Manchester United Gagal Raih 3 Mata vs Pasukan Tercorot

Manchester United kembali ke saingan Premier League untuk proses ‘healing’ dari trauma dihadirkan oleh Liverpool di Anfield menentang pasukan tercorot Southampton.

Disaingan Europa League, Manchester United selesa membenam Real Betis 4-1 di Old Trafford bagi perlawanan pertama pusingan 16 terbaik dan berjaya bangkit dari igauan ngeri.

James Ward-Prowse pasti mahu menggunakan peluang ini untuk menyamakan rekod gol dari sepakan percuma yang dimiliki oleh legenda Setan Merah, David Beckham.

Manchester United nyata tidak terkesan dengan kekalahan memalukan kepada Liverpool minggu lalu apabila terus mempamerkan aksi meyakinkan sejak mula perlawanan.

Southampton hanya mampu bertahan menahan asakan dari Setan Merah yang agak kurang mengancam walaupun mendominasi. Beberapa percubaan terutamanya dari Marcus Rashford dinafikan Gavin Bazunu.

Percubaan Theo Walcott dari satu tandukan bebas adalah satu-satunya percubaan paling berbisa sepanjang 45 minit pertama tetapi entah bagaimana David De Gea mampu menafikannya.

Pada minit ke-34, mimpi ngeri dan buruk menimpa Manchester United apabila pelindungan pertahanan mereka, Casemiro telah dilayangkan kad merah.

Terjahan Casemiro ke atas Carlos Alcaraz nyata mengundang padah yang memudaratkan di hadapan kotak sendiri. Pengadil perlawanan, Anthony Taylor melayangkan kad kuning.

Penelitian Video Assistant Referee (VAR) menunjukkan Casemiro menerjah dengan tapak kasut yang agak tinggi, kaki terkena bola dan tergelincir ke keting Carlos Alcaraz.

Kad kuning telah bertukar menjadi kad merah kerana dari awal terjahan Casemiro sudah melakukan tindakan yang berbahaya. Sayu dan pilu mengiringi Casemiro meninggalkan padang.

Rekod disiplin yang buruk dari Casemiro yang menerima dua kad merah dalam tiga perlawanan terakhir di Premier League bersama Manchester United.

Baki perlawanan menjadi milik Manchester United, Raphael Varane hampir menjaringkan gol pembukaan namun tolakan telah terkena muka penjaga gol Southampton, Gavin Bazunu.

Manchester United dinafikan sepakan penalti selepas hantaran Marcus Rashford telah terkena tangan Armel Bella-Kotchap yang berada di tanah. Tiada penalti dari VAR dan pengadil. Kupon sudah tamat tempoh.

Wout Weghorst yang tidak berapa menjadi seperti biasa dikeluarkan dan Scott McTominay di masukkan.

Separuh masa kedua semuanya berubah apabila Soton menggunakan kelebihan kekurangan pemain Setan Merah dengan mendominasi penguasaan bola dan menyerang tanpa belas.

Beberapa serangan balas berjaya dilakukan namun dinafikan sentuhan penyudah dan Manchester United terpaksa bersabar dan berhati-hati untuk melancarkan serangan balas pantas.

James Ward-Prowse hampir membuka tirai jaringan dengan satu sepakan percuma cantik yang menjadi kepakarannya namun sayang bola hanya menghinggap atas palang.

Pada minit ke-68 rembatan Bruno Fernandes hampir membuahkan hasil dan tepisan dari Gavin Bazunu menyebabkan bola terkena tiang dan meneutralkan bahaya.

Soton pantas membalas dengan rembatan dari Kyle Walker-Peters pula telah terkena tiang ketika David De Gea sudah tertewas.

Ketika permainan hampir tamat Manchester United berjaya mempertahankan kedudukan dan Soton makin ligat memerah keringat untuk mendapatkan tiga mata bagi mengeluarkan mereka dari zon penyingkiran.

Satu kerugian besar buat Manchester United kerana gagal untuk mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini dan bermain 10 orang, satu mata agak berharga.

Kesebelasan Utama Manchester United: De Gea, Wan-Bissaka, Varane, Martinez, Shaw, Fernandes, Casemiro, Antony, Sancho, Rashford, Weghorst.

Pemain Simpanan: Heaton, Maguire, Malacia, Fred, Dalot, Pellistri, McTominay, Garnacho, Mainoo.

Kesebelasan Utama Southampton: Bazunu, Walker-Peters, Bednarek, Bella-Kotchap, Perraud, Ward-Prowse, Lavia, Walcott, Alcaraz, Sulemana, Adams.

Pemain Simpanan: McCarthy, Caleta-Car, Armstrong, Onuachu, Armstrong, Mara, Salisu, Elyounousi, Diallo.

BACA:  Nasib Malang Punca Prestasi Manchester United Merudum, Ujar Mourinho