Manchester United Yakin De Gea Akan Tandatangani Kontrak Baru Di Old Trafford

Manchester United dilaporkan semakin optimis David De Gea akan menandatangani kontrak jangka panjang yang baru di Old Trafford berikutan keputusan Real Madrid untuk membawa masuk Thibout Courtois ke kelab tersebut.

De Gea yang kini berusia 27 tahun sering dikaitkan dengan kepulangan ke Sepanyol bagi menyertai Real Madrid. De Gea pernah menyatakan hasratnya untuk kembali beraksi di Sepanyol dan hajatnya hampir menjadi kenyataan pada tahun 2015.

Manchester United yakin De Gea sudah melupakan impiannya untuk beraksi dengan Real Madrid dan menandantangani kontrak baru di Old Trafford

Real Madrid dan Manchester United sudah bersetuju dengan segala terma dan syarat yang mana Real Madrid akan membayar  £29 juta termasuk Keylar Navas berpindah ke Old Trafford, tetapi ia gagal menjadi kenyataan kerana kertas kerja tidak sempat dihantar sebelum jendela perpindahan ditutup.

Minggu lalu menyaksikan penjaga gol Chelsea, Thibout Courtois secara rasmi diumumkan sebagai pemain baru Los Blancos bagi memberi saingan kepada Navas. Memandangkan Real Madrid sudah mempunyai Courtois, Manchester United semakin optimis De Gea akan menurunkan tandatangan beliau untuk terus kekal lebih lama di Old Trafford.

Kontrak penjaga gol utama Sepanyol ini dengan Red Devils akan tamat pada musim panas 2019 tetapi Manchester United mempunyai pilihan untuk mengaktifkan klausa 1 tahun tambahan dalam kontraknya.

Ketibaan Courtois bermakna Real Madrid tidak berminat lagi untuk mendapatkan De Gea

De Gea merupakan pemain yang ditandatangani Sir Alex Ferguson pada tahun 2011 dari Atletico Madrid dengan yuran perpindahan dianggarkan berjumlah £18.9 juta. De Gea mengharungi permulaan yang agak sukar dan beliau bergelut untuk membiasakan diri dengan corak permainan bola sepak Inggeris yang agak fizikal.

Walau bagaimanapun, dalam musim keduanya di United, beliau berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris dan ia juga merupakan musim terakhir Alex Ferguson bersama Manchester United selepas 25 tahun menguruskan kelab tersebut.

Sejak dari itu, De Gea tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau berjaya memenangi anugerah pemain terbaik tahunan United sebanyak 4 kali dari 5 musim yang terakhir. Beliau juga merupakan satu-satunya pemain United yang berjaya memenangi anugerah tersebut sebanyak 4 kali.

Pemenang Sarung Tangan Emas musim lalu dengan 18 clean sheets.

Cristiano Ronaldo memenanginya sebanyak 3 kali pada tahun 2004, 2007, dan 2008, manakala Brian McClair, Eric Cantona, Roy Keane, Ruud van Nistelrooy dan Wayne Rooney masing-masing menang dua kali.

De Gea juga berjaya menggondol anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris musim lepas dimana beliau mencatatkan 18 perlawanan tanpa bolos. Beliau juga menerima penghormatan dari pemain profesional yang lain apabila diundi untuk berada dalam Pasukan Terbaik Tahunan PFA musim lepas.

Sejak menyertai Manchester United, De Gea telah memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga, dan Europa League.

BACA:  Elon Musk Cuma Berjenaka Nak Beli Manchester United