Mourinho: Manchester United Tidak ‘Selembik’ Seperti Yang Didakwa Sesetengah Pihak

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata kemenangan dramatik 3-2 ke atas Manchester City semalam bakal membuat pengkritik berfikir dua kali sebelum melontarkan pendapat mereka mengenai karakter dan kualiti yang ada dalam pasukan Manchester United.

Dalam pertemuan Manchester Derby di Etihad awal pagi tadi, City memulakan perlawanan dengan baik apabila menjaringkan dua gol pada babak pertama melalui Vincent Kompany dan Ilkay Gundongan.

Sorry Pep. Sila tunggu minggu depan

Walaubagaimanapun, separuh masa kedua merupakan babak yang mahu dilupakan peminat tuan rumah. Manchester United bangkit melalui dua jaringan Paul Pogba sebelum Chris Smalling menghukum kealpaan barisan pertahanan City melalui satu sepakan percuma.

Ini merupakan kali pertama skuad Pep Guardiola melepaskan 3 gol dalam dua perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan. Beberapa hari lalu, mereka tewas 3-0 di tangan Liverpool dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah di Anfield.

Buat masa sekarang, City perlu menunggu lebih lama untuk meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris mereka musim ini dengan perlawanan seterusnya juga merupakan perlawanan yang sukar menentang Tottenham Hotspurs di gelanggang lawan.

Ketika bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan tersebut, Mourinho gembira dapat menangguhkan parti kemenangan liga Manchester City tetapi beliau tetap mahu melihat City menjulang trofi liga dengan menewaskan Spurs minggu hadapan.

Arggghhhhhh pedih kena 3 dengan Liverpool tak hilang lagi, kena pulak dengan team parking bus

“Sudah tentu Manchester City mahu meraikan kejuaraan liga hari ini. Tetapi jangan risau mereka akan tetap menjulang trofi tersebut, cuma bukan hari ini.”

“Manchester City memungut lebih banyak mata kerana mereka tidak memberi harapan kepada pasukan lain. Saya berharap City akan menewaskan Tottenham selepas ini kerana sasaran utama kami sekarang adalah untuk meraih tempat ke-2. Jadi lepas tu, saya akan berpeluang untuk mengucapkan tahniah kepada City atas kejayaan mereka muncul juara Liga Perdana Inggeris.”

“Ramai menganggap pasukan ini teruk. Yang sebenarnya, pasukan ini adalah lebih baik daripada dakwaan sesetengah pihak. Kami berjaya membuktikan dalam perlawanan tadi yang kami adalah pasukan kedua terbaik dalam negaran ini.”

Mourinho mendakwa niat asalnya adalah untuk tidak mahu mengacau sambutan kejuaraan liga Manchester City yang dijangka berlangsung malam tadi. Tetapi beliau sedar Manchester United perlu mengutip 3 mata penuh bagi memastikan slot automatik Liga Juara-Juara musim hadapan terjamin.

Chris Smalling wira United selain Paul Pogba

United kini berada 15 mata di hadapan penghuni tangga ke-5, Chelsea dan mempunyai kelebihan 4 mata terhadap Liverpool dalam persaingan merebut tangga ke-2 Liga Perdana Inggeris.

Untuk rekod, sejak era Liga Perdana Inggeris, ini adalah kali ke-9 United berjaya bangkit dari ketinggalan 2 gol untuk mencatatkan kemenangan di tempat lawan.

Mourinho turut berkata lagi yang beliau percaya pemainnya akan menunjukkan semangat melawan selepas rehat separuh masa, dan mereka berjaya melakukannya.

“Kami mempunyai penguasaan bola lebih banyak dari mana-mana pasukan yang pernah berhadapan Manchester City. Jadi apa yang perlu kami lakukan adalah kekal yakin dan cuba untuk menjaringkan gol.”

BACA:  Statistik Ronaldo Lebih Banyak Parap Kaki Orang Berbanding Shot On Target