Mourinho: Sukar Untuk Manchester United Berada Dalam Kelompok ‘Top 4’ Musim Ini

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengakui pasukannya berdepan cabaran yang getir untuk menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dalam kelompok empat teratas.

Mourinho meramalkan Red Devils bakal melalui satu lagi kempen yang sukar bagi menempatkan diri untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan. Mourinho juga berbicara mengenai pasukan mana yang telah melakukan pelaburan terbaik dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Mourinho bermain selamat dengan mendakwa menduduki Top 4 musim ini merupakan satu pencapaian yang baik

Mourinho berjaya membawa United menduduki tempat ke-2 musim lepas tetapi jauh ditinggalkan seteru setempat, Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Manchester United masih lagi gagal memenangi liga sejak persaraan pengurus legenda mereka, Sir Alex Ferguson pada tahun 2013.

Mourinho juga menolak andaian yang mengatakan pasukan beliau mempunyai peluang untuk merampas kejuaraan liga dari Manchester City musim ini. Beliau turut mendakwa sekiranya United berjaya menamatkan musim ini di kedudukan empat teratas, ia merupakan satu pencapaian yang patut diraikan.

Ketika ditemu ramah Sky Sports, Mourinho telah ditanya mengenai peluang Manchester United untuk menduduki tempat teratas liga musim ini.

Spurs pasukan paling berjaya dalam jendela perpindahan kali ini kerana berjaya mengekalkan keseluruhan skuad mereka

“Kami akan terus mencuba tetapi kami berdepan satu tugas yang lebih sukar memandangkan kami baru sahaja melalui musim yang sukar bagi memperolehi tempat ke-2. Musim ini semua pasukan bakal berdepan tugas yang getir untuk menempatkan diri dalam kelompok 4 teratas.”

Peliknya, Mourinho memilih Tottenham Hotspurs sebagai pasukan paling berjaya dalam jendela perpindahan musim panas ini walaupun kelab London itu tidak melakukan sebarang pembelian baru. Spurs muncul pasukan pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris tidak membeli sebarang pemain dalam jendela perpindahan musim panas.

“Liverpool sedang cuba untuk memenangi liga dengan pelaburan besar yang dilakukan mereka. Chelsea mempunyai skuad yang hebat, sama juga seperti Manchester City. Tottenham pula mencatatkan pencapaian yang hebat apabila berjaya mengekalkan kesemua pemain mereka, dan ia merupakan pelaburan paling hebat yang anda mampu lakukan.”

Hubungan Pogba dan Mourinho dilaporkan semakin keruh, tetapi Mourinho menafikan penyebaran berita tersebut

“Spurs boleh berbelanja £200 juta tetapi jika mereka kehilangan Harry Kane atau Christian Eriksen, keadaan tentu menjadi lebih sukar. Disebabkan itu, pelaburan terbaik yang dilakukan Spurs adalah dengan mengekalkan kesemua pemain terbaik mereka.”

“Arsenal akan menjadi pasukan yang lebih baik selepas ini walaupun mereka tewas dalam perlawanan pertama. Saya percaya musim ini bakal menjadi satu musim yang sukar buat semua pasukan.”

Selepas mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama liga minggu lalu ke atas Leicester, Manchester United akan bertandang ke Brighton minggu ini dalam misi untuk mengutip 3 mata berharga.

BACA:  Statistik Ronaldo Lebih Banyak Parap Kaki Orang Berbanding Shot On Target