Pemain sensasi Perancis, Kylian Mbappe berkata beliau sedang mempertimbangkan masa depannya bersama Paris Saint-Germain dan mengakui dirinya terbuka untuk mencuba projek baru bersama kelab lain.
Mbappe yang baru berusia 20 tahun, dinamakan sebagai pemain terbaik Liga Perancis dalam satu majlis yang berlangsung semalam, dimana beliau menggondol dua anugerah sekaligus iaitu Pemain Terbaik Tahunan dan Pemain Muda Terbaik.
Mbappe berpindah ke PSG dari Monaco pada tahun 2017 dengan yuran perpindahan ke-2 tertinggi dalam sejarah bola sepak, sekitar €180 juta. Di peringkat antarabangsa pula, beliau cemerlang membantu Perancis memenangi Piala Dunia 2018 di Russia musim panas lalu untuk kejuaraan dunia ke-2 negara tersebut.
Dalam majlis penganugerahan yang berlangsung semalam, Mbappe menerima anugerah pemain terbaik yang disampaikan oleh bekas penyerang Chelsea dan Marseille, Didier Drogba.
“Ini merupakan detik paling penting dalam karier saya. Saya sudah sampai pada tahap yang menentukan perjalanan karier saya.”
“Saya berharap masa depan saya masih bersama Paris Saint-Germain, itu akan membuatkan saya gembira. Atau pon di tempat lain untuk mencuba projek baru.”
Musim ini menyaksikan Mbappe menjaringkan 32 gol untuk membantu PSG mengekalkan kejuaraan Ligue 1 tetapi kelab tersebut sekali lagi gagal dalam usaha mereka untuk merangkul trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama. Ia merupakan satu-satunya trofi yang belum pernah mereka menangi dan sangat didambakan pemilik kelab yang juga bilionair dari Qatar.
Walaupun diberikan harapan yang tinggi, PSG dikejutkan Manchester United dalam pusingan 16 pasukan terakhir. Mereka melepaskan kelebihan 2 gol yang diperolehi di Old Trafford sebelum kecundang di gelanggang sendiri dalam perlawanan timbal balik.
“Saya cakap apa yang perlu saya cakap. Apabila anda berada dalam majlis seperti ini, anda ingin menghantar mesej. Saya rasa saya telah menghantar mesej yang jelas.”
“Jika saya bercakap lebih, ia akan menjadi agak keterlaluan dan itu bukan mesej yang ingin saya sampaikan.”
Ini bukanlah kali pertama Mbappe dikaitkan dengan perpindahan keluar dari PSG. Sejak Real Madrid kembali dibimbing Zinedine Zidane, spekulasi mengenai perpindahan Mbappe ke Santiago Bernabeu semakin bertiup kencang ditambah pengaruh yang dimiliki Zidane terhadap bola sepak Perancis.
Sekitar Mac lalu ketika majlis memperkenalkan Zidane sebagai pengurus Real Madrid yang baru, Presiden Kelab Florentino Perez telah ditanya mengenai minat Real Madrid terhadap Mbappe.
“Zidane adalah rakyat Perancis, sama seperti Mbappe. Mungkin beliau boleh melakukan sesuatu dalam perkara tersebut.” Ujar Papa Perez.