Manchester United: Dari Kelab Gergasi ke Pasukan Biasa?

Pada 24 Mei 2022, BBC terpaksa meminta maaf selepas ayat “Manchester United are rubbish” (Manchester United tak berguna) muncul semasa mereka menyiarkan berita sukannya.

Sudah lebih dari 1,000 hari telah berlalu sejak kejadian itu. Sepanjang tempoh tersebut, United telah menukar pengurus, memenangi 2 piala domestik dan menerima kehadiran pemilik baharu, Sir Jim Ratcliffe dari INEOS. Banyak perkara telah berlaku tetapi yang menyedihkan Manchester United masih tidak berada pada tahap terbaik.

Hampir semua ukuran prestasi pasukan menunjukkan bahawa skuad United musim 2024-25 hanyalah pasukan biasa-biasa.

Prestasi Merudum di Liga Perdana

Kini harapan diletakkan kepada Ruben Amorim yang tiba pada pertengahan November untuk memperbaiki prestasi pasukan. Namun, selepas 14 perlawanan Liga Perdana di bawah bimbingannya, United hanya mengutip 14 mata (4 menang, 2 seri, 8 kalah) dan berada di kedudukan ke-15 liga.

Hanya Ipswich Town, Leicester City, Southampton dan Wolverhampton Wanderers yang berada dibawahnya.

Walaupun mereka masih berada dalam saingan Piala FA dan Liga Europa, United mengalami kejatuhan yang menyebabkan penyokong, pengulas dan pemerhati bola sepak kehabisan idea untuk menggambarkan situasi kelab ini.

Lebih buruk lagi, berita mengenai pengurangan pekerja di kelab serta kemungkinan kenaikan harga tiket menambahkan lagi tekanan di Old Trafford.

Kesetiaan Penyokong United Yang Teruji

Pada Mei 2013, seorang pengurus United berkata di hadapan lebih 70,000 peminat,

“Saya ingin mengingatkan anda bahawa kelab ini telah menyokong saya ketika saat sukar, begitu juga pemain dan staf. Sekarang, tugas anda adalah untuk menyokong pengurus baharu.”

Penyokong United telah melakukan perkara tersebut tahun demi tahun, baik ketika pasukan berada di puncak mahupun ketika jatuh merudum.

Meskipun Ruud van Nistelrooy berjaya menstabilkan keadaan ketika menjadi pengurus sementara, pendekatan Amorim untuk mengemudi pasukan ini seolah-olah tidak memberikan harapan besar kepada penyokong.

Menjadi penyokong sesebuah pasukan bola sepak adalah satu komitmen emosi dan kewangan. Semakin mendalam seseorang menyokong kelab, semakin manis kejayaan yang diraih dan semakin pedih kekalahan yang dialami.

Bagi penyokong United, musim ini sangat mengecewakan dan dalam tempoh terdekat tiada petunjuk jelas bahawa keadaan akan berubah.

Gambaran Kekacauan di Old Trafford

Dalam perlawanan menentang Tottenham yang berakhir dengan kekalahan 1-0, Amorim terpaksa menyenaraikan beberapa pemain akademi di bangku simpanan kerana kecederaan dan masalah kesihatan dengan pemain utama.

Ketika kamera menyorot ke arah bangku simpanan, kelihatan sekumpulan pemain muda dengan purata umur di bawah 20 tahun duduk di situ.

Victor Lindelof merupakan satu-satunya pemain simpanan yang pernah membuat penampilan bersama skuad utama United. Seorang penyampai BBC menggambarkan situasi itu dengan berkata:

“Seperti seorang guru yang membawa pelajarnya keluar untuk lawatan sekolah.”

Tetapi bagaimana penyokong United melihat keadaan ini?

Adakah ini tanda bahawa United sudah jatuh teruk sehingga terpaksa bergantung kepada pemain akademi?

Atau…

Adakah ini petanda bahawa pemain akademi adalah jawapan kepada masalah yang dihadapi kelab ini?

Krisis Kewangan dan Harapan Terhadap Akademi

Keadaan kewangan United kini tidak stabil. Mereka perlu menangani hutang besar yang terkumpul akibat pengurusan kewangan yang lemah dan perbelanjaan tidak berhemah dalam pembelian pemain.

Pada masa yang sama, mereka perlu membina pasukan untuk masa depan tetapi dana yang ada sangat terhad. Ia menjadikan United sukar untuk bersaing dengan kelab-kelab teratas dalam Liga Perdana yang semakin kompetitif.

Musim panas ini, Amorim mungkin tidak akan mendapat dana besar untuk membeli ramai pemain berkualiti tinggi. Oleh itu, beliau perlu bergantung kepada bakat dari akademi untuk memperkuat pasukan.

Namun, ada yang mungkin membantah:

“Tapi Amorim pun tak guna pemain akademi lawan Spurs!”

Dalam sidang media selepas perlawanan, Amorim menjelaskan,

“Pasukan sedang berusaha mendapatkan gol dan saya tidak merasakan keperluan untuk membuat pertukaran.”

Walaupun begitu, dalam beberapa temu bual Amorim telah menegaskan bahawa skuad sedia ada tidak sesuai dengan gaya permainannya. Jika beliau tidak dapat membeli pemain berkualiti tinggi, beliau harus mencari cara untuk mengembangkan pemain akademi.

Adakah Akademi United Jalan Penyelesaian?

Kajian tentang akademi United pada tahun 2024 menunjukkan bahawa staf kejurulatihan di Carrington masih berpegang pada falsafah kelab: “Youth. Courage. Success.” (Muda. Berani. Kejayaan.)

Akademi ini telah berjaya melahirkan ramai pemain muda berbakat. Tetapi, peralihan dari akademi ke Liga Perdana bukan sesuatu yang mudah. Amorim dan staf kejurulatihan perlu membimbing pemain muda ini agar mereka dapat berkembang dengan baik.

Ia bukan tugas yang mudah. Raphael Varane, bekas pemain pertahanan United pernah berkata bahawa pemain muda yang masuk ke skuad utama akan merasakan tekanan besar dan harapan yang tinggi daripada penyokong serta pihak kelab.

Oleh itu, hanya dengan menggunakan pemain akademi sahaja tidak mencukupi. United perlu memberikan mereka masa, bimbingan, serta persekitaran yang stabil dan menyokong.

Kesimpulan: United Perlu Satu Pelan Yang Jelas

Untuk keluar dari krisis ini, United memerlukan satu pelan yang kukuh. Mereka perlu orang yang sanggup memikul tanggungjawab dan satu visi yang boleh diterima oleh penyokong.

Dalam sejarahnya, United sering berpaling kepada akademi ketika mengalami masalah. Sama ada secara sengaja atau tidak, perkara ini nampaknya akan berlaku lagi.

Pemain-pemain yang datang dari akademi United lebih memahami apa ertinya menjadi pemain Manchester United.

Persoalannya sekarang—bolehkah Amorim memberikan mereka peluang untuk membuktikan diri?

BACA:  UEFA Senaraikan Man Utd Sebagai 10 Kelab Terbaik Eropah Dalam Ranking Terbaru