Liverpool Tak Akan Menang Piala Tanpa Impak Dan Pengaruh Dari Pemain Ini

Liverpool berkemungkinan tidak akan mampu menikmati kejayaan mereka menjulang gelaran Premier League dan Champions League seandainya tiada impak dari ketua pasukan mereka, Jordan Henderson.

Hal itu didedahkan sendiri oleh bekas director of football Liverpool, Damien Comolli yang juga merupakan individu bertanggungjawab membawa Henderson ke Anfield pada tahun 2011 yang lalu.

Jordan Henderson ditandatangani oleh Liverpool dari Sunderland dengan yuran perpindahan bernilai £20 juta pada tahun 2011 yang lalu.

Henderson pada awalnya agak bergelut untuk mendapat tempat dalam skuad utama Liverpool pada ketika itu, dan beliau juga bukanlah pemain yang disukai oleh Brendan Rodgers pada ketika itu.

Pemain midfield berusia 31 tahun itu kemudiannya dikaitkan dengan bakal melengkapkan perpindahannya menyertai Fulham pada tahun 2012 yang lalu, dengan The Reds ketika itu mahu menukarkan beliau dengan Clint Dempsey.

Beliau walau bagaimanapun memutuskan untuk menolak cadangan tersebut dan berkeras tidak mahu meninggalkan Anfield.

Jordan Henderson yang telah membuat 429 penampilan untuk Liverpool itu kemudiannya berjaya menutup mulut para pengkritiknya, dengan beliau kemudiannya menjadi antara pemain terpenting kelab.

Bukan itu saja, beliau juga bahkan turut dilantik untuk menjadi ketua pasukan, bagi menggantikan legenda kelab, Steven Gerrard pada tahun 2015 yang lalu.

Pemain kebangsaan England itu kekal menjadi antara pemain terpenting Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Dek kerana impak dan pengaruhnya, beliau berjaya membantu Liverpool untuk menjuarai saingan Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League dan terbaru Carabao Cup.

Beliau merupakan ketua pasukan Liverpool yang paling bertuah kerana berjaya memimpin kesemua kejuaraan tersebut sebagai ketua pasukan.

Comolli yang menjadi director of football kelab dari tahun 2010 hingga 2012 itu kini mendakwa yang beliau merupakan individu yang mempertahankan Jordan Henderson sebelum ini.

Bercakap kepada So Foot magazine, beliau mendedahkan bahawa:

“Saya bahkan turut diberitahu yang saya telah melakukan kesilapan besar, tapi ketika kamu merekrut pemain muda, kamu memang perlu menunggu.”

“Jordan akan berjaya masuk ke skuad utama, itu sudah tentu.. saya boleh jamin, tanpa dia mereka mungkin tak akan memenangi Champions League atau Premier League. Saya 100 peratus yakin tentang itu.”

Henderson ketika ini masih lagi memiliki kontrak bersama Liverpool sehingga 2025 nanti, dengan beliau pada musim lalu kerap diketepikan kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Sepanjang musim lalu, Jordan Henderson hanya mampu untuk memenangi 28 perlawanan sahaja dalam semua pertandingan.

Walau bagaimanapun, pemain midfield England itu pada musim ini lebih kerap diturunkan untuk beraksi, dan turut menjadi antara nadi terpenting Liverpool.

Sepanjang musim ini, beliau telah berjaya membuat 37 penampilan dari semua pertandingan, dan beliau juga merupakan pemain terpenting yang membantu Liverpool menjulang gelaran Carabao Cup hujung bulan lalu.

Jurgen Klopp sendiri menegaskan yang beliau agak santai berkait situasi kontrak Jordan Henderson, dan turut meminta para penyokong supaya tidak begitu bimbang tentang hal tersebut.

“Saya tahu apa yang berlaku disebalik semua ini dan saya sangat santai.”

Jelas pengurus Liverpool itu kepada Sky Sports pada Oktober lalu.

“Kita tak bercakap tentang hal-hal seperti ini dan kita tak boleh buat andaian sendiri.”

“Satu-satunya hal yang boleh saya katakan adalah semua orang tak perlu risau. Segala hal akan berjalan mengikut apa yang ditetapkan dan akan diuruskan seperti mana ia patut diuruskan.”

“Itu saja apa yang boleh saya katakan, tapi bila saya kata saya sangat santai, maka kamu boleh bayangkan yang ia sedang berada di jalan yang benar.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2021/22: Brentford 3-3 Liverpool