Manchester United mengalami kekalahan liga di tempat sendiri buat kali ke-7 musim ini selepas tunduk 2-0 kepada Crystal Palace. Kekalahan ini menjadi lebih parah apabila pertahanan utamanya, Lisandro Martinez terpaksa diusung keluar akibat kecederaan.
Dengan kekalahan ini, Crystal Palace berjaya memintas United di carta liga dan meninggalkan skuad Ruben Amorim di tangga ke-13 dengan 29 mata daripada 24 perlawanan.
Jean-Philippe Mateta muncul wira Palace melalui dua jaringannya pada separuh masa kedua. Kecederaan serius yang dialami Martinez selepas terjatuh tanpa menerima cabaran kuat dari pemain lawan mencetuskan kebimbangan jangka panjang untuk Amorim dan pasukan.
Percaturan Baharu Amorim: Mainoo sebagai ‘False Nine’
Separuh masa pertama berlangsung dengan kedua-dua pasukan saling mengimbangi satu sama lain tanpa banyak peluang berbahaya. Perhatian lebih tertumpu kepada keputusan Amorim yang meletakkan Kobbie Mainoo di posisi ‘false nine’. Keputusan ini menimbulkan tanda tanya kerana dua penyerang utamanya iaitu Joshua Zirkzee dan Rasmus Hojlund diletakkan di bangku simpanan.
Keputusan Amorim untuk menggunakan Mainoo di bahagian serangan mencetuskan persoalan mengenai nasib Zirkzee dan Hojlund. Ketika pengumuman kesebelasan utama dibuat, ramai menjangkakan Alejandro Garnacho, Amad atau Bruno Fernandes bakal mengisi posisi penyerang utama.
Pemain muda berusia 19 tahun itu diletakkan di antara Garnacho dan Amad, serta di hadapan Fernandes dan Manuel Ugarte. Walaupun Mainoo terkenal sebagai pemain defensive midfielder (NO6), dia sebenarnya pernah bermain sebagai wing, pemain center attacking midfielder (NO10) dan juga ‘false nine’ ketika peringkat remajanya.
Keputusan ini dipercayai berpunca daripada aksi cemerlangnya ketika menentang FCSB, di mana dia berjaya menjaringkan 1 gol serta mencipta 1 bantuan gol. Ia juga mungkin satu mesej daripada Amorim bahawa United memerlukan tambahan penyerang dalam jendela perpindahan kali ini atau jendela akan datang.
Ketiadaan Marcus Rashford yang dipinjamkan ke Aston Villa membuatkan United giat mencari penyerang baharu pada jendela kali ini. Namun, penyelesaian jangka panjang tetap menjadi keutamaan.
Mainoo memulakan perlawanan dengan baik, mencipta peluang untuk Garnacho seawal minit ke-5 selepas meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Palace untuk menerima hantaran dari Noussair Mazraoui. Malangnya rembatan dari Garnacho disekat oleh Chris Richards. Beberapa minit kemudian, Mainoo sendiri mencuba nasib tetapi rembatannya yang terbias hanya mengenai tiang gol.
Selepas itu Mainoo semakin tenggelam dalam permainan. Dia digantikan pada minit ke-70 dengan Amorim memasukkan Hojlund dan Zirkzee (Zirkzee menggantikan Mazraoui), tetapi kedua-duanya juga gagal memberi impak besar.
Masalah United di Bahagian Serangan Berterusan
Walaupun Amorim mengubah formasi serangannya namun masalah penyudah masih belum dapat diatasi. Mereka mencipta beberapa peluang pada separuh masa pertama tetapi hanya pada minit ke-51 mereka berjaya melakukan percubaan tepat ke arah gol. Percubaan itu dari Fernandes yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti dan ditepis oleh penjaga gol Palace, Dean Henderson.
Empat minit kemudian, Henderson sekali lagi menjadi penghalang apabila menggunakan kakinya untuk menepis percubaan Manuel Ugarte yang berpunca dari tandukan Harry Maguire dari sepakan percuma Fernandes.
United menamatkan separuh masa pertama dengan 10 percubaan tidak menguji Henderson langsung.
Sebaliknya, Mateta menunjukkan betapa pentingnya naluri semula jadi seorang penyerang apabila dia pantas menyambar bola muntah hasil tandukan Maxence Lacroix yang terkena palang. Dalam situasi itu, Maguire gagal memerangkapnya untuk berada dalam perangkap ofsaid.
Maguire sekali lagi terlewat dalam perangkap ofsaid ketika Daniel Munoz meloloskan diri sebelum menghantar bola kepada Mateta untuk jaringan kedua Palace pada lewat permainan.
Dalam kenyataan media semasa mengumumkan ketibaan Dorgu, United menyatakan bahawa pemain itu mencatat jumlah cubaan melepasi pemain lawan ke-4 tertinggi dalam kalangan pertahanan di Serie A. Ini menunjukkan bahawa Dorgu mungkin dibeli kerana keupayaannya dalam aspek serangan.
United kini sedang mencari pemain serangan sebelum tarikh akhir perpindahan. Mathys Tel dari Bayern Munich dan Christopher Nkunku dari Chelsea menjadi sasaran utama. Leon Bailey dari Aston Villa turut dibincangkan tetapi perpindahan itu tidak akan berlaku.
Kecederaan Martinez: Cabaran Besar untuk United
Insiden kecederaan Martinez di sudut padang berhampiran penyokong pelawat mengingatkan kejadian serupa yang berlaku Februari lalu di tempat yang sama. Ketika itu, dia mengalami kecederaan lutut kanan ketika menentang West Ham United dan terpaksa berehat sehingga Mei.
Kali ini, kecederaannya juga kelihatan serius. Lutut kiri Martinez terseliuh ketika dia bertembung dengan Ismaila Sarr dan dia terus meminta pertukaran serta-merta.
Dia terbaring di atas padang dengan kepala dalam genggaman tangan sementara pasukan perubatan merawatnya. Martinez kemudian diusung keluar dengan air mata dan Amorim sempat memberikan tepukan sokongan ketika pemain itu melalui kawasan bangku simpanan.
Ketika ini, Martinez sedang berada dalam prestasi terbaik dan ketiadaannya pasti memberi kesan besar kepada United. Dia merupakan tonggak utama dalam membina serangan dari bahagian pertahanan. Hantaran tepatnya ke bahagian sayap menjadi elemen penting dalam corak permainan pasukan.
Luke Shaw yang baru kembali menjalani latihan minggu lalu boleh menjadi pilihan di posisi bek-tengah kiri apabila cergas sepenuhnya. Namun kecederaan berulang yang dialaminya juga menimbulkan kebimbangan.
Heaven, pemain baharu dari Arsenal juga boleh beraksi di posisi itu tetapi dengan usia hanya 18 tahun dan pengalaman yang sangat terhad dia mungkin belum bersedia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Martinez. Setakat ini Heaven hanya mempunyai 1 penampilan senior iaitu sebagai pemain gantian yang masuk pada 10 minit terakhir dalam perlawanan Piala Carabao menentang Preston North End.
Sebagai langkah segera, Amorim memasukkan Matthijs de Ligt untuk menggantikan Martinez. Leny Yoro juga pernah bermain di bahagian kiri pertahanan sebelum ini. Namun, kehilangan Martinez tetap menjadi cabaran besar buat United, yang kini semakin bergelut untuk mengukuhkan prestasi mereka dalam saingan liga.