Bola sepak Inggeris terkenal dengan permainan fizikalnya yang agresif. Jika pasukan tidak cukup kuat dari segi fizikal, mereka akan mudah dibuli. Itulah yang cuba ditekankan oleh Ruben Amorim apabila ditanya sebelum perlawanan menentang Leicester City.
Selepas kemenangan ke atas Real Sociedad dalam Liga Europa, Amorim mahukan tenaga dan semangat yang sama ditunjukkan di King Power Stadium.
Namun, dalam perlawanan menentang Leicester, Manchester United mengambil masa hampir 30 minit sebelum menyesuaikan diri dengan kehendak pengurus mereka. Jika Erik ten Hag pernah menyifatkan Liga Perdana Inggeris sebagai liga “makan atau dimakan”, Amorim pula nampaknya percaya bahawa pasukannya perlu “membuli atau dibuli”. Mujurlah, satu gol daripada Rasmus Hojlund membantu United menuju ke arah kemenangan.
Hojlund Akhirnya Menamatkan Kemarau Gol
Gol itu sangat bermakna untuk Hojlund. Dia sudah melalui 21 perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol. Kali terakhir dia menemui jaring adalah pada Disember ketika menentang Viktoria Plzen di Liga Europa.
Jaringan itu hadir dalam situasi yang ideal untuk penyerang Denmark itu. Dia berlari ke dalam ruang terbuka tanpa tekanan dari pertahanan lawan. Wout Faes memberi Hojlund ruang yang cukup untuk mengawal bola dan melepaskan rembatan rendah yang menewaskan Mads Hermansen.
Sebelum ini, dalam tempoh 94 hari tanpa gol, Hojlund sering kali ditolak oleh pertahanan lawan atau dia sendiri mensia-siakan peluang dengan rembatan yang tersasar. Namun, kali ini segalanya berjalan dengan lancar, teknik dan masa yang tepat menghasilkan satu gol berkualiti. Amorim turut mengakui pentingnya gol tersebut.
“Ia sangat penting untuknya. Dia melakukan semua perkara dengan betul, berjuang untuk setiap bola, dan hari ini dia menjaringkan gol yang sangat baik dan sangat penting. Saya rasa dia paling layak mendapat gol itu.”
United Memanfaatkan Kelemahan Leicester
Leicester pada hari itu bukanlah satu ancaman besar. Kegagalan mereka memenangi perebutan bola kedua adalah antara sebab utama mereka bakal tersingkir dari liga selepas hanya setahun kembali ke pentas tertinggi.
Pada musim ini United telah bertemu Leicester sebanyak 4 kali termasuk dalam kedua-dua kejohanan domestik. Walaupun agregat keseluruhan memihak United dengan 13-3, setiap perlawanan tetap memberi cabaran tersendiri.
Untuk pertemuan kali ini, Amorim membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama. Christian Eriksen dan Victor Lindelof disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk menggantikan Joshua Zirkzee dan Patrick Dorgu yang digantung perlawanan.
Namun, keputusan itu bermakna United kehilangan sedikit elemen fizikal yang ditekankan Amorim sebelum ini. Separuh masa pertama berlangsung agak perlahan kerana perkara tersebut.
Eriksen memang mahir dalam mencipta peluang tetapi dia bukan pemain yang agresif dalam perebutan bola. Lindelof pula boleh menjadi pemimpin di bahagian pertahanan tetapi dia kadangkala mudah ditewaskan dalam situasi bola tinggi.
Namun, United tetap memiliki pemain yang mampu memberikan kelebihan fizikal. Manuel Ugarte berfungsi dengan baik di bahagian tengah, Alejandro Garnacho rajin mengganggu pertahanan lawan di sayap manakala Matthijs de Ligt kelihatan lebih selesa di bahagian kanan sistem pertahanan bertiga Amorim. Bruno Fernandes pula terus menjadi pemain serba boleh yang melakukan segala-galanya untuk pasukan.
Beberapa pemain muda juga diberi peluang oleh Amorim. Ayden Heaven tetapi terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-51. Penggantinya, Toby Collyer memiliki daya tahan yang tinggi untuk bersaing di Liga Perdana tetapi masih perlu masa untuk membuktikan kelebihannya.
Gol Garnacho dan Fernandes Mengukuhkan Kemenangan
Pada minit ke-67, Garnacho berjaya menggandakan kedudukan United, memberikan ruang kepada Amorim untuk melakukan pertukaran. Joshua Zirkzee dan Casemiro masuk menggantikan Eriksen dan Ugarte, sementara Harry Amass yang baru menyambut ulang tahun ke-18 membuat penampilan sulungnya dalam skuad utama apabila masuk menggantikan Garnacho.
Bruno Fernandes kemudian menambah gol ketiga pada penghujung perlawanan, melengkapkan kemenangan selesa United. Tiga mata ini melonjakkan mereka ke tangga ke-13 liga sebelum berehat untuk perlawanan antarabangsa dan suku akhir Piala FA.
Manchester United Semakin Memahami Identiti Baru
Pada musim ini, United sering mengalami kesukaran apabila menentang pasukan bawahan tetapi menunjukkan aksi lebih baik dalam perlawanan besar. Ada yang berpendapat keadaan ini berpunca daripada faktor fizikal, manakala ada juga yang melihatnya sebagai isu taktikal.
Sebagai contoh, Leicester adalah pasukan yang ‘bertahan dalam shape‘ tetapi tidak bertahan dengan baik dan mereka berjaya menghalang United sebelum Hojlund menemui kunci untuk membuka pintu gol mereka.
Bulan April akan membawa cabaran lebih besar kepada United tetapi pasukan ini semakin menunjukkan mereka bersedia untuk berjuang. Amorim sendiri gembira dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh anak buahnya dalam tempoh 2 minggu terakhir.
“Kami semakin memahami bila perlu menekan lawan, bagaimana untuk menutup ruang dan mengenali kelebihan setiap pemain. Kami juga semakin baik dalam mencipta peluang dan menjaringkan gol.”
“Ada perlawanan di mana kami tidak mempunyai sebarang peluang, ada juga perlawanan di mana kami mencipta banyak peluang tetapi tidak menjaringkan gol. Sekarang, kami melakukan kedua-duanya. Jadi, kami semakin baik dalam semua aspek permainan.”
Manchester United masih dalam fasa pembangunan di bawah Amorim. Tetapi jika mereka dapat mengekalkan perkembangan ini dan membina keupayaan fizikal yang diperlukan untuk bersaing di Liga Perdana, mungkin mereka akan kembali sebagai salah satu pasukan yang digeruni dalam masa terdekat.