Mohamed Salah Dianugerahkan Kerakyatan Chechnya Atas Sumbangannya Terhadap Bola Sepak Dunia

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah sekali lagi menerima pengiktirafan dunia apabila beliau dianugerahkan kerakyatan Chechnya dalam satu majlis perpisahan sebelum skuad Egypt berangkat pulang.

Penghormatan tersebut disampaikan sendiri oleh pemimpin wilayah Chechnya, Ramzan Kadyrov yang berbesar hati menganugerahkan kerakyatan kepada Salah atas sumbangan beliau kepada komuniti Islam seluruh dunia.

Ramdan Kadyrov dan Mo Salah duduk bersama dalam majlis makan malam bagi meraikan skuad Egypt yang akan berangkat pulang tidak lama lagi

Egypt tidak akan meneruskan lagi perjalanan mereka di Piala Dunia selepas tewas dalam dua perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Uruguay dan Russia. Mereka bakal menghadapi Arab Saudi esok dalam perlawanan terakhir kumpulan A sebelum seluruh skuad berangkat pulang dari Russia.

Skuad Egypt menjadikan bandar Grozny sebagai pusat latihan mereka bagi menghadapi Piala Dunia. Bandar Grozny merupakan pusat kepada wilayah Chechnya yang masih lagi sebahagian daripada Russia sehingga ke hari ini.

Pemilihan Grozny sebagai pusat latihan telah menerima kritikan kerana wilayah tersebut berada di bawah penguasaan regim Kadyrov dan Egypt juga perlu mengharungi perjalanan yang jauh bagi menghadapi perlawanan mereka.

Pegawai skuad Egypt menafikan kritikan tersebut sambil mendakwa Bandar Grozny berada dalam senarai pusat latihan yang menerima kelulusan FIFA. Selain itu, keadaan Bandar Grozny dianggap ideal oleh Egypt bagi menjalani persiapan Piala Dunia mereka.

Salah gagal membantu Egpyt kerana dibelenggu masalah kecederaan bahu

Dalam satu majlis perpisahan yang diadakan Jumaat lalu di kediaman rasmi Kadyrov di Grozny, pemimpin Chechnya itu dilihat bergambar dengan Mohamed Salah sambil meletakkan lencana di dada pemain tersebut.

“Ia merupakan penghormatan yang Salah berhak terima.”

Kadyrov memuat naik gambar tersebut dalam laman sosial rasminya sambil berkata kehadiran Salah dalam arena bola sepak dunia telah menghadirkan minat yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Kadyrov juga berkata beliau mahu Egypt kembali ke wilayah tersebut selepas berakhirnya Piala Dunia bagi perlawanan persahabatan menentang sebuah kelab tempatan, Akhmat Grozny. Kelab tempatan itu dinamakan sempena ayah kepada Kadyrov yang ditembak mati pada tahun 2004.

Satu video klip telah tersebar menunjukkan Kadyrov sedang duduk menjamu makan malam sambil ditemani Salah dan  Hany Abo Rida, pengerusi Perseketuan Bola Sepak Egypt.

Pentadbiran Kadyrov di Chechnya menerima sokongan daripada Russia tetapi wilayah tersebut berada dalam senarai negara yang tidak boleh melakukan urusniaga dengan Amerika Syarikat berikutan dakwaan berlaku pencabulan hak asasi manusia di wilayah berkenaan. Regim Kadyrov didakwa melakukan pembunuhan dan seksaan terhadap sekelompok kumpulan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan wilayah tersebut.

Kadyrov juga menerima kecaman antarabangsa kerana usaha beliau menangani aktiviti homoseksual di Chechnya.

Salah digesa supaya memulangkan sebarang anugerah yang diterimanya dari Chechnya oleh komuniti LGBT Liverpool

Berikutan penganugerahan kerakyatan kepada Salah, sekelompok peminat Liverpool yang menggelarkan diri mereka sebagai Kop Outs mahu Salah memberi penjelasan mengenai perkara tersebut. Kumpulan ini mewakili komuniti LGBT dalam kalangan peminat Liverpool.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang penerimaan Mo Salah dari sebarang anugerah yang diberikan oleh pemimpin Chechnya, Ramdan Kadyrov.”

“Mo Salah dan pemain-pemain lain mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan isu hak asasi dan harus menunjukkan contoh yang baik.”

“Kami menggesa beliau untuk memulangkan kerakyatan tersebut sebagai pengiktirafan beliau terhadap penindasan yang berlaku dalam komuniti LGBT di Chechnya.”

BACA:  UEFA Sahkan Jumlah Pasukan Yang Layak Untuk Beraksi Di Liga Juara -Juara Bagi Kelab Liga Perdana Inggeris