Lukaku Mengidam Untuk Bermain Di Itali, Anggap Juventus Pasukan Yang Hebat

Penyerang antarabangsa Belgium, Romelu Lukaku tidak menolak kemungkinan untuk meninggalkan Manchester United pada masa hadapan untuk bermain di Itali, dan mendakwa juara bertahan Serie A, Juventus mempunyai projek yang hebat.

Bekas penyerang Everton dan Chelsea itu bermain dalam 10 dari 11 perlawanan keseluruhan Red Devils musim ini tetapi hanya mampu menjaringkan 4 gol sahaja. Lukaku menerima kritikan dari pelbagai pihak atas ketumpulan beliau di hadapan gol musim ini dan menjadi antara penyebab utama Manchester United berada di kedudukan ke-8 Liga Perdana Inggeris selepas 8 perlawanan.

Kerana risau mandul di Old Trafford, Lukaku ingin mencari jalan mudah dengan menyertai Juventus

Namun begitu, prestasi Lukaku di peringkat antarabangsa nyata berbeza seperti langit dan bumi jika hendak dibandingkan dengan prestasi beliau bersama United. Dalam perlawanan Belgium terdahulu, beliau muncul wira untuk Belgium apabila menjaringkan dua gol untuk menewaskan Switzerland 2-1 dalam kejohanan Nations League.

Pada usia baru mencecah 25 tahun, Lukaku telah menjaringkan 45 gol untuk Belgium dari 78 perlawanan. Ia merupakan statistik yang hebat dan sukar untuk ditandingi mana-mana penyerang sekarang.

Lukaku masih mempunyai baki kontrak yang lama bersama Manchester United dimana kontraknya hanya akan tamat pada tahun 2022. Lukaku yang berpindah ke Old Trafford dari Everton tahun lepas menandatangani kontrak selama 5 tahun dengan option tambahan selama 12 bulan.

Sarjan Lukaku hero untuk Belgium dengan dua gol ketika menewaskan Switzerland.

Namun begitu, ia tidak sekali-kali menghalang Lukaku untuk memasang impian untuk meninggalkan Manchester United pada masa hadapan. Dalam satu temu ramah dengan Gazzetta dello Sport, Lukaku telah ditanya mengenai kemungkinan bermain di Itali pada satu tahap dalam kariernya selepas ini.

“Kenapa tidak ? Saya berharap ia akan berlaku.”

Lukaku juga memuji kekuatan juara bertahan Serie A, Juventus dan menganggap pasukan tersebut antara pasukan terhebat di dunia ketika ini. Lukaku bakal berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman bermain di stadium Turin apabila United berkunjung ke Itali untuk menentang Juventus pada November nanti dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.

“Juventus mempunyai projek hebat yang sedang berjalan. Setiap tahun, pasukan tersebut semakin bertambah kuat.”

“Tanpa ragu-ragu, Juventus merupakan salah satu dari tiga pasukan terkuat di Eropah ketika ini. Mereka mempunyai jurulatih yang hebat di bangku simpanan dan pemain berkualiti tinggi dalam setiap posisi.”

“Cristiano Ronaldo paling menonjol, tetapi anda perlu berhati-hati dengan pemain lain juga. Paulo Dybala juga pemain yang bagus dan bertambah baik, dan saya juga meminati permainan Douglas Costa.”

Lukaku bukan seorang sahaja yang memasang niat untuk mencuba nasib di Itali kerana pengurus Manchester City, Pep Guardiola juga mempunyai keinginan untuk merasai sendiri pengalaman menguruskan pasukan di Serie A.

Lukaku tidak keseorangan kerana Pep juga mahu merasai nikmat memenangi Serie A

“Bangku simpanan di Itali ? Mengapa tidak ?”

“Saya tidak pernah cakap yang saya akan pergi ke Jerman dan mempelajari bahasa Jerman. Makanan di Itali juga sedap.”

“Bertahan dengan baik merupakan satu bakat dan Itali adalah mahaguru dalam aspek bertahan.”

BACA:  Jesus Kecewa Tidak Dibenarkan Mengambil Sepakan Penalti