Harry Maguire mendedahkan bagaimana panggilan telefon daripada David Beckham selepas menjadi bahan ejekan selepas perlawanan menentang Scotland pada September lalu terus menguatkan semangatnya untuk tampil cemerlang.
Pemain pertahanan tengah England itu menjaringkan gol sendiri selepas tampil sebagai pemain gantian dalam perlawanan persahabatan yang berakhir dengan keputusan 3-1 memihak kepada England.
“Saya sebenarnya bercakap dengan David [Beckham] tiga minggu lalu selepas perlawanan tersebut,” dedah Maguire.
“Dia menghubungi saya dan itu menyentuh hati saya. Saya hargai apa yang dilakukannya itu.”
“Ia amat bermakna buat saya. Sebelum ini saya sentiasa bercakap mengenai David Beckham dan dia adalah pemain yang saya gemari ketika masih kanak-kanak.
"It was really nice of him and I appreciated that"
Harry Maguire says David Beckham gave him words of support after the defender came under heavy criticism during England's win over Scotland last month 💪 pic.twitter.com/PDak0ogFNa
— Sky Sports News (@SkySportsNews) October 11, 2023
“Tindakannya menghubungi saya menunjukkan kelas dan keperibadiannya. Saya sangat hargainya. Malah ia amat menyentuh hati saya.”
Karier bersama England Beckham sendiri turut ada turun naiknya. Pemain tengah itu melakukan 115 penampilan antarabangsa bersama England dan merupakan kapten skuad The Three Lions selama 6 tahun sejak 2000, dan memimpin pasukan itu di dua kejohanan Piala Dunia.
Beckham dilayangkan kad merah di Piala Dunia 1998 selepas menendang pemain Argentina Diego Simeone. England kemudiannya tewas dan tersingkir di pusingan kedua melalui penentuan sepakan penalti.
Insiden tersebut menyebabkan Beckham menjadi sasaran cemuhan penyokong England yang menyalahkan pemain itu sebagai punca pasukannya tersingkir.
“Seluruh negara bencikan saya ketika itu,” kata Beckham dalam dokumentari baharu mengenai dirinya di Netflix.
“Ke mana pun saya pergi, setiap hari saya menerima cemuhan. Ia sangat serabut.”
Maguire berkata pengalaman Beckham pada ketika itu mengingatkan diri mengenai perjalanan kariernya sendiri.
"He reminded me of my career I've had to date and the big moments in my career" 💪
Harry Maguire reveals David Beckham gave him words of encouragement after his own goal in England's win over Scotland last month 🗣️pic.twitter.com/NkhZ6A77Nu
— Sky Sports Football (@SkyFootball) October 11, 2023
“Dia mengingatkan saya mengenai karier diri saya pada masa ini, dan momen penting yang saya sudah lalui.
“Pada saya apabila anda melalui saat sukar, anda harus meningat kembali pengalaman dan memori lepas dan apa yang telah dilalui sepanjang perjalanan.
“Setiap karier ada turun naiknya, terutama apabila anda berada di tahap di mana saya berada di mana saya pernah memegang gelaran kapten selama tiga tahun setengah untuk kelab terbesar di dunia.
“Dia [Beckham] pernah melalui semua itu dan tahu bagaimana keadaannya.”
Maguire adalah pemain pertahanan termahal dunia apabila menyertai Manchester United dari Leicester dengan nilai £80 juta pada 2019.
Sehingga kini pemain berusia 30 tahun itu telah melakukan 59 penampilan untuk England dan turut menjaringkan 7 gol di peringkat antarabangsa.
Minit perlawanan Maguire bersama United mulai meningkat pada musim ini selepas krisis kecederaan yang melanda. Pada Sabtu lepas Maguire berjaya menghasilkan satu assist untuk gol kemenangan United menentang Brentford yang dijaringkan oleh Scott McTominay di minit akhir perlawanan.