Manchester United umum rancangan untuk stadium baharu berkapasiti 100,000

Manchester United bercadang membina stadium baharu berkapasiti 100,000 berbanding membangunkan semula Old Trafford

Manchester United mengumumkan rancangan besar mereka pada hari Selasa. Firma seni bina yang berpangkalan di London, Foster + Partners dipilih untuk mengetuai projek ini.

Stadium baharu itu akan dibina di kawasan sekitar Old Trafford sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan semula kawasan Trafford Wharfside.

Dalam kenyataan media, kelab menyatakan bahawa stadium baharu dan projek pemulihan ini berpotensi menyumbang tambahan £7.3 bilion kepada ekonomi tempatan, mewujudkan 92,000 peluang pekerjaan, membina lebih daripada 17,000 rumah baharu serta menarik tambahan 1.8 juta pelawat setiap tahun.

Pasukan petugas pemulihan Old Trafford yang ditubuhkan untuk mengkaji pilihan stadium dan projek pemulihan mengadakan mesyuarat terakhir mereka pada hari Jumaat lepas sebelum pasukan itu dibubarkan.

Pada hari Selasa, Foster + Partners telah menayangkan imej digital yang menunjukkan reka bentuk stadium baharu serta kawasan sekelilingnya.

Reka bentuk itu menampilkan kanopi stadium berbentuk tiga cabang, yang diinspirasikan daripada trisula “Red Devils” pada lencana kelab. Menurut kelab, imej konsep dan model skala ini akan menjadi “pelan induk” bagi kajian kebolehlaksanaan yang lebih terperinci, termasuk rundingan, reka bentuk, dan perancangan ketika projek memasuki fasa baharu.

Walaupun Old Trafford sekarang boleh dinaik taraf hingga 87,000 tempat duduk, kajian menunjukkan stadium baharu boleh menampung hingga 100,000 penyokong.

Tinjauan yang dilakukan pada tahun lalu mendapati 52% peminat lebih suka stadium baharu, manakala 31% mahu Old Trafford dibangunkan semula.

“Ini permulaan perjalanan menarik untuk membina stadium bola sepak terbaik di dunia dan menghidupkan semula Old Trafford,” kata Sir Jim Ratcliffe, pemilik bersama kelab.

“Stadium ini telah berkhidmat selama 115 tahun tetapi kini ketinggalan berbanding arena terbaik dunia. Dengan membina stadium baharu bersebelahan tapak sedia ada, kita dapat mengekalkan semangat Old Trafford sambil mencipta pengalaman peminat yang lebih hebat,” tambahnya.

“Lebih daripada itu, stadium baharu boleh menjadi pemangkin pembaharuan ekonomi dan sosial di kawasan Old Trafford. Ia akan mencipta pekerjaan dan pelaburan, bukan sahaja semasa pembinaan tetapi juga untuk jangka panjang. Kerajaan juga memberi keutamaan kepada pelaburan infrastruktur terutama di utara England dan kami bangga menyokong usaha ini,” katanya.

Ratcliffe menjangkakan projek ini akan mengambil masa 5 tahun dengan menggunakan kaedah pembinaan modular yang dapat mempercepatkan proses.

Pada awal tahun ini, pasukan petugas telah menyerahkan laporan yang menilai manfaat antara membina stadium baharu atau membangunkan semula Old Trafford.

Laporan itu menyimpulkan bahawa walaupun kedua-dua pilihan memberi kesan positif kepada kelab dan kawasan Trafford, manfaatnya akan lebih besar jika stadium baharu dibina.

“Matlamat jangka panjang kami adalah untuk memiliki pasukan bola sepak terbaik dunia bermain di stadium terbaik dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada.

“Kami menghargai usaha Pasukan Petugas Pemulihan Old Trafford dalam mengkaji pilihan untuk masa depan stadium ini.”

“Kami telah meneliti hasil kajian dengan teliti, termasuk pandangan ribuan peminat dan penduduk tempatan.”

“Selepas mempertimbangkan semua faktor, kami yakin bahawa membina stadium baharu adalah keputusan terbaik untuk Manchester United dan komuniti sekitarnya. Kini, kami akan meneruskan rundingan lanjut bagi memastikan suara peminat dan penduduk terus diambil sebelum keputusan akhir dibuat.”

Bekas pengurus lagenda Manchester United, Sir Alex Ferguson yang memenangi 13 gelaran Liga Perdana Inggeris menegaskan bahawa kelab perlu sentiasa berusaha menjadi yang terbaik dalam semua aspek termasuk stadium.

“Old Trafford menyimpan banyak kenangan istimewa untuk saya tetapi kita perlu berani dan mengambil peluang ini untuk membina stadium baharu yang sesuai untuk masa depan, di mana sejarah baharu boleh dicipta,” katanya.

Namun isu pembiayaan masih menjadi persoalan utama, dengan kos pembinaan stadium baharu dianggarkan melebihi £2 bilion. United mempertimbangkan untuk menjual hak penamaan stadium bagi membantu menampung kos projek ini.

“Sebagai sebuah syarikat PLC, kami tidak boleh berspekulasi terlalu banyak mengenai pembiayaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada, dalam satu taklimat di London selepas pengumuman itu.

“Apa yang boleh saya katakan ialah ini adalah peluang pelaburan yang sangat menarik dan kami yakin akan menemui cara untuk membiayai stadium ini.”

Manchester United Supporters Trust (MUST) menyambut baik rancangan pembinaan stadium baharu tetapi menegaskan perlunya rundingan bersama penyokong sepanjang perkembangan projek ini.

“Pengumuman mengenai stadium baharu berhampiran Old Trafford adalah berita besar untuk penyokong United. Semua orang mahukan yang terbaik untuk kelab, dan reka bentuk yang ditunjukkan kelihatan menakjubkan serta menarik,” kata jurucakap MUST.

“Namun, dengan ketidakpastian mengenai harga tiket musim depan, prestasi buruk di atas padang, spekulasi penjualan pemain muda utama serta laporan kewangan baru-baru ini, berita ini mungkin menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

“Jika mereka dapat membina stadium sehebat yang dirancang tanpa menjejaskan suasana perlawanan, tanpa kenaikan harga tiket yang melampau dan tanpa mengorbankan pelaburan dalam aspek lain, ia boleh menjadi perkembangan yang menarik. Tetapi selagi persoalan ini belum terjawab, optimisme kami tetap disertai kebimbangan tentang kesannya kepada peminat.”

BACA:  Giggs Pernah Nasihat Manchester United Beli Mbappe & Jesus