Man Utd Cipta Statistik Terburuk Mereka Sepanjang Musim Ini Ketika Aksi Bertemu Newcastle

Manchester United mencatatkan statistik yang sangat teruk ketika aksi terikat 1-1 bertemu Newcastle United awal pagi tadi.

Skuad setan merah merekodkan 167 kali ‘lost possession’ yang mana ia merupakan catatan tertinggi mereka dalam saingan Premier League musim ini.

Ia jelas sekali antara aksi yang mahu segera dilupakan oleh skuad kendalian Ralf Rangnick itu, yang bergelut untuk bersaing dengan Newcastle di St James Park.

Newcastle turun dalam perlawanan ini sebagai pasukan yang sedang menunggu masa untuk ditendang keluar dari saingan Premier League musim ini.

Mereka berada di kedudukan kedua tercorot dalam saingan liga, dan juga turut merekodkan 79 bolos dari 41 perlawanan sepanjang tahun 2021 ini.

Ia merupakan angka paling teruk yang dicatatkan oleh sesebuah pasukan dari era saingan Premier League dalam tempoh setahun.

Walaupun sering mempamerkan aksi persembahan hambar sepanjang musim ini, tidak dinafikan yang anak-anak buah Eddie Howe telah mempersembahkan aksi bertahan yang sungguh menakjubkan.

Bahkan mereka juga turut dilihat sangat merbahaya ketika merencana serangan ke kubu United yang dibarisi oleh barisan pemain pertahanan termahal dunia.

Allan Saint-Maximin cemerlang membuka tirai jaringan untuk skuad The Magpies pada awal aksi babak pertama permainan dengan jaringan yang sungguh menakjubkan.

Edinson Cavani berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71 permainan, secara tidak langsung telah menyebabkan Newcastle mencipta sejarah baru sebagai pasukan premier league paling banyak dibolosi dalam tempoh setahun.

Namun begitu, sebenarnya masih ramai peminat yang percaya selepas Cavani menjaringkan gol penyamaan, setan merah akan meledak lebih banyak gol lagi.

Hal ini kerana mereka memiliki barisan pemain berkelas dunia dan jentera serangan mereka juga dibarisi oleh pemain berpengalaman, serta turut dianggap sebagai antara yang terhebat dalam dunia bola sepak.

The Magpies bermain high pressing dan menyebabkan pemain cepat koyak seperti Bruno Fernandes hilang bola sebanyak 26 kali sepanjang perlawanan ini.

Marcus Rashford merupakan seorang lagi pemain United yang gagal untuk mengekalkan penguasaan bola, diikuti oleh Diogo Dalot, Jadon Sancho dan Scott McTominay yang hilang bola lebih dari 10 kali dalam perlawanan ini.

Pengurus interim kelab, Ralf Rangnick menghentam anak-anak buahnya dengan menganggap mereka terlalu lembik dan tiada tenaga dalam aksi terikat 1-1 itu.

“Saya langsung tak suka dengan persembahan mereka.”

Jelas Ralf Rangnick kepada Sky Sports.

“Hari ini kami tidak mengawal permainan selain dari beberapa detik itu sahaja. Tapi ia semuanya tentang tenaga, fizikal dan siapa yang memenangi bola kedua.”

“Dari kesemua kawasan di seluruh padang, kami tidak cukup bagus. Perkara terbaik adalah kami berjaya dapatkan satu mata, tapi dari segi persembahan perlu lebih baik.”

“Kamu perlu lebih bersedia dan mampu untuk menang semua perebutan bola dan ini bukan hal yang biasa berlaku. Ketika kita sedang dalam penguasaan, kita terlalu banyak beri bola, bahkan kita juga hampir beri gol, itu yang lebih menyukarkan.”

Rangnick kemudiannya menyambung lagi dengan menyatakan:

“Hari ini bukan persoalan tentang bahasa tubuh, ia persoalan tentang fizikaliti. Jika kamu mahu jadi kompetetif, kamu perlukan fizikal dan ini bukan hal utama berbanding banyak lagi hal dalam perlawanan.”

“Masalah terbesar kami adalah kesilapan yang kami lakukan. Bahkan ketika kami menjaringkan gol penyamaan, kami tidak begitu mengawal permainan dan tidak membuat keputusan yang betul.”

“Kami satu gol dibelakang dan kami perlu mengambil lebih banyak risiko. Dalam beberapa situasi, termasuk gol, kami bagus dan dengan Edinson kita sudah ada seorang lagi penyerang merbahaya.”

“Hari ini, ia bukan lagi persoalan tentang formasi, ia soalan tentang bagaimana aggressivenya kita.”

“Dalam tempoh tiga hari kita akan ada perlawanan seterusnya. Kita boleh buat yang lebih baik dan kita perlu lakukannya.”

“Kita tidak sepatutnya mencari alasan, kita seharusnya menjadi lebih baik dan kuatkan fizikal.”

“Saya sangat tidak gembira dengan persembahan kami baik kawalan bola atau ketika menekan. Apa jenis tenaga yang kita pakai untuk main? Dengan bola dan tak ada bola?”

Maka dengan itu, Ralf Rangnick mahu anak-anak buahnya supaya jangan jadi lemah dan lembik lagi selepas ini dan meminta mereka supaya jadi lebih kuat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  David de Gea Dalam Perbincangan Sertai Real Madrid