Manchester United Kekurangan Keyakinan Tetapi Keberanian Masih Membantu Mereka

Pada separuh masa kedua dalam perlawanan menentang Arsenal, Diogo Dalot melakukan terjahan bersih untuk merampas bola daripada pemain lawan, tetapi tanpa sengaja dia menghantar bola keluar dari padang. Pergerakan itu kelihatan seperti seorang pemain amatur yang sudah keletihan dalam perlawanan 5 sebelah, di mana semangatnya masih kuat tetapi badan tidak lagi mampu mengikut rentak.

Sentuhan pertama Dalot membuatkan bola melantun dari kaki lemahnya (kiri) dan momentumnya tidak cukup pantas untuk mengawal bola sebelum ia keluar dari garisan. Apa reaksinya? Hanya menggelengkan kepala sebelum berlari semula ke posisi bertahan dan hampir 3,000 penyokong Arsenal mentertawakannya.

Situasi itu boleh sahaja membuat Dalot hilang keyakinan. Namun, hanya 5 minit kemudian dia kembali menyerang di bahagian sayap sebelum menghantar bola silang kepada Noussair Mazraoui yang kemudiannya melakukan percubaan ke arah gawang. Jika bukan kerana tindakan cemerlang penjaga gol Arsenal, David Raya United mungkin sudah berada di hadapan.

Inilah yang dimahukan oleh Ruben Amorim, keberanian untuk bangkit selepas kesilapan.

Keyakinan Yang Rapuh, Tetapi Keberanian Masih Ada

Sepanjang musim ini, United berdepan masalah keyakinan. Pemain-pemainnya masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak taktikal Amorim. Ia menyebabkan mereka sering bermain dengan rasa ragu-ragu dan kurang keseimbangan. Ketika mereka bermain buruk, bola seolah-olah terlalu berat untuk dikawal dan pertahanan pula goyah.

Keadaan ini sekali lagi kelihatan dalam perlawanan menentang Arsenal. Penyokong lawan mengejek Andre Onana setiap kali dia melakukan sepakan gol, berharap dia akan melakukan kesilapan. United sering dianggap sebagai pasukan yang mudah ditekan – jika lawan dapat mengganggu rentak mereka di separuh masa pertama, mereka akan mula melakukan kesilapan selepas rehat.

Sejak beberapa musim kebelakangan ini, United sering mengumpul kesilapan ibarat faedah berganda dalam akaun simpanan.

Arsenal cuba memaksa United tunduk dengan tekanan sepanjang separuh masa pertama. Namun menjelang waktu rehat, Bruno Fernandes meledak satu sepakan percuma cantik untuk meletakkan United di hadapan. Benteng pertahanan Arsenal yang tidak tersusun dan kedudukan Raya yang kurang baik membantu jaringan itu tetapi keberanian Fernandes telah menjadikan ia satu gol yang berharga.

Apabila United bermain dengan baik, mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi. Pada hari ribuan penyokong mereka turun ke stadium untuk membantah pemilikan kelab, para pemain pula memberikan separuh masa kedua dengan aksi yang penuh dengan aksi mendebarkan.

United Semakin Berani, Tetapi Masih Ada Kekurangan

Ketika Dalot melorongkan bola kepada Mazraoui, Joshua Zirkzee pula mencuba untuk menjaringkan gol dengan tumit belakangnya. Ia satu percubaan berani yang hampir berjaya. Amorim sendiri pernah berkata, “Jika saya boleh melihatnya maka saya boleh mempercayainya.” Begitulah corak permainan United – mereka memerlukan satu detik yang baik untuk membina momentum dan keberanian.

Christian Eriksen dan Casemiro mungkin tidak lagi sehebat musim 2022-23 tetapi mereka tetap berusaha mengawal bahagian tengah dengan baik. Pemain muda, Ayden Heaven yang baru menyertai United dari akademi Arsenal pada Januari lepas telah menunjukkan potensi besar selepas dimasukkan pada separuh masa kedua.

Namun, tidak semuanya berjalan lancar. United masih mempunyai jurang kualiti besar berbanding pasukan terbaik di liga. Ketika mereka mula keletihan, Arsenal mengambil kesempatan. Gol penyamaan Declan Rice pada minit ke-74 berpunca daripada kelemahan pertahanan United yang terlalu dalam dan lambat bertindak balas terhadap gerakan Jurrien Timber.

Peluang untuk menang sebenarnya masih ada. Rasmus Hojlund memperoleh peluang keemasan di dalam kotak penalti tetapi memilih untuk mengawal bola terlebih dahulu, membolehkan Rice melakukan terjahan penyelamat. Jika Hojlund mempunyai keyakinan seperti ketika dia menjaringkan gol menentang Galatasaray dan Copenhagen musim lalu, mungkin keputusan perlawanan ini akan berbeza.

Harapan Untuk Masa Depan

Selepas perlawanan, Amorim mengakui bahawa pasukannya masih menghadapi masalah keyakinan. “Pada permulaan perlawanan, kami bermain dengan rasa ragu-ragu. Namun, semakin lama perlawanan berlangsung, kami mula berasa lebih yakin dan berani,” katanya.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1, sama seperti pertembungan di Piala FA Januari lalu. Bezanya, kali ini tiada penentuan sepakan penalti yang memberi kelegaan kepada United. Namun, keputusan ini menunjukkan bahawa Amorim mula menggabungkan falsafah taktiknya dengan strategi tradisional untuk menghadapi Arsenal.

United hampir mencipta kemenangan. Mereka jelas lebih selesa apabila menjaringkan gol awal tetapi cabaran sebenar adalah bagaimana mereka akan bertindak balas jika ketinggalan. Dengan perlawanan penting Liga Europa bakal menjelang, keputusan ini sekurang-kurangnya boleh membantu mereka untuk membina keyakinan yang lebih kukuh.

Dalam banyak hal, Amorim masih mencari strategi terbaik untuk pasukan ini. Walaupun United kurang keyakinan, mereka menjadi lebih berbahaya apabila berani mengambil risiko dan mencuba sesuatu yang luar biasa.

BACA:  Amrabat Semakin Hilang Sabar Dengan Kelembapan Man United