Klopp: Liverpool ‘Dipaksa’ Meminta Maaf Kerana Tidak Bermain Baik Seperti Manchester City

Jurgen Klopp percaya Liverpool ‘dipaksa’ meminta maaf kerana tidak menunjukkan persembahan cemerlang seperti juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City.

Keputusan seri ketika menentang Arsenal hujung minggu lalu dan kekalahan mengejut di tangan Red Star Belgrade beberapa hari lalu menyebabkan momentum yang dibina Liverpool pada permulaan musim sedikit terencat walaupun masih belum tewas dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Klopp dakwa Liverpool dikritik kerana tidak bermain baik seperti Manchester City

Barisan pertahanan Liverpool yang semakin kukuh musim ini telah berjaya menutup kegagalan bahagian serangan yang diketuai Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane mengulangi prestasi cemerlang mereka musim lalu.

Liverpool hanya mampu menjaringkan satu gol atau kurang dalam 7 dari 9 perlawanan terakhir mereka dalam seluruh pertandingan. Ia jauh berbeza dengan Manchester City yang sejak kebelakangan ini semakin galak menjaringkan gol dan terus menerus mengutip 3 mata.

Klopp mengakui Liverpool mengalami sedikit penurunan dari segi tahap permainan tetapi beliau menegaskan perkara paling utama adalah untuk mengutip mata penuh dari setiap perlawanan.

“Semua orang mahu bermain dengan cantik tetapi kami berada di sini hanya untuk meraih keputusan yang bagus.”

“Kami berjaya melangkah ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lepas dan merupakan pasukan yang lebih baik bagi 25 minit pertama perlawanan. Tapi sekarang, pencapaian tersebut tidak lagi berguna kerana jangkaan tinggi yang diletakkan peminat terhadap kami musim ini.”

Liverpool melepaskan gol pada lewat permainan ketika menentang Arsenal hujung minggu lalu.

“Kami terpaksa bermula kembali, dan pasukan lain juga semakin bertambah baik. Sedikit kritikan mengenai situasi kami sekarang amat baik, kerana pasukan ini bercita-cita tinggi dan mahu memenangi segala pertandingan yang kami sertai.”

“Apabila kami membeli pemain baru, ramai beranggapan kami akan memenangi Liga Juara-Juara Eropah atau Liga Perdana Inggeris. Tetapi pasukan lain tidak tidur. Mereka menjadi lebih baik, termasuklah kami.”

“Sekarang kami sudah mengutip 27 mata dalam liga. Betul, kami tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ini tetapi kami juga perlu melihat pencapaian ini dari sudut yang positif. Apabila Liverpool memperolehi kemenangan, ia kelihatan seperti kami perlu meminta maaf kerana tidak bermain baik seperti Manchester City.”

Pasukan bakal juara dimalukan pasukan kerdil dari Serbia

“Saya tahu Liverpool masih mempunyai ruang untuk bermain lebih baik, tetapi tiada sebab untuk berfikiran negatif.”

Liverpool dijangka mengakhiri rentetan 3 perlawanan tanpa kemenangan hujung minggu ini apabila melayan kunjugan pasukan bergelut, Fulham di Anfield.

Klopp mengakui pasukannya perlu menunjukkan response yang segera selepas tumpas mengejut di tangan Red Star Belgrade beberapa hari lalu.

“Kami tidak mahu tewas dalam mana-mana perlawanan bola sepak dan jika ia terjadi, kami perlu mencari jalan untuk menunjukkan reaksi. Itu sangat jelas.”

“Keputusan Selasa lalu amat mengejutkan, sekarang kami perlu memberikan reaksi yang betul. Bukan sahaja untuk perlawanan Ahad nanti, tetapi juga perlawanan selepas itu.”

BACA:  Old Trafford Tak Sesuai, Legenda Anfield Gesa Liverpool Segera Pikat Southgate