Manchester City Terlalu Unggul, Klopp Menyerah Kalah

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengangkat bendera putih dalam misi merangkul trofi Liga Perdana Inggeris musim ini, sambil berkata menduduki 4 teratas liga adalah pencapaian yang baik buat Liverpool.

Klopp akhirnya menyerah kalah dalam usahanya mencabar peneraju liga, Manchester City yang terlalu jauh meninggalkan pasukan yang lain. Beliau berkata menghabiskan musim ini dalam kedudukan 4 teratas adalah pencapaian yang fantastik dengan azam utama Liverpool ingin beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Klopp sudah mengangkat bendera putih

Sebelum ini, Klopp pernah berkata misi utamanya musim ini adalah untuk membantu Liverpool menjadi juara Liga Perdana Inggeris. Walaubagaimanapun, selepas melihat prestasi menakjubkan yang ditampilkan anak buah Pep Guardiola ketika ini, Klopp terpaksa mengubah misi mereka kepada kedudukan 4 teratas dan pertandingan lain seperti Liga Juara-Juara dan Piala FA. Klopp turut mengakui kedudukan paling tinggi yang boleh dicapai Liverpool dalam liga musim ini adalah berada di kedudukan ke-2.

“Musim ini, saya tidak rasa kelab-kelab lain berfikir bagaimana mereka bakal memenangi liga musim ini kecuali Manchester City, atau mungkin juga Manchester United. Kami perlu memastikan pasukan ini layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Kami perlu mengakhiri liga musim ini setinggi yang boleh.”

“Jika dilihat situasi semasa, kami mampu menduduki tangga ke-2, 3, atau pun 4 dan ia satu pencapaian yang fantastik andainya dapat dicapai. Mungkin pencapaian tersebut bukan yang seperti kami impikan tetapi jika diambil kira situasi semasa, ia pencapaian yang bagus.”

“Itulah perkara yang kami sedang usahakan sekarang, dan kami perlu memastikan setiap komponen pasukan ini bertambah baik.”

Sampah

Bahagian pertahanan Liverpool sering menjadi bualan peminat kerana kerapuhan mereka bertahan. Klopp mengakui bahagian pertahanan adalah bahagian yang paling dirisaukan dan memerlukan penambahbaikan. Beliau dipetik berkata demikian selepas tamat perlawanan menentang Arsenal yang mana perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri 3-3.

“Kami melalui tempoh 5 minit dalam perlawanan dimana masalah pertahanan sangat jelas dan nyata. Dan ianya adalah berpunca dari kesilapan individu.”

“Dalam hal ini, ia bukan sepenuhnya bergantung kepada corak bertahan seluruh pasukan, kerana apabila bola berada di dalam kotak penalti, kesilapan individu juga boleh menjadi punca. Gol kedua merupakan kesilapan individu dan untuk gol ketiga pula, kami bertahan terlalu ke bawah.”

Liverpool kini berada di kedudukan ke-4 liga, tetapi Arsenal dan Tottenham mengekori rapat dibelakang mereka dengan perbezaan 1 mata sahaja. Pasukan meningkat naik musim ini, Burnely pula hanya ketinggalan 3 mata di belakang Liverpool dan masih berpeluang untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara.

BACA:  Tangisan Kegembiraan Ayah Elliott Melihat Anaknya Menjaringkan Gol