Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengejutkan banyak pihak apabila meninggalkan sidang media secara tiba-tiba kerana tidak berpuas hati dengan soalan yang ditujukan kepadanya.
Mourinho juga mahu pihak media dan peminat Manchester United memberikan beliau lebih penghormatan kerana beliau pernah memenangi 3 kejuaraan Liga Perdana Inggeris sebelum ini.
Selepas melihat anak buahnya dibelasah Tottenham di tempat sendiri awal pagi tadi, Mourinho tiba di bilik media dengan mood yang tidak berapa baik. Kekalahan 3-0 di tangan Spurs merupakan kekalahan di tempat sendiri paling berat yang pernah dirasainya sepanjang karier Mourinho.
Kekalahan ke-2 selepas 3 perlawanan meletakkan Manchester United berada di kedudukan ke-13 dalam Liga Perdana Inggeris. Minggu lalu, United tewas mengejut di tangan pasukan kerdil, Brighton & Hove Albion dan peristiwa sama berulang kembali minggu ini.
Dalam sidang media yang berlangsung sejurus tamat perlawanan tersebut, Mourinho menjawab soalan dengan cara yang agak ‘defensif’ apabila diminta untuk mengulas kritikan terhadapnya dari pihak media dan peminat Manchester United.
“Kami tewas perlawanan tadi kerana kami melepaskan gol dari sepakan sudut pertama yang diambil pihak lawan sepanjang perlawanan.”
“Pada separuh masa pertama, Spurs tidak mempunyai sebarang sepakan sudut. Tiada sepakan percuma. Masuk sahaja minit ke-50, mereka berjaya memenangi satu sepakan sudut dan menjaringkan gol. Itu cerita sebenar yang berlaku dari perlawanan tadi.”
“Hari ini, saya mempunyai bukti bahawa hakim paling baik dalam bola sepak adalah para peminat.”
Mourinho juga diminta untuk mengulas tindakan sebilangan besar peminat Manchester United yang meninggalkan stadium sebelum wisel penamat ditiupkan.
“Saya juga akan melakukan perkara yang sama. Pasukan mereka kalah 3-0 dan para peminat kami memerlukan masa dua jam untuk tiba di tengah bandar Manchester.”
Selepas itu, keadaan menjadi lebih tegang apabila Mourinho mendakwa pihak media sedang mencipta satu kempen untuk menendang beliau keluar dari Manchester United.
“Cuba lagi, cuba lagi, cuba lagi. Kami tewas di tangan Sevilla musim lepas di stadium ini dan peminat mengejek kami kerana kami berhak menerimanya. Kami tidak cukup bagus.”
“Hari ini pemain saya meninggalkan padang selepas tewas di tempat sendiri. Tapi kali mereka menerima penghargaan kerana mereka berhak menerimanya.”
“Ayuh pihak media, cuba lagi. Adakah anda tahu berapa keputusan perlawanan tadi ? 3-0. Anda tahu apa maksud itu ?” (sambil menunjukkan 3 jari ke arah pihak media)
“Ya saya kalah 3-0 tapi ia juga bermakna saya pernah memeangi Liga Perdana Inggeris sebanyak 3 kali. Saya menang lebih banyak dari 19 pengurus lain di campur sekali. Saya ada 3 dan mereka mempunyai dua.”
Selepas mengeluarkan kenyataan tersebut, Mourinho meluru keluar dari bilik media sambil mulutnya berbunyi, ‘Respect, respect, respect.’
Shame, shame, shame.