Ten Hag Temui Ratcliffe Di Carrington Dan Lalui Perbincangan Positif Selama Berjam-Jam

Erik ten Hag berkata dia sudah bertemu dengan Sir Jim Ratcliffe pada Selasa lalu selepas pemilik Ineos itu melengkapkan 25% pemilikan di Manchester United.

Ten Hag berjumpa dengan Ratcliffe di pusat latihan Carrington milik United dan kedua-duanya berbincang panjang mengenai masa depan kelab.

Ia adalah lawatan pertama Ratcliffe bertemu skuad United sejak melengkapkan pemilikan di dalam kelab yang diumumkan sehari sebelum Krismas yang lalu.

Turut bersama Ratcliffe adalah wakil Ineos Sir Dave Brailsford dan John-Claude Blanc.

Pada peringkat ini perjanjian pemilikan oleh Ratcliffe perlu melalui kelulusan oleh pihak Premier League dan akan mengambil masa sekitar enam sehingga lapan minggu lagi.

“Ia [pertemuan] amat positif. Kami berbincang panjang selama berjam-jam lamanya dan bercakap mengenai pelbagai isu. Kami mempunyai pendapat yang sama. Ia pertemuan yang kontsruktif dan tidak sabar untuk memulakan kerjasama,” kata Ten Hag.

Ineos dijangka akan melakukan perubahan besar kepada struktur di United walaupun peraturan pasaran saham melarang ianya berlaku pada masa ini.

Ten Hag juga berkata masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perubahan yang dimaksudkan tatkala Ratcliffe dan pasukannya baru sahaja tiba untuk memperkenalkan diri kepada kakitangan sedia ada untuk memahami bagaimana urusan kelab dilakukan setiap hari.

“Kami harus membenarkan keadaan menjadi tenang dulu. Mereka baru sahaja menyertai [kelab] dan memperkenalkan diri mereka.

“Mereka mempunyai banyak idea bernas, jadi kita harus nilai bagaimana ia boleh diterapkan.

“Kami akan bekerjasama dan anda semua akan mengetahui [perancangan] pada hari-hari akan datang.

“Kami juga berbincang dan berdebat mengenai strategi seterusnya dan saya berpendapat kami akan berkerjasama dengan baik.”

BACA:  Giggs Beri Amaran Kepada Rashford & Martial Supaya Tingkatkan Permainan Jika Mahu Bermain Lebih Kerap