Manchester United Benam Real Sociedad 4-1: Hatrik Fernandes dan Keputusan Pengadil Dipersoal?

Manchester United memang perlukan kemenangan besar dan mereka berjaya mendapatkannya.

Perlawanan menentang Real Sociedad di pusingan 16 Liga Europa penuh dengan drama. 3 penalti, 1 kad merah dan pelbagai insiden menarik menjadikan aksi ini sesuatu yang sukar dilupakan. Dengan kemenangan ini, harapan Ruben Amorim untuk menamatkan musim pertamanya dengan trofi masih hidup.

Bruno Fernandes sekali lagi menjadi wira dengan hatrik luar biasa, manakala Diogo Dalot menambah gol ke-4 di saat akhir untuk memastikan kemenangan lebih bergaya. Kini, United bersedia berdepan Lyon di suku akhir.

Jom kita kupas perkara-perkara menarik dalam perlawanan ini!


Bruno Fernandes Bersinar Lagi di Old Trafford

Bruno Fernandes sekali lagi menunjukkan mengapa dia adalah pemain penting buat Manchester United. Dia bukan sahaja hebat dalam permainan terbuka tetapi kehebatannya dari sepakan penalti juga luar biasa.

Penalti pertamanya dalam perlawanan menentang Real Sociedad berpunca daripada kepintarannya membaca hantaran Casemiro dengan tepat, sebelum menghantar bola kepada Rasmus Hojlund. Pemain muda Denmark itu cuba merembat tetapi dihalang oleh Igor Zubeldia. Selepas beberapa saat menunggu keputusan pengadil, Fernandes dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti. Dia menunggu Alex Remiro bergerak ke kiri sebelum menyepak bola ke penjuru bawah arah bertentangan.

Belum sempat babak kedua betul-betul panas, Fernandes mendapat peluang ke-2. Kali ini dia memulakan gerakan hantaran satu-dua bersama Joshua Zirkzee sebelum menemui Hojlund. Hojlund kemudian melorongkan bola kepada Zirkzee yang melakukan rembatan deras ke arah Remiro. Penjaga gol Sociedad itu berjaya menepis bola tetapi Patrick Dorgu yang cuba mendapatkan bola, bertembung dengan Aritz Elustondo. Pengadil Benoit Bastien mengambil masa sebelum sekali lagi memberikan penalti kepada United.

Fernandes tidak mengecewakan. Kali ini, dia menukar gaya sepakan penalti, tanpa berhenti dia terus berlari, melirik seketika melihat ke mana Remiro akan bergerak (kali ini ke kanan), sebelum menghantar bola ke arah bertentangan.

Dia hampir melengkapkan hatrik selepas Hamari Traore dikatakan menjatuhkan Dorgu di dalam kotak. Namun, selepas semakan VAR dilakukan, keputusan untuk memberi sepakan penalti ke-3 dibatalkan malah Dorgu sendiri seakan-akan bersetuju ia bukan penalti.

Fernandes tetap berjaya melengkapkan hatriknya. Beberapa minit sebelum tamat permainan, dia menerima hantaran daripada Alejandro Garnacho dan melepaskan rembatan ke penjuru bawah gawang untuk memastikan malam gemilang untuk dirinya dan United.


Pengadil ‘Bantu’ United?

Ruben Amorim jarang bercakap tentang ‘nasib’ tetapi dalam bola sepak kadangkala pasukan memang perlukan sedikit tuah untuk mengubah keadaan dan dalam perlawanan menentang Real Sociedad, Manchester United nampaknya mendapat sedikit ‘bantuan’ daripada pengadil.

Penalti pertama memang tidak boleh dinafikan. Zubeldia mengasari Hojlund tanpa langsung cuba merebut bola. Namun penalti ke-2 sukar dipastikan ia sebenarnya penalti atau tidka. Elustondo hanya berdiri dengan tangan di belakang badan dan dia tidak dilihat untuk menghalang Dorgu. Dorgu kelihatan seperti tersadung sendiri ke arah Elustondo. Keputusan ini boleh dikatakan 50-50 kerana Elustondo tetap menghalang Dorgu daripada mara ke hadapan, cuma situasi sebegini jarang lah pengadil nak bagi penalti.

Insiden penting seterusnya berlaku pada minit ke-63 apabila Jon Aramburu dilayangkan kad merah selepas menarik Dorgu di tengah padang. Dia cuba menghalang pemain sayap United itu daripada mengejar hantaran Zirkzee.

Walaupun Nayef Aguerd berada di tengah padang dalam usahanya untuk bertahan, dia mungkin tak boleh mengejar Dorgu yang lebih pantas darinya, lebih-lebih lagi kerana dia berada sedikit di belakang. Kekurangan seorang pemain di pihak Sociedad ketika mereka masih cuba mengejar perlawanan jelas memberi kelebihan kepada United untuk mengawal permainan.


Hojlund Masih Tumpul, Tetapi Ada Peningkatan

Kali terakhir Rasmus Hojlund menjaringkan gol untuk Manchester United adalah pada 12 Disember, ketika menentang Viktoria Plzen. Ketika itu, Ruben Amorim memberi peluang kepada Marcus Rashford, Tyrell Malacia dan Antony untuk bermakn. Kini, selepas 20 perlawanan, banyak benda yang telah berubah dan perkara yang paling merisaukan ialah ketidakyakinan Hojlund untuk melakukan percubaan ke gawang lawan.

Merujuk kepada peta percubaan Hojlund sepanjang musim ini, jelas dia tahu di mana kawasan berbahaya untuk melepaskan rembatan, tetapi masalahnya dia tidak banyak melakukan percubaan.

Kemarau golnya menyebabkan dia menjadi terlalu berhati-hati di depan gawang. Sebagai pemain kidal, dia cenderung bergerak ke sebelah kiri kotak penalti sebelum cuba melepaskan rembatan ke far post. Namun, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, walaupun untuk penyerang yang sedang berada dalam prestasi terbaik.

Dalam separuh masa pertama menentang Real Sociedad, semua dapat melihat kecenderungan Hojlund yang suka bergerak ke sebelah kiri untuk menerima hantaran. Namun, kali ini pergerakannya di dalam kotak penalti lebih agresif. Dia juga mendapat sokongan padu daripada penyokong yang mahu melihatnya menjaringkan gol.

Gol penyamaan United terhasil selepas Hojlund dijatuhkan oleh Zubeldia di dalam kotak penalti, ketika dia cuba menerima hantaran Bruno Fernandes. Beberapa minit selepas itu, Joshua Zirkzee melakukan satu hantaran lintang kencang, tetapi sentuhan Hojlund sedikit tersasar ke sebelah kiri tiang gol.

Separuh masa kedua pula menyaksikan Alejandro Garnacho dan beberapa rakan sepasukan lain cuba menghantar bola kepadanya, namun sentuhan pertamanya yang kurang kemas membuatkan peluang terbuang begitu sahaja. Malah, ketika dia cuba mencuba satu peluang pada penghujung perlawanan, percubaannya tersasar lagi.

Sedikit berita baiknya ialah Hojlund mula lebih kerap melakukan percubaan. Menjelang minit ke-75, dia sudah melakukan 3 percubaan walaupun semuanya tersasar. Untuk penyerang bernilai £75 juta, ini bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan, tetapi sekurang-kurangnya ada peningkatan. Dia juga berjaya mencipta 1 bantuan gol kepada Diogo Dalot pada penghujung perlawanan.

Bakat Hojlund masih ada. Dia cuma perlu terus mencuba sehingga dia menemui sentuhan berbisanya semula.


Permulaan Yang Meyakinkan Untuk Heaven

Dalam bola sepak, statistik kadangkala tidak cukup untuk menilai seorang bek-tengah. Kita boleh tahu berapa banyak terjahan yang dia lakukan tetapi ia tidak cukup untuk menjelaskan mengapa dia ‘sibuk’ atau sebaliknya ketika mengekang serangan lawan.

Jadi, bayangkan anda sedang bersantai di sebuah kedai kopi selepas seharian bekerja, lalu seseorang berkata, “Ayden Heaven nampak macam pemain yang bagus, kan?”

Ketika Heaven yang baru berusia 18 tahun menyertai Manchester United pada Januari dan terus diberikan nombor skuad utama, ramai yang terkejut. Dia memang menunjukkan potensi besar semasa bersama akademi Arsenal (bermula sebagai pemain tengah sebelum ditukar ke posisi pertahanan) tetapi tidak ramai yang menjangkakan dia akan memberi impak besar kepada United seawal musim 2024-25.

Namun, di sinilah dia, diturunkan dalam perlawanan Eropah paling penting United dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dia juga meneruskan aksi cemerlang selepas 45 minit yang mengagumkan ketika menentang Arsenal pada hujung minggu lalu.

Sepanjang separuh masa pertama, Amorim banyak memberikan arahan kepada Heaven dan Patrick Dorgu, terutama mengenai pergerakan tanpa bola. Tenaga muda dan kesungguhan mereka dalam berlari membantu menutup kelemahan dalam pertahanan.

Pada satu ketika pada separuh masa pertama, Matthijs de Ligt turut memberi tunjuk ajar kepada Heaven mengenai kekuatan hantaran yang perlu digunakannya. Jika dia mahu mengukuhkan posisinya sebagai bek-tengah-kiri sepanjang musim ini, hantaran pendeknya perlu lebih tajam dan tepat ke hadapan untuk mengekalkan kelancaran serangan United.

Tetapi ini hanyalah perkara kecil untuk seorang pemain yang baru memulakan karier seniornya. Pada minit ke-80, Heaven menerima bola daripada Andre Onana dan dengan penuh yakin, dia melakukan hantaran lambung kepada Joshua Zirkzee di sebelah kiri. Zirkzee mengawal bola dengan baik, memusingkan badannya, memperdaya pertahanan lawan dan terus memecut ke arah kotak penalti, membuatkan penyokong United bersorak kegembiraan.

Heaven seorang pemain yang bagus? Nampaknya memang begitu.


Kesilapan yang Menghukum Manchester United di Awal Permainan

Sebelum perlawanan bermula, Diogo Dalot memberitahu TNT Sports bahawa perlawanan ini ibarat final untuk Manchester United. Memang betul, sejak minit pertama kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti tinggi, jauh lebih agresif berbanding aksi perlawanan pertama yang berlangsung pada minggu lalu di San Sebastian.

Tetapi dalam perlawanan besar seperti final, kesilapan kecil boleh membawa padah dan itulah yang terjadi kepada United ketika Real Sociedad membuka tirai jaringan.

Segalanya bermula apabila Alejandro Garnacho gagal melakukan hantaran lintang dengan baik, terus ke dakapan Alex Remiro. Dalot yang masih berada di atas untuk menekan pertahanan lawan, tidak berjaya menghalang Sociedad daripada menemui Sheraldo Becker di bahagian sayap. Ia memaksa Noussair Mazraoui untuk naik lebih tinggi untuk menutup ruang tetapi satu gerakan satu-dua yang bijak telah membebaskan Becker di sebelah kiri. Dalot pula lambat untuk turun membantu.

United sebenarnya berjaya mendapatkan semula bola selepas hantaran Brais Mendez. Namun, pemain muda itu cuba melakukan sesuatu yang terlalu berani—menerjah ke hadapan untuk melepasi 3 pemain Sociedad. Kesudahannya? Dia kehilangan bola dan meninggalkan ruang besar di sebelah kanan. Tinggal Ayden Heaven sahaja untuk bertahan.

Bruno Fernandes cuba turun membantu tetapi ia menyebabkan Heaven tersepitsama ada mahu membantu Fernandes atau kembali ke posisi asalnya di tengah. Keadaan itu membuatkan dia berada dalam posisi yang lemah untuk mengekang hantaran lintang Aritz Elustondo, yang hampir menemui Mikel Oyarzabal sebelum pemain itu dijatuhkan oleh Matthijs de Ligt dalam kotak penalti. Sociedad mendapat penalti.

Satu kesilapan kecil tetapi cukup untuk mengundang masalah besar buat United.


Apa Kata Ruben Amorim?

Pengendali United, Ruben Amorim gembira dengan kemenangan pasukannya dan memuji kehebatan Bruno Fernandes.

“Kita tahu dia sentiasa mahukan kemenangan. Kadangkala dia terlalu bersemangat sehingga mengubah posisinya untuk mendapatkan bola. Tetapi dia adalah kapten yang sempurna untuk pasukan ini,” katanya.

Amorim juga mengakui bahawa penalti yang diberikan kepada Dorgu boleh dipertikaikan tetapi dia tetap memuji usaha pemainnya untuk mendapatkannya.

Secara keseluruhan, malam yang indah untuk Manchester United dan ujian lebih besar menanti mereka di suku akhir apabila dijadualkan menentang Lyon.

BACA:  Mourinho Nafi Laporan Yang Mendakwa Beliau Bergaduh Dengan Pogba,