Meluat Tahap Maksimum Dengan Onana, Ratcliffe Sedia Bida Keeper Baru Dari La Liga Untuk Man Utd

Prestasi buruk Manchester United musim ini menyaksikan mereka tersingkir daripada Champions League seawal peringkat kumpulan, dan ia dijangka akan memberikan kesan terhadap beberapa pemain bintang di kelab itu selepas ini.

Man Utd sah tersingkir daripada pertandingan elit kelab-kelab eropah pada musim ini selepas gol jaringan Kingsley Coman memberikan kemenangan 1-0 untuk Bayer Munich.

United tewas empat daripada enam perlawanan Champions League pada musim ini. Kekalahan tersebut juga adalah yang keenam buat anak buah Erik ten Hag di Old Trafford di semua pertandingan sepanjang musim.

Tatkala pelabur baharu Sir Jim Ratcliffe dijangka akan melengkapkan pemilikan minoriti di kelab tersebut, pengasas syarikat petrokimia INEOS itu dijangka akan diberikan kuasa sepenuhnya untuk urusan jual beli pemain di Old Trafford.

Sejak beberapa bulan lalu Ratcliffe dikatakan sangat kritikal mengenai beberapa pemain bintang yang dibawa masuk oleh United dengan harga yang mahal, namun gagal memberikan pulangan seperti yang diharapkan.

Menurut laporan dari Sepanyol, antara pemain terawal yang akan ditunjukkan pintu keluar oleh Ratcliffe adalah penjaga gol Andre Onana.

United terpaksa membayar £47.1 juta kepada Inter Milan untuk mendapatkan penjaga gol antarabangsa Cameroon itu pada jendela perpindahan musim panas lalu – menjadikan Onana penjaga gol ketiga termahal di Premier League.

Walaupun demikian Onana menampilkan deretan kesilapan memalukan sehingga dibolosi 15 kali daripada enam perlawanan Champions League.

Ratcliffe dikatakan sudah hilang sabar dan meluat tahap maksimum dan mahukan United mendapatkan pengganti yang lebih berkualiti selepas ini.

Antara penjaga gol yang kini berada di dalam radar Ratcliffe dan United untuk menggantikan Onana adalah Giorgi Mamardashivili yang kini merupakan penjaga gol utama Valencia.

Mempunyai ketinggian 6 kaki 6 inci, penjaga gol antarabangsa Georgia itu bagaimanapun hanya akan dibida oleh Ratcliffe seawal jendela perpindahan musim panas akan datang – pada ketika perpindahan hak milik kelab sudah diselesaikan.

Mamardashvili telah menjadikan dirinya sebagai salah seorang penjaga gol paling menyerlah untuk Los Che sepanjang separuh musim La Liga berlangsung.

Pada masa ini Mamardashvili dinilai pada tanda harga €35 juta – €40 juta. Masalahnya prestasi cemerlang Mamardashvili bersama Valencia sepanjang musim ini turut menarik perhatian Mauricio Pochettino yang mahukan penjaga gol itu sebagai penjaga gawang utama Chelsea.

United dijangka akan melakukan bidaan awal untuk Mamardashvili, dan Valencia turut dikatakan terdesak untuk mengisi kantung kewangan mereka untuk membina sebuah pasukan baharu.

Penjaga gol berusia 23 tahun itu mempunyai kontrak bersama Valencia sehingga 2027, dan sehingga kini telah merekodkan 23 cleansheet daripada 79 perlawanan di semua pertandingan untuk pasukannya.

BACA:  Cavani Penuh Dedikasi Menghadiahkan Jari Tengah Kepada Penyokong Manchester United