Penyerang antarabangsa Sepanyol, Alvaro Morata percaya masih banyak yang perlu dibuktikan kepada Chelsea berikutan peningkatan prestasi pemain tersebut sejak kebelakangan ini.
Morata berjaya menjaringkan 3 gol dari 2 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris dan bekas penyerang Real Madrid dan Juventus ini berharap prestasi baik ini akan terus berkekalan buat jangka masa yang lama.
Morata mengalami kekecewaan terbesar sepanjang kariernya apabila diketepikan dari berada dalam skuad Sepanyol yang bermain di Piala Dunia 2018. Beliau diketepikan berikutan prestasi hambar yang dipamerkannya musim lepas dimana beliau hanya mampu 11 gol dari 31 penampilan.
Walau bagaimanapun, Morata kelihatan seperti sudah melupakan episod duka tersebut dan telah membuka buku baru bersama Chelsea musim ini dimana beliau memainkan peranan penting dalam permulaan musim cemerlang kelab tersebut.
“Saya rasa masih banyak yang mampu saya lakukan untuk Chelsea. Musim lepas agak sukar buat saya, tetapi kita telah memasuki musim baru. Saya rasa tidak penting sama ada saya mampu menjaringkan 25 gol atau 30 gol musim ini, kerana perkara paling penting adalah saya membantu pasukan ini meraih kemenangan.”
“Saya lebih suka jika saya menjaringkan gol yang sedikit tetapi berjaya memenangi sesuatu. Tetapi saya juga akan gembira jika saya berjaya menjaringkan gol dengan banyak dan memenangi beberapa trofi pada penghujung musim.”
“Saya seorang penyerang. Memang betul kerja saya adalah untuk menjaringkan gol sebanyak yang mungkin dan saya juga akan berasa gembira jika dapat melakukannya.”
Morata juga meluahkan perasaan gembiranya bermain di bawah Maurizio Sarri musim ini. Untuk rekod, Chelsea merupakan satu-satunya kelab di liga utama Eropah yang belum tewas dalam mana-mana perlawanan kompetitif musim ini.
“Apabila peminat datang menyaksikan permainan kami musim ini, sudah tentu mereka akan berasa gembira. Kami menikmati setiap saat permainan musim ini dan berjaya mempamerkan beberapa persembahan yang memukau ketika mempunyai penguasaan bola.”
“Sebagai contoh, gol jaringan saya ketika menentang Southampton merupakan gol yang dihasilkan secara berpasukan. Kami gembira bermain dengan cara ‘one or two touch’, dan itu merupakan perkara yang Sarri mahu lihat dalam pasukan Chelsea musim ini.”
Selain Chelsea, Manchester City dan Liverpool juga masih belum tewas dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. The Blues ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Manchester City yang bakal berdepan Manchester United dalam derby Manchester malam ini.
Chelsea pula melayan kunjungan Everton dan selepas rehat antarabangsa, mereka bakal berdepan Tottenham Hotspurs di gelanggang lawan.