Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, pernah memainkan lagu keramat Liverpool, You’ll Never Walk Alone , ketika mempersiapkan anak buahnya untuk bertemu pasukan dari Merseyside tersebut.
Bermain menentang Liverpool bukanlah mudah bagi mana-mana pasukan, tambah-tambah selepas ketiadaan Steven Gerrard. Kepayahan ini akan meningkat dua atau tiga kali ganda sekiranya bermain menentang mereka di Anfield.
Tanya sahaja mana-mana pengurus dan pemain. Aura dan sorakan yang dibawa oleh para penyokong The Reds cukup menggentarkan.
Liverpool fans sing You’ll Never Walk Alone as Anfield comes together to show their support for Ukraine pic.twitter.com/8pyC8AtGQV
— FootballJOE (@FootballJOE) March 5, 2022
Pada musim lalu, Arteta telah mencuba sesuatu di luar pemikiran orang awam apabila pada bulan November, ketika dia mahu para pemainnya bersedia untuk bertemu Liverpool di Anfield, dia telah memainkan lagu nyanyian penyokong The Reds di padang latihan melalui pembesar suara.
Bek kanan, Cedric Soares, baru-baru ini telah mendedahkan rahsia tersebut dan kini Amazon Prime Video telah mengeluarkan satu teaser rakaman video ini untuk siri All or Nothing.
Arteta telah memastikan bahawa pembantunya faham akan perancangannya dan dia dilihat menguatkan bunyi pembesar suara ketika latihan berlangsung, dengan harapan bahawa pemain akan mampu untuk membiasakan diri bermain sambil mendengar lagu itu.
EXCLUSIVE CLIP
The atmosphere at Anfield can be intense 🔥So Mikel Arteta prepares his players by blasting out You’ll Never Walk Alone during training 🎶 #AONArsenal pic.twitter.com/CjBQ3Lsn3T
— Amazon Prime Video Sport (@primevideosport) August 2, 2022
Strategi ini boleh dikatakan agak menarik kerana mereka sedar bahawa mereka bagaikan akan masuk ke kandang buaya, akan tetapi malang buat Arteta apabila rancangannya ini tidak membuahkan hasil yang diharapkan.
Anak buah Jurgen Klopp berjaya menjaringkan empat gol menerusi Sadio Mane, Diogo Jota, Mohamed Salah dan Takumi Minamino.
Bercakap tentang taktik itu, Cedric berkata;
“Anfield adalah stadium yang sangat dikenali di sini [England]. Memang susah nak lawan diorang kat sini sebab kualiti [pasukan Liverpool], kami juga tahu bahawa penyokong akan membantu pasukan mereka.
“Jadi, Mikel cuba persiapkan pasukan sebaik mungkin, maka ideanya adalah membawa pembesar suara dan mencetuskan sedikit huru-hara ketika latihan dengan harapan para pemain akan dapat menyesuaikan diri secepat mungkin.
“Bagus juga sebenarnya untuk pemain untuk menjalani sesuatu yang baru dalam latihan dan tanam benda ni dalam kepala. Mereka [penyokong Liverpool] akan ada di stadium dan mereka akan bising, tapi kami tetap perlu buat apa yang perlu kami buat.”
Dalam siri itu turut menunjukkan di mana Arteta berkongsi cerita pembedahan yang menyelamatkan nyawanya sewaktu team talk, serta saat-saat bila mana Pierre Emerick Aubameyang hilang jawatan kaptennya.
Untuk musim baru Liga Perdana Inggeris yang akan bermula hanya beberapa hari lagi, Arsenal bakal membuka saingan menentang Crystal Palace di tempat lawan. Ujian besar pertama The Gunners mungkin hanya hadir pada 4 September apabila mereka bertandang ke Old Trafford untuk menentang Manchester United.
Perlawanan pertama menentang Liverpool pula dijadualkan apda 9 Oktober di laman sendiri. Jadi untuk perlawanan ini, Arteta tidak perlu memainkan lagu You’ll Never Walk Alone ketika latihan.
Secara keseluruhannya, motivasi dan keyakinan para penyokong Arsenal berada pada tahap yang tinggi memandangkan pasukan kesayangan mereka tampil dengan begitu cemerlang dalam perlawanan pra musim, ditambah dengan ketajaman penyerang baru, Gabriel Jesus.
Dalam perlawanan persahabatan pertama, Jesus telah menjaringkan dua gol ketika Arsenal menewaskan Nurnberg 5-3 di tempat lawan.
Jesus sekali lagi muncul sebagai penjaring dalam perlawanan persahabatan kedua ketika menewaskan Everton 2-0, dengan satu lagi gol dijaringkan oleh Bukayo Saka.
Dalam perlawanan ketiga ketika mereka menang ke atas Orlando Pirates, Jesus bagaikan menyimpan kuku apabila dia tidak menjaringkan sebarang gol. Bekas pemain Manchester City menjadi duri dalam daging kepada Chelsea dalam perlawanan berikutnya apabila dia menjaringkan gol pertama ketika Gunners membelasah lawan 4-0.
Kuku tajamnya tidak mampu disimpan oleh Jesus dalam perlawanan persahabatan terakhir apabila dia mencatatkan hatrik dalam perlawanan yang menyaksikan Arsenal membelasah Sevilla 6-0.
Berita : SB