Lukaku Yakin United Akan Berbelanja Besar Musim Panas Nanti

Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku percaya pasukannya akan bergiat aktif dalam pasaran perpindahan pemain musim panas nanti dengan membawa masuk beberapa pemain berkualiti bagi memperkuatkan pasukan.

Lukaku merupakan pembelian termahal United pada musim panas yang lalu dengan yuran perpindahan yang mampu mencecah £90 juta. Menurut Lukaku lagi, terdapat beberapa pemain berkualiti akan menyertai Red Devils untuk musim 2018/2019.

Masa untuk membazir telah tiba !

Pengurus United, Jose Mourinho berbelanja besar pada tirai perpindahan musim panas yang lepas dengan membawa masuk pemain seperti Lukaku, Nemanja Matic, dan Victor Lindelof.

Tidak cukup dengan itu, beliau berjaya meyakinkan Alexis Sanchez untuk berpindah ke Old Trafford dengan menawarkan pakej gaji yang lumayan kepada bekas pemain Arsenal itu. Tindakan Mourinho mendapatkan khidmat Sanchez telah mengecewakan Pep Guardiola yang sangat berminat untuk membawa pemain tersebut ke Etihad Stadium.

Walaupun berbelanja sakan musim ini, skuad Mourinho nyata gagal untuk mempamerkan prestasi seperti yang dikehendaki dan mereka baru sahaja disingkirkan Sevilla dari saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam peringkat domestik pula, mereka ketinggalan 16 mata di belakang Manchester City dan kini sedang bersaing untuk mendapatkan slot automatik ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Gol ke-25 Lukaku dalam semua pertandingan

Walaubagaimanapun, mereka masih lagi berpeluang untuk meraih sesuatu musim ini dimana mereka baru sahaja layak ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi, United berjaya mengenepikan cabaran Brighton di hadapan penyokong sendiri dengan keputusan 2-0, hasil jaringan Lukaku dan Matic.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Lukaku berkata United akan aktif dalam pasaran perpindahan pemain seterusnya dengan membawa masuk beberapa pemain yang berkualiti untuk memperkuatkan pasukan.

“Kami adalah Manchester United, kami perlu memperkuatkan pasukan setiap tahun dan saya tahu akan ada beberapa pemain yang bagus dibawa masuk musim hadapan. Itu saya amat pasti.”

“Saya tidak sabar untuk melihat pemain baru dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan ini. Pengurus [Jose Mourinho] juga tidak sabar untuk mendapatkan pemain baru kerana kami perlu memenangi sesuatu musim hadapan.”

“Kami akan cuba untuk memenangi seberapa banyak trofi yang kami mampu.” Ujar Lukaku selepas menjaringkan gol ke-25 beliau dalam semua pertandingan.

Walaupun berjaya menewaskan Brighton, Mourinho tidak berpuas hati dengan persembahan pasukan dan mengkritik aksi yang dipamerkan anak buahnya.

Pogba dan Sanchez bukan lagi pemain bintang dalam skuad Mourinho

Pemain seperti Luke Shaw, Antonio Valencia dan Scott McTominay didakwa gagal mempamerkan prestasi yang baik dalam perlawanan tersebut.

Lukaku tahu mereka mampu bermain dengan lebih baik dan jurang di antara United dan pasukan lain dalam Liga Juara-Juara tidaklah sebesar yang didakwa Mourinho sebelum ini.

“Syaa tidak percaya kami tidak mampu bersaing dalam kejohanan terbesar Eropah. Tetapi kami sedar kami tidak cukup bagus selepas tewas di tangan Sevilla, jadi kami menerima segala kritikan yang dilontarkan terhadap pasukan ini.”

BACA:  Man Utd Disiasat Kerana Hidang Ayam Mentah