Milner Kongsi Kesedihan Pengurusan Liverpool Halang Klopp Kekalkan Dirinya Di Anfield

Selepas beraksi buat kali terakhir dengan Liverpool, James Milner mendedahkan  perkara sebenar yang membuatkan beliau meninggalkan Anfield selepas tamat saingan musim ini.

Perlawanan menentang Aston Villa yang berakhir dengan keputusan 1-1 adalah perlawanan terakhir Milner di hadapan penyokong The Reds di rumah keramat mereka, Anfield.

Dan ia adalah perlawanan yang penuh emosi buat Milner dan beberapa pemain senior lain di dalam kelab yang telah menjadi tunjang kepada Liverpool menakluk dunia beberapa musim lalu.

Dimasukkan ketika perlawanan berbaki 20 minit untuk menggantikan Jordan Henderson, Milner membantu Liverpool mengelak diri dari kemaluan untuk mencatat keputusan seri, selepas ketinggalan melalui gol awal Jacob Ramsey.

Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan, pemain berusia 37 tahun itu mendedahkan pengurus pasukan, Jurgen Klopp sebenarnya mahu beliau untuk terus kekal bersama kelab Merseyside itu selepas kontraknya tamat pada penghujung musim ini.

Namun demikian keputusan akhir mengenai masa depan Milner tidak terletak di tangan pengurus dari Jerman itu sepenuhnya.

“Saya berpendapat ia perkara memalukan jika anda berhenti sekarang, dan pada masa yang sama anda masih mampu melakukan sesuatu. Juegen Klopp adalah pengurus yang hebat, dan keinginan beliau untuk mengekalkan saya adalah sesuatu yang membanggakan.

“Saya tidak beraksi di dalam kesebelasan utama secara kerap pada musim ini, tetapi saya tetap merasakan diri masih boleh memberikan sumbangan. Saya yakin diri saya masih mampu memberikan impak.

“Saya masih mahu memberikan sumbangan kepada pasukan. Saya sepatutnya terus bermain selagi boleh. Saya berharap dapat diberikan peluang bermain bola sepak lebih lama.

“Amat jelas kelab telah mempunyai keputusan mereka sendiri. Ia sebenarnya melegakan kerana saya berada di posisi pengurus sebenarnya mahukan saya untuk kekal. Malangnya keputusan itu bukannya dipersetujui semua pihak.

Niat Klopp mengekalkan Milneri di Anfield sebenarnya datang dengan pelan jangka masa panjang menjadikan pemain itu sebahagian daripada pasukan kejurulatihan Liverpool pada masa hadapan.

Temubual penolong kapten psukan itu sememangnya memberi intipati menarik kepada penyokong setelah Milner disahkan akan meninggalkan Liverpool beberapa hari sebelum pertemuan menentang Aston Villa.

Pihak kelab cuba memotong bahagian temubual tersebut disiarkan di LFC TV tetapi ia sudah pun tular di Twitter.

Milner beraksi selama lapan musim bersama The Reds dan membantu kelab itu menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 30 tahun pada musim 2019/20.

Pemain veteran itu merupakan pemain kedua dengan penampiloan terbanyak sepanjang zaman untuk Liverpool di bawah kendalian Klopp selepas Roberto Firmino.

Destinasi seterusnya Milner tidak dapat dipastikan, namun spekulasi menyatakan Brighton berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

BACA:  Liverpool Tak Akan Menang Piala Tanpa Impak Dan Pengaruh Dari Pemain Ini