“Liverpool Tengah Kena Uji, Tapi Kejuaraan Masih Dalam Tangan” – Van Dijk

Liverpool kini melalui tempoh sukar selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut. Namun, kapten mereka, Virgil van Dijk, menegaskan bahawa peluang untuk memenangi trofi terbesar musim ini masih ada dan pasukan tidak boleh berputus asa.

Dalam tempoh seminggu, pasukan bimbingan Arne Slot tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG), diikuti kekalahan dalam perlawanan akhir Piala Carabao kepada Newcastle United. Kekalahan ini memberi tamparan hebat kepada Liverpool, tetapi Van Dijk mahu pasukannya segera bangkit kerana kejuaraan Liga Perdana Inggeris masih boleh dimenangi.

Ketika ini, Liverpool mendahului Arsenal dengan kelebihan 12 mata dan hanya berbaki 9 perlawanan. Van Dijk percaya bahawa pasukannya tidak perlu berasa kecewa terlalu lama kerana mereka masih berpeluang untuk meraih kejayaan.

Bangkit Dari Kegagalan

Selepas perlawanan di Stadium Wembley, Van Dijk mengakui bahawa 2 kekalahan dalam tempoh 5 hari membuatkan situasi kelihatan teruk.

“Kami perlu mengubah keadaan ini. Beginilah dunia bola sepak. Dalam masa 5 hari, anda tewas 2 kali dan rasanya seperti dunia sedang tenggelam. Tapi 2 minggu lepas, semuanya nampak indah,” katanya.

“Liga Juara-Juara kami gagal, Piala Carabao kami kalah, Piala FA pun kami tersingkir. Sekarang hanya tinggal Liga Perdana Inggeris dan ini adalah hadiah terbesar yang kami kejar sejak awal musim. Tiada siapa sangka kami akan bersaing untuk kejuaraan liga. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dimenangi dan kami perlu bekerja keras untuknya.”

Van Dijk turut mengingatkan rakan sepasukan bahawa selepas rehat antarabangsa, mereka perlu bersedia untuk perlawanan getir menentang Everton pada 2 April nanti.

Tewas Di Wembley: Kesilapan Sendiri
Van Dijk tidak menafikan bahawa Liverpool bermain dengan teruk ketika menentang Newcastle. Baginya, keputusan itu memang layak diterima berdasarkan persembahan hambar pasukan di atas padang. Namun, dia menolak faktor keletihan akibat perlawanan sengit menentang PSG sebagai punca utama kekalahan.

“Kami tidak cukup bagus. Newcastle bermain dengan cara mereka yang tersendiri – agresif, banyak cabaran fizikal, bijak mendapatkan sepakan percuma dan memanfaatkan situasi bola mati,” jelasnya.

“Mereka bermain dengan penuh semangat dan kami pula beri mereka keyakinan untuk menang. Itu yang paling mengecewakan.”

Liverpool juga gagal mencipta banyak peluang sepanjang perlawanan, dan Van Dijk memuji pertahanan Newcastle, terutamanya Dan Burn, yang beraksi dengan cemerlang.

Fokus Baru: Tugasan Antarabangsa

Selepas kekalahan di Wembley, Van Dijk kini perlu memberi tumpuan kepada tugasan bersama skuad kebangsaan Belanda. Dia sedar sebagai kapten, dia tidak boleh terus bersedih dan perlu segera menyesuaikan diri untuk perlawanan antarabangsa menentang Sepanyol.

“Kehidupan seorang pemain bola sepak tidak membenarkan anda berasa kecewa terlalu lama. Esok pukul 2 petang, saya sudah berada di kem Belanda. Saya tidak boleh datang dengan muka muram kerana kami perlu bersedia menghadapi rehat antarabangsa,” katanya.

“Saya sangat kecewa, memang sakit untuk terima kekalahan ini, tetapi begitulah kehidupan pemain bola sepak. Anda perlu segera bangkit, terutamanya ketika musim masih berlangsung.”

Liverpool mungkin sedang melalui saat sukar, tetapi harapan untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris masih ada. Kini, segalanya bergantung kepada bagaimana mereka bangkit selepas rehat antarabangsa untuk memastikan trofi idaman tidak terlepas dari genggaman.

BACA:  Penyokong Liverpool Pertikai Mengapa Gol Salah Dibatalkan Tetapi Gol Fernandes Tidak?