Manchester United dan Krisis Penyerang: Apa Punca Sebenar?

Bagaimana mahu memahami sebuah kelab yang membelanjakan hampir £110 juta untuk membeli dua striker tetapi tetap memulakan perlawanan terakhir Liga Perdana dengan seorang midfielder sebagai penyerang utama?

Keadaan ini sukar difahami, terutama apabila ia melibatkan Manchester United. Lebih mengecewakan lagi, bagi mereka yang menghadiri sesi “Audience with Ole Gunnar Solskjaer” pada Mei 2023, bekas pengurus itu mendedahkan betapa berbezanya situasi yang boleh berlaku jika United membuat keputusan yang lebih bijak dalam pembelian pemain.

Pada malam itu, ramai penyokong mengeluh apabila Solskjaer berkongsi kisahnya ketika mengendalikan kelab Norway, Molde. Dia pernah mengesyorkan kepada United seorang penyerang muda yang berpotensi menjadi salah seorang penjaring terbaik dunia.

“Saya menghubungi United kerana kami ada seorang penyerang berbakat yang mereka patut ambil,” kata Solskjaer. “Tapi mereka tak nak dengar. Saya hanya minta £4 juta. Tapi mereka tak mahu. £4 juta! Jangan tanya di mana dia sekarang. Dia terlalu bagus…”

Pemain yang dimaksudkan oleh Solskjaer ialah Erling Haaland yang ketika itu berusia 17 tahun. Jose Mourinho merupakan pengurus United sementara Ed Woodward adalah ketua eksekutif kelab. Tanpa alasan yang jelas United memilih untuk tidak menandatangani pemain yang kini memecahkan pelbagai rekod jaringan bersama Manchester City.

Solskjaer tidak perlu berkata lebih banyak. Wajahnya sudah cukup untuk menunjukkan rasa tidak percaya terhadap keputusan United itu.

Keputusan yang Menghantui United

Mungkin kegagalan mendapatkan Haaland tidak begitu terasa jika hubungan Marcus Rashford dengan kelab tidak mempunyai maslah6. Atau jika Mason Greenwood tidak terpalit dengan kontroversi yang telah mengubah masa depannya.

Namun realitinya sekarang, United berada di tangga ke-13 liga, hanya menjaringkan 7 gol dalam 8 perlawanan terakhir. Dahulu United terkenal dengan serangan pantas, permainan menghiburkan dan penyerang hebat. Kini, mereka bergelut untuk menjaringkan gol.

Pada musim ini United hanya menjaringkan 28 gol. Ia separuh daripada jumlah gol Liverpool yang sedang mendahului liga. Hanya empat pasukan iaitu Leicester City, Ipswich Town, Southampton dan Everton mempunyai rekod serangan lebih teruk berbanding United. Dengan 24 perlawanan sudah dimainkan, ia merupakan statistik jaringan terburuk United dalam era Liga Perdana.

Masalah ini bukan perkara baru. Dalam 11 musim sejak Sir Alex Ferguson bersara, purata jaringan United hanya 61.2 gol semusim. Sebagai perbandingan, pasukan yang menjuarai liga dalam tempoh itu mencatat purata 89.6 gol semusim. Manchester City pernah menjaringkan 106 gol dalam satu musim dan dalam tiga musim terakhirnya City menjaringkan 96, 94, dan 99 gol. Sementara itu United hanya sekali menjaringkan 70+ gol sejak Ferguson bersara.

Masalah ini menjadi lebih jelas apabila Ruben Amorim tidak yakin dengan dua penyerang yang dibeli oleh United sebelum ketibaannya disana.

Rasmus Hojlund yang dibeli dari Atalanta dengan harga £72 juta hanya menjaringkan 12 gol dalam 49 perlawanan Liga Perdana. Joshua Zirkzee yang dibeli dengan harga £36.5 juta dari Bologna baru menjaringkan 3 gol musim ini. Apabila Amorim memilih Kobbie Mainoo, seorang midfielder yang berusia 19 tahun sebagai penyerang ketika kalah kepada kepada Crystal Palace 2-0, ia jelas menunjukkan bahawa Amorim tidak percaya dengan penyerang yang ada.

Seperti dijangka percubaan Amorim menggunakan Mainoo sebagai striker gagal. Jika seorang pengurus benar-benar percaya dengan penyerangnya, eksperimen seperti ini tidak akan berlaku.

Rashford Dipinjamkan dan United Terus Buntu

Ketika ditanya sama ada Rashford akan menjaringkan banyak gol semasa dipinjamkan ke Aston Villa, Amorim menjawab dengan tenang:

“Memalukan? Tidak. Apabila anda meminjamkan seorang pemain, anda harap dia bermain dan meningkat. Jadi, tiada apa yang memalukan di sini.”

Amorim jelas tidak berminat dengan Rashford tetapi situasi ini tetap pelik. United kini membayar sebahagian besar gaji Rashford (walaupun Villa menanggung sebahagian besarnya, sekitar £325,000 seminggu) untuk bermain dengan kelab yang lebih tinggi dalam kedudukan liga.

Namun, mungkin lebih mengejutkan adalah fakta bahawa United pernah mempertimbangkan untuk membawa kembali Danny Welbeck ke Old Trafford selepas 10 tahun menjualnya ke Arsenal.

Louis van Gaal, pengurus United ketika itu pernah berkata:

“Saya telah memberi peluang kepada semua pemain untuk meyakinkan saya tentang kualiti mereka. Ya, Danny Welbeck berada di sini sejak usia 9 tahun… tetapi rekodnya tidak setanding dengan (Robin) Van Persie atau (Wayne) Rooney dan itu adalah standardnya.”

Dengan kata lain Welbeck tidak cukup bagus. Dan kini, sedekad kemudian, adakah United benar-benar percaya bahawa Welbeck, yang kini berusia 33 tahun dan bermain untuk Brighton adalah jawapan kepada masalah serangan mereka?

Keputusan Pemain Serangan yang Meragukan

Sejak era Ferguson berakhir, strategi pembelian penyerang United kelihatan tidak menentu. Tiga kategori pemain telah mereka bawa masuk sepanjang tempoh ini.

  1. Bintang veteran – Radamel Falcao, Zlatan Ibrahimovic, Edinson Cavani dan Cristiano Ronaldo. Mereka dibeli untuk nilai komersial tetapi kebanyakannya tidak mampu memberi impak besar di atas padang.
  2. Pemain muda berbakat – Hojlund, Zirkzee, Memphis Depay, Anthony Martial dan Romelu Lukaku. Mereka diharapkan menjadi tonggak masa depan tetapi kebanyakan mereka gagal mencapai potensi sebenar.
  3. Pembelian terdesak – Wout Weghorst dari Burnley dan Odion Ighalo dari Shanghai Shenhua adalah contoh bagaimana United kadangkala membeli pemain tanpa perancangan jelas.

Keputusan ini menghasilkan prestasi yang bercampur-campur. Lukaku dan Martial mempunyai detik-detik bagus tetapi tidak akan dikenang oleh penyokong. Ibrahimovic disanjung sementara Cavani menunjukkan beberapa aksi cemerlang. Ronaldo pula, walaupun menamatkan musim 2021-22 dengan 18 gol Liga Perdana, dia tetap berdepan pengakhiran yang suram di Old Trafford.

Tiada seorang pun dalam kalangan mereka mencapai standard seperti Van Persie atau Rooney.

Kesilapan yang Berulang dalam Pasaran Pemain

Masalah sebenar di sini adalah kegagalan United dalam pasaran perpindahan. Musim demi musim, keputusan yang dibuat penuh dengan penyesalan. Jika ditambah dengan nama-nama seperti Antony, Alexis Sanchez dan Angel Di Maria, senarai kesilapan ini menjadi semakin panjang.

Dan Haaland? Sesetengah peminat United mungkin cuba meyakinkan diri bahawa dia tidak akan datang atau tidak pernah berminat ke Old Trafford, kerana sejarah ayahnya, Alfie Haaland dengan Roy Keane. Tetapi Solskjaer berfikiran sebaliknya. Dia tahu Haaland boleh dibeli dengan harga yang murah dan memberi isyarat kepada United bahawa mereka akan menyesal jika melepaskan peluang itu.

Kini semuanya hanya andaian yang tidak akan berlaku. Tetapi bayangkan berapa banyak gol yang Haaland boleh jaringkan jika dia bermain untuk United?

Musim ini Haaland dikatakan “kurang menyerlah” tetapi tetap berada di belakang Salah dalam senarai penjaring terbanyak. Musim lalu, dia juga dikatakan “kurang cemerlang” tetapi tetap memenangi Kasut Emas untuk musim kedua berturut-turut.

Sementara itu, United bersiap sedia menghadapi perlawanan Piala FA menentang Leicester City. Ruud van Nistelrooy akan berada di bangku simpanan lawan sebagai jurulatih. Tidak mengejutkan jika namanya akan bergema di Old Trafford kerana pada zamannya, Ferguson tidak pernah meletakkan midfielder sebagai striker.

BACA:  Away Kit Manchester United Musim 2021/22 Bertema Retro Dibocorkan