Mane: Liverpool Akan Jadi Juara Liga Perdana Inggeris Musim Ini

Pemain sayap Liverpool, Sadio Mane melaungkan keyakinannya yang Liverpool akan memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini dan berkata Liverpool tidak akan ‘tercekik’ di bawah tekanan dalam persaingan merebut takhta juara.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu kini selesa di puncak teratas Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 4 mata di hadapan pencabar terdekat yang juga juara bertahan, Manchester City.

Dengan liga berbaki 16 perlawanan sahaja lagi, Liverpool dianggap calon pilihan untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam sejarah kelab tersebut sejak ia diperkenalkan pada tahun 1990.

Mane yakin dan pasti Liverpool akan jadi juara pada Mei nanti. Anda berkongsi pendapat yang sama seperti Mane ?

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberi amaran kepada Liverpool mengenai tekanan yang tinggi selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris tetapi Mane percaya beliau dan rakan sepasukan yang lain lebih dari bersedia untuk menangani tekanan tersebut dalam misi untuk menamatkan kemarau 29 tahun Liverpool tanpa sebarang kejuaraan liga.

“Ini bukan pasukan yang akan ‘tercekik’. Saya pasti kami akan bergelar juara England.”

“Apabila saya bangun dari tidur, saya tidak pergi ke padang latihan memikirkan yang kami tidak akan menang. Kami sangat bersemangat untuk menunjukkan yang kami adalah pasukan terbaik dalam liga ini.”

Kali terakhir Liverpool mencabar Liga Perdana Inggeris secara serius adalah pada musim 2013/2014 di bawah kendalian Brendan Rodgers dimana mereka hanya ketinggalan 2 mata di belakang juara, Manchester City.

Liverpool hari ini bukan lagi Liverpool yang dulu. Liverpool sekarang tidak akan tercekik !

Kekalahan mengejut 2-0 kepada Chelsea di Anfield menjadi titik tolak kejatuhan Liverpool, disamping keputusan seri 3-3 menentang Crystal Palace tidak lama kemudian menyebabkan Manchester City menggunakan kesempatan tersebut untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris.

Mane berkata skuad Liverpool sekarang akan menjadikan pengalaman tersebut sebagai pedoman dan motivasi untuk menghadapi separuh masa kedua musim ini.

“Sebenarnya, bukan mudah untuk kami mendengar ada pihak mendakwa Liverpool sebagai pasukan yang akan ‘tercekik’. Tetapi kami perlu mengabaikan dakwaan tersebut dan fokus pada apa yang berada di hadapan kami sahaja.”

“Liverpool mempunyai peluang untuk memenangi Liga Perdana Inggeris beberapa tahun yang lepas dan tidak berjaya melakukannya. Tetapi saya lebih suka melihat pengalaman tersebut sebagai perkara yang mampu membawa Liverpool kepada kedudukan sekarang.”

Kali terakhir peminat Liverpool berasa yakin dengan peluang pasukan mereka menjadi juara, perkara ini berlaku. Adakah pisang akan berbuah 2 kali ?

“Ini bukan pasukan yang akan tercekik. Saya amat pasti kami akan memenangi liga.”

Dalam perlawanan terakhir, Liverpool terpaksa bekerja keras sebelum membawa pulang 3 mata dari Brighton hasil jaringan tunggal dari Mohamed Salah menerusi sepakan penalti.

Dalam aksi liga yang seterusnya hujung minggu ini, Liverpool akan berdepan pasukan yang sedang meningkat naik, Crystal Palace di tempat sendiri.

BACA:  Sadio Mane Minta Gaji Yang Sama Seperti Mo Salah