Man Utd Bayar Mourinho RM24 Juta Supaya Tidak Terima Tawaran Lain

MANCHESTER: Jose Mourinho dibayar STG4 juta (RM23.62 juta) oleh Manchester United supaya tidak menerima tawaran di tempat lain ketika mereka membuat keputusan mengenai masa depan Louis van Gaal.

Perjanjian itu dicapai pada pertengahan musim untuk memberikan United pilihan bagi membawanya ke kelab itu sekiranya Van Gaal gagal melepasi sasaran.

Sportsmail juga mendedahkan bahawa Mourinho enggan menerima ‘klausa bersifat perlakuan’ dalam tempoh perjanjian lima tahun bernilai STG75 juta (RM442.89 juta) walaupun wujud kebimbangan dalam pengurusan United mengenai tingkah lakunya di garisan permainan.

Pengendali berusia 53 tahun itu didenda STG229,900 (RM1.35 juta) dan dua penggantungan stadium ketika tempoh dua kali bersama Chelsea dan United terdesak untuk mengelak publisiti negatif sekiranya ia berlaku.

Bagaimanapun, Mourinho enggan bersetuju ketika perbincangan pada Januari ketika dia membuat tawaran yang kuat ketika musim United masih berlangsung.

Tidak seperti pra kontrak Manchester City dengan Pep Guardiola, persetujuan unik dengan Mourinho ialah bagi memastikan dia boleh menjadi pengurus sekiranya diperlukan.

Sekiranya Van Gaal berjaya, dengan apa-apa kriteria diletakkan United, dia akan kekal untuk kontrak tahun akhirnya. Perjanjian itu kali pertama didedahkan akhbar Sepanyol, El Pais pada Mac.

Bekas pengurus Chelsea itu juga akan diberikan STG200 juta (RM1.181 bilion) untuk mendapatkan pemain baharu ketika United, yang menjulang trofi Piala FA kelmarin, merancang untuk kembali ke persada liga Inggeris selepas gagal berada dalam kelompok empat teratas buat kali kedua dalam tiga musim. – AGENSI

Selanjutnya di : Berita Harian

BACA:  Bruno Fernandes Maki Hamun Fred Dan Telles Kerana Terlalu Asyik Merakam Video