Mourinho Tuduh Pemain Arsenal ‘Berlakon’ Untuk Dapatkan Satu Mata Di Old Trafford

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menuduh pemain Arsenal melengah-lengahkan masa dan ‘berlakon’ untuk meraih satu mata dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford awal pagi tadi.

Arsenal berjaya mendahului perlawanan sebanyak dua kali tetapi Red Devils dengan mudah menemui jalan untuk menyamakan kedudukan.

Mourinho tuduh Arsenal bermain untuk dapatkan keputusan seri. Betul ke ?

Pemain antarabangsa Jerman, Shkodran Mustafi berjaya menanduk masuk bola ke dalam gawang United untuk gol pertama perlawanan pada minit ke-26. Tandukan Mustafi sebenarnya boleh diselamatkan tetapi kesilapan David De Gea yang gagal menepis bola dengan baik menyebabkan bola berjaya melintas garisan putih gol.

Kegembiraan peminat Arsenal tidak berkekalan lama kerana selang 4 minit kemudian, Anthony Martial berjaya menjaringkan gol penyamaan. Bernd Leno gagal menepis sepakan percuma Marcos Rojo dengan baik dan bola muntah tersebut ditolak kembali Ander Herrera ke depan gol Arsenal sebelum disambar Martial.

Separuh masa kedua bermula rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Tindakan Unai Emery memasukkan Alexander Lacazette nyata berhasil apabila penyerang Perancis itu berjaya menjaringkan gol kedua Arsenal selepas kesilapan yang dilakukan Rojo.

Lingard muncul penyelamat Setan Merah

Namun begitu, pertahanan Arsenal sekali lagi menjadi duri dalam daging. Selang satu minit selepas jaringan Lacazette, Jesse Lingard berjaya menjaringkan gol penyamaan United hasil kesilapan Sead Kolasinac yang gagal menghantar bola kepada Leno dengan baik. Lingard bijak menggunakan ruang yang ada untuk menjaringkan gol penyamaan.

Seperti biasa, Mourinho sentiasa mempunyai perkara untuk dipersalahkan berikutan kegagalan Setan Merah mengutip mata penuh di gelanggang sendiri.

Kali ini, beliau mempersalahkan pemain Arsenal yang ‘berlakon’ dan melambat-lambatkan masa untuk mencuri satu mata untuk dibawa pulang.

“Kami menjaringkan empat gol tetapi masih lagi seri 2-2. Dalam perlawanan seperti hari ini dimana kami bermain dengan baik, kami masih lagi menembak diri sendiri.”

“Kadang-kadang kami gagal menjaringkan gol walaupun pintu gol sudah terbuka, dan kadang-kadang disebabkan kesilapan di bahagian pertahanan. Tetapi hari ini anak buah saya telah menunjukkan semangat yang hebat dan persembahan yang bagus.”

Yang ni pon berlako jugak ke Jose ? Gambar menunjukkan Fellaini gagal menahan kerinduan terhadap rambutnya dahulu dengan menarik rambut Guendouzi

“Dah berapa kali berlaku musim ini dimana kami merupakan pasukan yang bermula dengan baik tetapi gagal menjaringkan gol. Tetapi pihak lawan, entah bagaimana mereka berjaya mendahului perlawanan 1-0 ?”

“Ia sebenarnya berkait dengan kesilapan yang kami lakukan. Saya kecewa dengan keputusan kami yang catatkan tetapi sikap yang ditunjukkan semua pemain amatlah baik.”

Keputusan seri menentang Arsenal menyebabkan United kini berada di kedudukan ke-8 dalam Liga Perdana Inggeris, 8 mata di belakang penghuni slot terakhir Liga Juara-Juara Eropah, Chelsea.

BACA:  Penyokong Arsenal Yakin Liverpool Akan Menangis Di Emirates