Maestro Tengah Manchester United Umumkan Persaraan Pada Penghujung Musim Nanti

Pemain tengah Manchester United, Michael Carrick mengumumkan beliau bakal bersara dari bermain bolasepak secara profesional pada penghujung musim nanti.

Bekas pemain antarabangsa England ini telah ditawarkan untuk menjadi jurulatih di Manchester United sebaik sahaja beliau menggantung tali kasutnya. Pengurus Manchester United, Jose Mourinho turut percaya Carrick akan menerima tawaran tersebut.

Jika Itali mempunyai Pirlo, England ada Carrick

Carrick belum lagi beraksi dalam mana-mana perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini kerana masalah komplikasi jantung yang dialaminya memerlukan beliau menjalani pembedahan. Masalah kesihatan Carrick ini ditemui pada bulan September lalu ketika United menentang Burton Albion dalam saingan Piala Carabao.

Carrick sudah pulih dari masalah tersebut dan bakal kembali menjalani latihan bersama pasukan utama tidak lama lagi. Beliau dilihat turut serta dalam sesi latihan kelab yang diadakan di Dubai baru-baru ini, dan Mourinho percaya Carrick masih mempunyai sesuatu yang dapat diberikan kepada pasukan sebelum pemain ini bersara.

“Saya percaya keputusan Carrick untuk bersara pada penghujung musim nanti adalah keputusan yang baik untuk pasukan dan Carrick sendiri. Beliau boleh bersara pada minggu lepas selepas mengalami kecederaan, tetapi beliau memilih untuk bersara pada hujung musim nanti.”

Pergi ajar budak akademi maen bola pulak ye

“Kami gembira dengan keputusan tersebut dan pada penghujung musim nanti, saya percaya beliau akan menyertai barisan kejurulatihan Manchester United kecuali jika beliau mengubah fikiran. Pihak kelab sangat gembira dengan keputusan Carrick untuk menjadi jurulatih.”

“Saya juga sangat gembira dengan keputusan tersebut. Saya percaya Carrick masih lagi akan bermain musim ini. Selepas beberapa bulan tidak bermain dan langsung tidak menjalani latihan, beliau kini sudah 2 minggu menjalani latihan bersama pasukan utama. Carrick mampu menjadi pemain yang sangat penting buat kami.”

Pemain paling lama berkhidmat dalam pasukan United ketika ini

Carrick adalah pemain yang dibawa masuk pada era Sir Alex Ferguson yang dibeli dari Tottenham Hotspurs. Beliau telah melakukan 460 penampilan bersama Red Devils dan berjaya menjaringkan 23 gol.

Beliau juga memiliki koleksi trofi yang banyak selepas memenangi 5 Liga Perdana Inggeris,  Liga Juara-Juara, Europa League dan Piala FA sepanjang 12 musim bersama Manchester United.

Manchester United akan menyambung kembali aksi Liga Perdana Inggeris dengan pertemuan menentang Burnley hujung minggu ini dengan misi utama adalah untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Manchester City.

BACA:  Bruno Fernandes Dedah Reaksi Maguire Apabila Dia Diumumkan Kapten Baharu MU