Mkhitaryan Percaya Arsenal Boleh Bermain Dengan Dua Pemain No.10

Pemain tengah Arsenal, Henrikh Mkhitaryan percaya beliau dan Mesut Ozil mampu bekerjasama dengan baik walaupun terdapat persamaan dalam corak permainan mereka berdua.

Terdapat dakwaan mengatakan Arsene Wenger terlalu menekankan aspek kreatif dalam pasukan Arsenal ketika ini dengan meletakkan terlalu ramai pemain kreatif dalam kesebelasan utama.

Lawan suatu ketika dahulu bertukar menjadi kawan

Wenger adalah jurulatih yang sering tertarik dengan pemain yang kreatif dan hasilnya, Arsenal dipenuhi dengan lambakan pemain kreatif terutamanya di bahagian tengah.

Arsenal menambah seorang lagi pemain kreatif pada tirai perpindahan Januari lalu dengan mendapatkan khidmat Mkhitaryan daripada Manchester United manakala Alexis Sanchez berpindah ke arah sebaliknya.

Pemain antarabangsa Armenia ini dilihat masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri di Emirates, tetapi terdapat tanda awal yang beliau bakal menjadi pembelian yang berbaloi buat Arsenal berdasarkan persembahan beliau ketika perlawanan menentang Everton awal bulan ini.

Mkhitaryan percaya Arsenal boleh bermain dengan 2 pemain No.10

Ketika bercakap kepada ESPN, Mkhitaryan telah ditanya pendapatnya mengenai kerjasama di antara beliau dan Mesut Ozil di atas padang.

“Ada orang berkata saya dan Ozil tidak boleh bermain bersama tetapi saya tidak faham mengapa mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian.”

“Saya gembira kerana dapat bermain bersama Ozil kerana beliau adalah seorang pemain bolasepak yang amat bagus.”

“Saya menjadi bertambah baik apabila bermain dengan Ozil. Semua orang mengetahui kualiti dan kemampuan yang ada padanya, jadi mengapa kami tidak boleh bermain bersama? Mengapa Arsenal tidak boleh bermain dengan dua pemain No. 10 ?”

“Walaupun ketika pasukan bermain dengan cemerlang, masih lagi terdapat ruang yang boleh diperbaiki. Walaupun kami bermain bolasepak menyerang, kami masih boleh bertambah baik. Apa yang saya maksudkan adalah kami boleh menjadi lebih baik dalam segenap aspek.”

Mkhitaryan berazam untuk membuktikan kemampuan sebenarnya bersama Arsenal selepas mengharungi dua musim yang mengecewakan di Old Trafford dimana beliau kehilangan tempat dalam kesebelasan utama.

Punca mengapa Miki menyokong Arsenal

Mkhitaryan pernah mengakui yang Arsenal adalah pasukan kegemarannya ketika kecil dahulu, dan beliau gembira impiannya memakai jersi Arsenal akhirnya tertunai.

“Benar, saya menonton banyak perlawanan Arsenal pada masa lalu dan sudah tentu saya menonton aksi mereka dalam pertandingan Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris.”

“Juga bagaimana Arsene Wenger membentuk dan bekerjasama dengan bakat-bakat muda di Arsenal. Perkara-perkara kecil sebegini membuatkan saya meminat Arsenal pada masa lepas.”

“Saya sangat gembira dapat berada disini, seperti impian menjadi kenyataan.”

BACA:  Premier League 2019/20: Tottenham Hotspur 2-1 Arsenal