Mendes: Kemenangan Modric Mengarut, Patut Ronaldo Yang Menang Pemain Lelaki Terbaik UEFA

Ejen bola sepak tersohor yang mewakili Cristiano Ronaldo, Jorge Mendes menempelak keputusan UEFA untuk memberikan anugerah Pemain Lelaki Terbaik UEFA kepada Luka Modric dan beliau turut melabel tindakan itu sebagai keputusan yang mengarut.

Pemain antarabangsa Croatia itu berjaya menggondol anugerah berprestij tersebut setelah membantu Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu dengan menewaskan Liverpool dalam aksi final. Ia juga merupakan kali ke-3 berturut-turut Real Madrid berjaya memenangi pertandingan tersebut.

UEFA tidak patut beri anugerah Pemain Terbaik kepada Modric, ujar Mendes

Seperti dijangka, pemenang anugerah pemain terbaik mengikut posisi didominasi pemain yang bermain untuk Real Madrid musim lepas.

Keylor Navas dan Sergio Ramos masing-masing dipilih sebagai penjaga gol terbaik dan pertahanan terbaik manakala Modric berjaya menang satu lagi anugerah pada malam tersebut selepas dipilih sebagai pemain tengah terbaik.

Walaupun gagal memenangi Pemain Lelaki Terbaik UEFA, Ronaldo tidak pulang dengan tangan kosong kerana beliau diumumkan sebagai Penyerang Terbaik UEFA 2017/2018.

Mendes jelas tidak berpuas hati dengan keputusan UEFA yang tidak menganugerahkan Ronaldo anugerah Pemain Lelaki Terbaik UEFA walaupun pemain tersebut berjaya menjaringkan 15 gol dan muncul penjaring terbanyak dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah musim lepas.

Jorge Mendes bersama anak ikannya.

Selepas undian dilakukan, Modric muncul pemenang dengan menerima 313 mata. Modric selesa di hadapan pemenang 3 kali, Ronaldo yang sekadar mengutip 223 mata. Ronaldo yang kini bermain untuk Juventus berjaya menjaringkan 44 gol dari 44 perlawanan untuk Los Blancos musim lepas.

Salah melengkapkan ‘Top 3’ dengan menerima 134 mata selepas mengharungi musim pertama yang menakjubkan bersama Liverpool. Sama seperti Ronaldo, beliau juga berjaya menjaringkan 44 gol dalam semua pertandingan di samping membantu Liverpool menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris 2017/18 di tangga ke-4.

Ketika bercakap kepada akhbar dari Portugal Record, Mendes menjelaskan Ronaldo lebih berhak memenangi anugerah tersebut kerana beliau memiliki statistik terbaik dalam Liga Juara-Juara Eropah musim lepas.

“Bola sepak dimainkan di atas padang dan di situlah Cristiano Ronaldo menang. Beliau berjaya menjaringkan 15 gol dan membawa Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara Eropah sekali lagi.”

“Keputusan ini memalukan dan mengarut. Tiada lagi pemain yang lebih berhak untuk memenangi anugerah tersebut kerana Ronaldo merupakan pemain terbaik dalam posisinya.”

Pendapat yang sama turut dikongsi Ketua Eksekutif Juventus, Giuseppe Moratta yang bertanggungjawab membawa Ronaldo ke Turin musim ini.

Juventus menaruh harapan tinggi terhadap Ronaldo untuk memacu pasukan tersebut memenangi UCL musim ini

“Saya tidak menafikan keputusan yang dibuat oleh jurulatih dan journalist. Tetapi jika saya diberi peluang untuk mengundi, saya akan undi Cristiano Ronaldo dan saya berkata demikian sebagai seorang peminat bola sepak.”

“Kami berbesar hati kerana pemain kami dinamakan sebagai penerima salah satu anugerah dalam majlis tadi tetapi bola sepak merupakan sukan yang dimainkan secara berpasukan. Kami akan menghadapi Liga Juara-Juara Eropah musim ini dengan penuh keazaman.”

BACA:  Giggs: Gareth Bale Ada 'DNA' Manchester United