Aksi ‘Gila’ Romano Fenati Yang Hampir Menyebabkan Kemalangan

Pelumba Moto2, Romano Fenati telah disingkirkan dari perlumbaan Moto2 Misano selepas beliau dirakam menekan brek motosikal Stefano Manzi ketika sedang berlumba.

Fenati dilihat berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Manzi yang cuba memintasnya di Turn 14 beberapa lap sebelum itu. Fenati dan Manzi pada ketika itu sedang bersaing untuk merebut tempat ke-12 tetapi tindakan Manzi yang masuk ke dalam ketika ‘mengona’ menyebabkan kedua-dua pelumba terkeluar dari trak perlumbaan.

Romano Fenati disingkirkan dari perlumbaan Misano atas sebab memandu dalam keadaan berbahaya

Akibatnya, kedua-dua pelumba turun beberapa posisi dan terkeluar dari persaingan untuk mendapatkan mata. Fenati dan Manzi masih berlumba berdekatan selepas itu sebelum Manzi terjatuh pada Turn ke-10.

Fenati yang menunggang untuk pasukan Marinelli Sniper merupakan pelumba Rookie dalam Moto2 musim ini.

Fenati ditunjukkan ‘Bendera Hitam’ atas kesalahan memandu dalam keadaan berbahaya. Ulang tayang menunjukkan Fenati pergi dekat ke arah Manzi sebelum menekan brake lever motosikal Suter yang ditunggang Manzi.

Natey gilo. Fenati sering terpalit dengan masalah disiplin sejak dulu lagi

Tindakan berbahaya Fenati itu menyebabkan Manzi hilang keseimbangan buat seketika tetapi mujurlah tiada perkara buruk yang berlaku.

Fenati dan kontroversi bukanlah perkara yang baru. Fenati pernah dilihat sebagai penunggang yang mempunyai potensi besar tetapi masalah disiplin menyebabkan pasukan-pasukan besar enggan menandatanganinya.

Ketika beraksi dalam Moto3, beliau pernah menendang Nicklas Ajo sebelum menutup suis motor pelumba tersebut dalam satu sesi pemanas pada tahun 2015 di Argentina GP.

Beliau juga dilepaskan dari program Sky VR46 di bawah kendalian Valentino Rossi pada tahun 2016 selepas pasukan Moto3 beliau menggantungnya kerana masalah disiplin.

Kariernya kembali berada di jalan yang betul apabila Fenati menamatkan kempen Moto3 tahun lepas di tempat kedua, di belakang juara Joan Mir.

Kontrak Romano Fenati bersama pasukan Marinelli Snipers telah ditamatkan serta merta berikutan insiden dan digantung dua perlumbaan.

BACA:  Moto2: Kontrak Romano Fenati Ditamatkan Serta Merta