Manchester City Berdepan 129 Pertuduhan Liga Perdana: Ini Penjelasannya

Pada 6 Februari 2023, Manchester City telah didakwa oleh Liga Perdana Inggeris atas lebih 100 pelanggaran peraturan kewangan. Sebagai juara 6 daripada 7 musim terakhir, keputusan suruhanjaya bebas ini bakal memberi impak besar kepada liga tidak kira ke apa pun keputusannya nanti.

Kes ini melibatkan peraturan Financial Fair Play (FFP) yang rumit dan sentiasa berubah. Kedua-dua pihak iaitu Liga Perdana dan Manchester City berusaha keras mempertahankan kedudukan masing-masing dalam pertikaian ini.

Salah satu bukti utama adalah dari emel dalaman City yang didedahkan oleh akhbar Jerman, Der Spiegel. Emel ini menjadi punca kepada siasatan oleh UEFA sebelum City dibebaskan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 2020. Namun, dalam kes terbaru Liga Perdana mendakwa mereka telah menerima lebih banyak bukti melalui proses pendedahan maklumat.

Manchester City kekal dengan pendirian bahawa mereka tidak melanggar sebarang peraturan. Pendengaran kes telah pun berakhir dan kini panel 3 anggota sedang menyiapkan keputusan mereka yang dijangka diumumkan sebelum hujung musim ini.

Berikut adalah pecahan pertuduhan yang dikenakan terhadap Manchester City dan bagaimana ia boleh menjejaskan kelab ini.


54 Pertuduhan Gagal Melaporkan Maklumat Kewangan Dengan Tepat

Pertuduhan ini meliputi sembilan musim, menjadikannya pelanggaran paling panjang dalam kes ini.

Secara ringkas, Liga Perdana mendakwa City gagal melaporkan pendapatan sebenar mereka, khususnya daripada penajaan syarikat berkaitan Abu Dhabi. Peraturan liga menetapkan bahawa setiap kelab mesti melaporkan maklumat kewangan dengan jujur dan tepat.

Sebelum ini, UEFA telah mendapati City bersalah kerana tidak mengisytiharkan pendapatan tajaan mereka dengan tepat. Keputusan itu kemudiannya dibatalkan oleh CAS atas alasan teknikal iaitu isu had masa. Dalam kes Liga Perdana, isu had masa dijangka tidak menjadi halangan.

Jika suruhanjaya mendapati City bersalah, ia bermakna kelab itu telah memanipulasi angka kewangan mereka untuk mengelak dari melanggar FFP.


14 Pertuduhan Gagal Melaporkan Bayaran Pemain dan Pengurus Dengan Tepat

Pertuduhan ini berbeza kerana ia melibatkan dakwaan penyembunyian pembayaran kepada pemain dan pengurus bagi mengelak peraturan FFP.

Antara contoh utama yang dikaitkan adalah:

  • Roberto Mancini – Bekas pengurus City ini dikatakan menerima bayaran bonus sebanyak £1.75 juta setahun dari kelab Abu Dhabi, Al Jazira untuk kerja minima 4 hari setahun. Liga Perdana mendakwa ia bukan dari Al Jazirah tetapi sebahagian dari gaji di City yang disembunyikan.
  • Yaya Toure – Didakwa menerima bayaran hak imej daripada Abu Dhabi United Group (ADUG) secara tidak rasmi. Ia tidak diisytiharkan sebagai sebahagian daripada gajinya di City.

Manchester City dan individu yang terlibat menafikan semua dakwaan ini.


21 Pertuduhan Melanggar Peraturan Keuntungan dan Kelestarian (PSR)

Liga Perdana mendakwa City melanggar 7 peraturan PSR dalam setiap tiga musim berikut:

  • 2015-16
  • 2016-17
  • 2017-18

Peraturan ini berkaitan dengan ketepatan laporan kewangan dan transaksi dengan pihak berkaitan khususnya perjanjian tajaan dengan syarikat berkaitan dengan pemilik kelab iaitu Abu Dhabi. Jika City didapati bersalah dalam mana-mana pertuduhan lain, mereka juga mungkin didapati telah melanggar peraturan PSR ini.


5 Pertuduhan Gagal Mematuhi Peraturan FFP UEFA

Pada 2014, City telah bersetuju dengan penyelesaian bersama UEFA selepas badan itu mempersoalkan £118.75 juta dalam pendapatan tajaan mereka. City terpaksa membayar semula €20 juta daripada hasil siaran TV mereka sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut.

Bagaimanapun, Liga Perdana mendakwa City terus melanggar peraturan itu antara musim 2013-14 hingga 2017-18.

Jika City didapati bersalah dalam kes ini, ia bermakna mereka juga melanggar peraturan UEFA, kerana angka kewangan sebenar mereka mungkin lebih buruk daripada yang diisytiharkan.


35 Pertuduhan Gagal Bekerjasama Dengan Siasatan Liga Perdana

Liga Perdana mendakwa City tidak memberi kerjasama penuh dalam siasatan mereka sejak 2018. Ini termasuk:

  • Kegagalan menyerahkan dokumen yang diminta
  • Tidak memberikan bantuan penuh kepada pihak liga
  • Menyembunyikan maklumat penting

UEFA sebelum ini juga mendapati City bersalah atas kegagalan untuk memberi kerjasama termasuk tidak memberikan saksi dan enggan menyerahkan bukti penuh kepada pihak berkuasa bola sepak.

Manchester City menafikan dakwaan ini, mendakwa mereka telah memberikan semua maklumat yang diperlukan.


Apa Yang Akan Berlaku Seterusnya?

Pendengaran kes telah selesai pada 6 Disember 2024 dan kini panel bebas sedang menyediakan keputusan mereka. Identiti ahli panel ini dirahsiakan untuk mengelakkan sebarang gangguan luar.

Walaupun tiada had masa rasmi bila keputusan akan dikeluarkan tetapi semua pihak menjangkakan ia akan diumumkan sebelum hujung musim ini.

Sekiranya Manchester City didapati bersalah, hukuman yang mungkin dikenakan termasuk:

  • Potongan mata di Liga Perdana
  • Denda kewangan besar
  • Penggantungan dari pertandingan Liga Perdana atau Eropah
  • Penarikan balik kejuaraan lalu (walaupun yang ini lebih sukar untuk dilakukan)

City masih mempunyai hak untuk merayu keputusan tersebut. Rayuan boleh menyebabkan proses ini berlarutan lebih lama.

Kes ini adalah salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah bola sepak Inggeris. Seluruh dunia bola sepak kini menanti keputusan akhir dengan penuh debaran.


Kesimpulan

Manchester City berdepan kes yang sangat rumit melibatkan pelbagai aspek kewangan dan peraturan FFP. Walaupun mereka telah menafikan sebarang salah laku, Liga Perdana mendakwa mereka mempunyai bukti kukuh untuk membuktikan kesalahan City.

Keputusan yang bakal diumumkan tidak hanya akan memberi kesan kepada City tetapi juga kepada integriti Liga Perdana dan cara peraturan kewangan bola sepak dikuatkuasakan di masa hadapan.

Kini, seluruh dunia bola sepak menanti keputusan yang bakal mengubah sejarah bola sepak Inggeris.

BACA:  Mourinho: Sanchez Pilih Manchester United Bukan Sebab Duit