereka mahu tetapi mereka perlu berharap Manchester City keciciran mata ketika menentang Brighton jika mahu bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim ini.

Perarakan meraikan kejayaan Liverpool musim ini. Adakah mereka akan membolot kedua-dua trofi tersebut?

Walaupun sedar kejuaraan liga bukan lagi berada di dalam tangan mereka, ia tidak menghalang Liverpool untuk merancang laluan yang akan dilalui bas yang membawa pemain sekiranya mereka berjaya muncul juara Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.

Menurut laporan, Liverpool sudah berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi merangka pelan bagi sambutan kemenangan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.

Andai kata Liverpool berjaya memenangi kedua-dua pertandingan tersebut, perarakan bagi meraikan kejayaan muncul juara liga akan diadakan pada 13 Mei nanti.

Manchester City memilih untuk tidak berburu-buru. Risau yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Tawadhu’

Manakala perarakan bagi meraikan kejayaan bergelar juara Eropah akan diadakan lebih lewat, iaitu pada 2 Jun nanti.

Pada kedua-dua tarikh tersebut, bas yang membawa pemain akan melalui Allerton Maze disusuli dengan Queens Drive, Mill Bank, West Derby Road, Islington, Leeds Street, The Strand dan Blundell Street.

Fakta menarik di sini adalah Manchester City masih belum membuat sebarang perancangan dalam hal tersebut tetapi Majlis Perbandaran Manchester mengesahkan kepada BBC yang mereka sudah berada dalam keadaan bersedia sekiranya dihubungi pihak kelab.

BACA:  Klopp Meraikan Jaringan Dengan Mengejek Pembantu Pengadil