Manchester United Cari Pekerja Untuk Lap Piala Di Muzium Kelab

Manchester United kini mahu melantik pekerja baru yang mana tugas utamanya adalah mengelap habuk dan polish kesemua Piala yang ada dalam simpanan mereka.

Ya, pekerja tersebut dibayar agar beliau senantiasa memastikan kesemua Piala yang ada di muzium tidak berhabuk dan sentiasa berkilat.

Setan merah merupakan antara kelab bola sepak paling berjaya di dunia, dengan mereka memegang rekod pernah memenangi 20 gelaran liga, tiga gelaran Eropah, 12 gelaran FA dan lima gelaran League Cups.

Dan di dalam muzium mereka di Old Trafford, setan merah sedang mencari pekerja baru, yang mana tugas utamanya adalah untuk menjaga kualiti semua Piala yang ada dalam simpanan mereka.

Menurut syarikat yang mengeluarkan iklan kerja kosong tersebut, peranan calon pekerja yang United cari itu adalah untuk membantu menyediakan sokongan penting terutama ketika ada program pameran Muzium.

Pekerja tersebut juga perlu membersihkan semua Piala sebelum dan selepas pameran dan paling penting beliau akan menjadi individu yang mewakili muzium untuk berurusan dengan orang ramai.

Dalam iklan tersebut juga, Manchester United mengutamakan individu yang berminat dengan sukan bola sepak, dan ada sejarah yang berkait dengan dunia bola sepak.

Sebagai tambahan, individu yang memohon juga perlu ada kelayakan dalam pengurusan muzium dan turut ada pengalaman pernah mengendalikan muzium.

Muzium Manchester United dan lawatan ke stadium merupakan dua perkara yang paling terkenal untuk para penyokong dari luar negara.

Para penyokong dari luar negara yang mungkin hanya mampu ke Old Trafford sekali seumur hidup mereka sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk melalui dua hal tersebut.

Muzium kelab juga mengandungi pelbagai khazanah serta sejarah gemilang kelab dari mula mereka dikenali sebagai Newton Heath pada tahun 1878.

Walaupun mereka dianggap sebagai antara pasukan paling dominan dalam sejarah bola sepak Inggeris, namun skuad setan merah hari ini sebenarnya sudah lima tahun kemarau tanpa Piala.

Piala terakhir yang mereka menangi adalah pada Mei 2017 yang lalu, ketika Jose Mourinho cemerlang membantu skuad setan merah menewaskan Ajax 2-0 untuk menjulang gelaran Europa League di Stockholm.

Beberapa bulan sebelum itu pula, skuad setan merah berjaya menjulang gelarang EFL Cup selepas kejayaan mereka menewaskan Southampton dalam aksi perlawanan akhir.

Selepas era Mourinho, Manchester United langsung tidak pernah memenangi apa-apa Piala dan antara pencapaian terbaik mereka adalah mara ke aksi perlawanan akhir Europa League musim lalu, namun tewas kepada Villarreal.

Ole Gunnar Solskjaer dianggap pengurus paling gagal kerana beliau gagal membantu kelab memenangi sebarang kejuaraan walau pihak kelab sudah banyak mengeluarkan dana untuk mendapatkan pemain baru.

Kini Manchester United dikendalikan oleh Ralf Rangnick yang dilantik sebagai pengurus interim kelab, dan beliau akan mengendalikan setan merah sehingga akhir musim ini.

Man Utd sepertinya berjaya mencatatkan keputusan yang lebih baik ketika berada di bawah kendalian Ralf Rangnick berbanding ketika mereka di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Pengurus dari Jerman itu sudah tentu akan melakukan apa saja yang beliau mampu, dalam usahanya untuk membantu kelab setidak-tidaknya menjulang satu Piala pada musim ini.

FA Cup dan Champions League merupakan dua pertandingan yang masih ada untuk United, dan mereka sudah tentu akan cuba lakukan yang terbaik untuk memenangi kedua-dua atau setidak-tidaknya salah satu dari dua pertandingan itu.

Dengan barisan bintang yang beliau miliki, tidak mustahil Ralf Rangnick akan mampu mencapai sasaran untuk setidak-tidaknya memenangi satu Piala pada musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Salah Seorang Mangsa Gugurkan Dakwaan Dikasari Antony