Manchester United Memiliki Barisan Midfield Standard Zon Penyingkiran Sahaja

Manchester United memiliki pemain midfield standard zon penyingkiran dan tidak mempunyai hati, keinginan serta semangat untuk bermain.

Itulah apa yang dikatakan oleh legenda kelab sendiri, Paul Parker yang menganggap barisan midfield United memiliki standard seperti pemain yang bermain di zon penyingkiran sahaja.

Manchester United tidak dinafikan lagi sememangnya sedang bergelut dengan masalah prestasi pada ketika ini, dengan mereka kini berada di kedudukan ketujuh dalam carta saingan liga.

United juga pada minggu lalu turut mencatatkan kekalahan memalukan 1-0 di tangan Wolverhampton Wanderers di halaman mereka sendiri dalam saingan Premier League.

Tidak dinafikan hampir keseluruhan skuad setan merah sangat bergelut dengan masalah prestasi sepanjang musim ini.

Namun kawasan yang paling teruk adalah di posisi midfield, dengan United sering mencatatkan keputusan teruk kerana pemain midfield mereka tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka.

Bruno Fernandes, Fred, Nemanja Matic dan Scott McTominay kesemuanya teruk dihentam oleh pelbagai pihak atas aksi hambar dan mengecewakan yang mereka persembahkan.

Sementara Paul Pogba dan Donny Van de Beek pula mereka pada musim ini seperti sudah tidak wujud lagi dalam skuad setan merah.

Parker menegaskan yang pemain midfield yang Man Utd ada pada ketika ini tidak cukup bagus untuk skuad, dalam usaha mereka mahu mencabar apa-apa kejuaraan.

“Orang ramai bercakap tentang bagaimana mereka melihat Rangnick sebagai mentor, jadi kamu cari dia untuk bina struktur dan apa yang boleh digunakan untuk membawa mereka ke tahap seterusnya.”

Jelas Parker kepada BetFred.

“Walau bagaimanapun, masalahnya sekarang, bagaimana kamu mahu bina pemain, ketika pemain yang kamu ada tak cukup bagus atau tak boleh untuk pamerkan sesuatu.”

“Kita lihat itu ketika aksi bertemu Wolves. Manchester United memiliki barisan midfield standard zon penyingkiran pada ketika ini.”

Komen yang beliau keluarkan sebenarnya berkait dengan isu 17 pemain kini dilaporkan tidak gembira di Old Trafford dan mahu meninggalkan kelab secepatnya.

Parker turut menghentam nama-nama besar yang ada dalam skuad setan merah, kerana mereka gagal menunjukkan contoh yang baik di waktu kesukaran seperti sekarang.

“Manchester United ada nama tapi mereka tak ada sesuatu yang lebih penting berbanding segalanya dan ia adalah hati, semangat dan keinginan.”

Jelas Parker lagi ketika mengulas isu tersebut.

Pengurus interim kelab, Ralf Rangnick juga turut berdepan dengan kritikan kerana gagal untuk memperbaiki keputusan sejak dilantik menggantikan Ole Gunnar Solskjaer pada November lalu.

Walau bagaimanapun, pengurus dari Jerman itu telah mendapat sokongan dari bekas pengurus England, Roy Hodgson.

Roy Hodgson menyatakan yang Ralf Rangnick perlu diberi masa yang lebih banyak untuk beliau membawa prinsip dan falsafah beliau dalam kelab.

“Dia seorang yang benar-benar serious dengan dunia bola sepak dan dia ada rekod yang sungguh luar biasa tidak kira di mana saja dia pergi.”

Jelas Hodgson kepada Sky Sports.

“Saya ada rasa simpati dan empathy kepada sesiapa yang berada di kedudukan tersepit kerana saya sendiri pernah ada dalam situasi itu.”

“Saya rasa antara masalah untuk dengan Ralf adalah orang terlalu bergantung kepada dia dan cara serta falsafah dia sebenarnya sangat sukar untuk diikuti.”

Manchester United pada awal pagi tadi turun beraksi bertemu Aston Villa dalam saingan Piala FA dengan skuad kendalian Ralf Rangnick itu berjaya menewaskan anak-anak buah Steven Gerrard dengan keputusan 1-0.

Kemenangan ini telah melayakkan mereka untuk beraksi di pusingan keempat nanti, dengan United dijadualkan bakal turun beraksi bertemu Middlesbrough.

Minggu hadapan, setan merah akan sekali lagi turun untuk beraksi bertemu Aston Villa, namun kali ini ia akan dilangsungkan di Villa Park dalam aksi saingan Premier League.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mourinho Nafi Wujud Sebarang Masalah Antara Beliau Dan Ed Woodward