Manchester United Ditendang Keluar Oleh Pasukan Bawahan

Pasukan Manchester United tidak jemu untuk memberikan hiburan kepada orang ramai dan kali ini mereka telah tersingkir dalam pusingan awal Piala FA 2022 selepas ditewaskan oleh pasukan liga divisyen dua, Middlesborough menerusi penentuan sepakan penalti.

Pengurus United, Ralf Rangnick boleh dikatakan menurunkan barisan terkuatnya selepas cuti yang panjang dan seawal minit kedua, Jadon Sancho telah hampir membuka jaringan buat pasukan tuan rumah apabila bola lambungnya telah melemaskan penjaga gol Boro, Joe Lumley, namun dikecewakan oleh palang gol.

Lima minit kemudian, tendangan gunting akrobatik Cristiano Ronaldo pula dengan mudah diselamatkan oleh Lumley. United kemudian terus melancarkan serangan bertali arus ke gawang Boro dan akhirnya pada minit ke 19, Paul Pogba telah dijatuhkan dalam kotak penalti sekaligus membolehkan United dianugerahkan sepakan penalti.

Ronaldo mengambil sepakan ini namun tendangannya jauh melencong ke sebelah kiri.

Walaubagaimanapun penantian United untuk mendapatkan gol pertama akhirnya berhasil pada minit ke-25 menerusi Jadon Sancho.

Sancho yang menerima bola di dalam kotak penalti lawan, cuba dihalang oleh dua pertahanan Boro sebelum melepaskan satu rembatan menerusi kaki kirinya yang tertampan ke kaki pemain lawan sebelum menewaskan Lumley.

United terus melancarkan serangan sepanjang separuh masa pertama namun dikecewakan dengan ketumpulan pemain mereka di depan gol.

Pada minit ke-29, cubaan Ronaldo telah mampu menewaskan penjaga gol Boro, namun bola sekadar lalu tanpa singgah ke dalam gol lawan tanpa sempat dikejar oleh Marcus Rashford.

Seminit kemudian, rembatan Rashford telah berjaya menembusi gawang lawan namun gol tidak dikira kerana dia terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.

Pada penghujung separuh masa pertama, tandukan lemah daripada Bruno Fernandes ditangkap mudah oleh Lumley yang dilihat sangat bersedia untuk mengharungi perlawanan ini.

Matt Crook berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 apabila dengan mudah menolak masuk bola hantaran daripada Duncan Watmore. Selepas menerima bola di dalam kotak penalti, bola dilihat terkena tangan Watmore sebelum dia melambung bola kepada Crook.

Tanpa ragu, pengadil meniup wisel dan menunjukkan tangan ke tengah padang menandakan gol tersebut dikira dan bola yang terkena tangan Watmore tersebut dianggap sebagai satu insiden yang tidak sengaja.

Tersentak dengan gol tersebut, United dilihat hilang arah dalam perlawanan ini dan mula melakukan aksi kelakar terutamanya daripada Harry Maguire.

Pada suatu ketika, Bruno Fernandes sudah sepatutnya meletakkan United kembali di depan apabila dia berjaya merampas bola hasil daripada kesilapan pertahanan Boro berhampiran kotak penalti mereka.

Dengan pintu gol sudahpun terbuka luas dan tidak dicabar mana-mana pemain lawan, Fernandes memilih untuk menyepak bola ke arah tiang sekaligus mengecewakan penyokong United di stadium dan juga di depan televisyen di seluruh dunia.

Kedudukan satu sama ini kekal sehingga tamat masa tambahan dan perlawanan dibawa ke penentuan sepakan penalti.

Lepasan akademi United, Pady McNair, telah menjaringkan penalti pertama buat Boro, sebelum disamakan kedudukan oleh Juan Mata. Martin Payero, Jonathan Howson, Marcus Tavernier, Souleymane Bamba, Duncan Watmore, Dael Fry dan Lee Peltier kesemua mereka berjaya menyudahkan sepakan penalti dengan penjaga gol United, Dean Henderson hanya mampu terkebil-kebil melihat bola masuk ke dalam gol.

Harry Maguire, Fred, Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes, Scott McTominay dan Diogo Dalot pula kesemua mereka berjaya menyudahkan penalti dengan baik. Detik kekecewaan penyokong United hadir pada sepakan penalti mereka apabila pemain muda yang semakin meningkat naik, Anthony Elanga telah termakan dengan tekanan yang menggunung apabila sepakan penaltinya melambung tinggi melepasi gawang, sekaligus membuatkan para pemain Boro berlari keseronokan dan kegembiraan.

Kekalahan ini membuatkan United mencipta rekod baur pasukan mereka di mana mereka mencatatkan tujuh peluang keemasan di dalam perlawanan sepanjang 90 minit – paling banyak yang direkodkan sejak laman sesawang Whoscored mula mengumpul data ini.

Para penyokong seperti biasa melaungkan slogan anti Glazer selepas terpaksa menghadap kekalahan ini dengan perut yang kosong dan tekak yang kering kerana makanan dan minuman tidak dapat dijual sepanjang perlawanan disebabkan oleh kesilapan teknikal.

BACA:  Solskjaer Akhirnya Diangkat Menjadi Pengurus Tetap Manchester United