Man City Dianggap Sengaja Berlagak Tayang Trofi ‘Ori’ Sebelum Lawan Liverpool

Perlawanan di antara Manchester City dan Liverpool pada hujung minggu lalu berlangsung dengan sengit dan berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Etihad.

Kedua-dua kelab dianggap sebagai seteru dan pencabar utama Premier League sejak beberapa musim lalu, namun berjaya menyeimbangkan kekuatan masing-masing.

City mendahului perlawanan pada babak pertama perlawanan melalui jaringan ke-50 Erling Haaland di Premier League.

Bintang dari Norway itu menjadi pemain terpantas mencapai rekod 50 jaringan di dalam pertandingan tersebut. Walaupun berpeluang untuk terus membunuh cabaran Liverpool selepas itu, skuad kendalian Guardiola gagal berbuat demikian.

Liverpool terus memberikan saingan dan akhirnya berjaya menemui belakang jaring melalui rembatan leret Trent Alexander-Arnold untuk membawa pulang satu mata.

Jurgen Klopp pula menyifatkan keputusan itu sebagai satu kejayaan kerana berjaya membawa pulang satu mata, dan bukan kerugian kerana hilang dua mata.

Di sebalik kerancakan perlawanan tersebut, tidak ramai yang menyedari perang psikologi yang cuba dilakukan terhadap Liverpool.

Sebelum sepak mula perlawanan pegawai Man City dikatakan bertindak melakukan apa sahaja untuk memastikan pasukan mereka yang beraksi di tempat sendiri memperolehi kelebihan mental yang diperlukan.

Daily Mail baru-baru ini mendedahkan ketibaan Liverpool disambut oleh deretan trofi seperti trofi Premier League, Piala FA dan Champions League yang dimenangi pasukan itu pada musim lalu.

Tidak cukup dengan itu, City turut sengaja mempamerkan Piala Super UEFA yang dimenangi pada Ogos lalu.

Bukan sahaja untuk berlagak, City dikatakan sengaja berbuat demikian sebagai tindak balas terhadap Liverpool yang menampal replika trofi ikonik di tempat duduk eksekutif di Anfield. Antara yang paling menyerlah adalah enam kejuaraan Champions League yang pernah dimenangi kelab Merseyside itu.

Bezanya, City mempamerkan trofi sebenar yang segar bugar baru dimenangi mereka dan bukannya trofi replika daripada zaman silam – sebagai mesej dominasi terkini oleh kelab Manchester itu.

Bekesan atau tidak perang psikologi oleh City, Liverpool tetap berjaya membawa pulang satu mata daripada Etihad.

Walaupun demikian Guardiola tetap memuji persembahan anak buahnya menentang Liverpool walaupun sekadar seri.

“Kami dahagakan [kemenangan] dan bersedih di bilik persalinan. Tetapi ia perlawanan yang hebat.

“Statistik atau siapa yang lebih layak menang tidak penting lagi. Saya tetap minum segelas wine untuk satu mata ini.

“Saya berpuas hati dengan persembahan ditampikan pemain saya kerana Liverpool adalah sebuah pasukan yang hebat.

“Kami hanya menghasilkan dua peluang menentang mereka. Satu tandukan dan jaringan terhasil di babak pertama.

“Selepas lapan musim ia sangat bagus beraksi sedemkian. Saya bangga dengan pasukan saya.

“Saya bercakap dengan Jurgen [Klopp], dan dia tahu saya amat mengkagumi dirinya.”

“Perlawanan sebelum ini menentang Chelsea kami bertahan dengan buruk, dan banyak bergantung kepada kemampuan penjaga gol.

“Menentang pasukan seperti Liverpool kami tidak boleh mengulangi perkara yang sama kerana tidak mempunyai pemain untuk berbuat demikian.”

BACA:  Riyad Mahrez Akhirnya Bakal Sertai Manchester City Selepas 6 Bulan Menunggu