Pemain Houston Rockets, Carmelo Anthony berkata Rajon Rondo merupakan punca utama tercetusnya pergaduhan ketika aksi NBA yang menemukan Rockets dan Los Angeles Lakers awal pagi tadi.
Rondo didakwa meludah ke arah pemain Rockets, Chris Paul dan menyebabkan kedua-dua pemain saling berbalas tumbukan ketika kejadian. Seorang lagi pemain Lakers, Bradon Ingram juga turut serta menumbuk Paul dalam insiden yang berlaku di suku ke-4 perlawanan.
Ketiga-tiga pemain menerima ‘technical foul’ dan diperintahkan meninggalkan gelanggang. Ketika insiden itu berlaku, kedudukan perlawanan adalah 109-108 berpihak kepada Rockets. Walau bagaimanapun selepas dua pemain Lakers diarah meninggalkan gelanggang, Rockets mengambil kesempatan untuk mencatatkan kemenangan 124-115.
Pemain sensasi NBA yang baru menyertai Lakers musim ini, Lebron James tentunya kecewa kerana gagal membantu Lakers meraih kemenangan dalam aksi pertama di tempat sendiri musim ini.
Berdasarkan ulang tayang sebelum tercetusnya pergaduhan tersebut, tiada bukti kukuh yang menunjukkan Rondo meludah ke arah Paul. Namun begitu, pemain Rockets Carmelo Anthony mendakwa beliau menyaksikan sendiri perbuatan tersebut.
“Saya berada di tempat kejadian. Saya berdiri di sebelah Chris. Ia merupakan tindakan yang tidak boleh dimaafkan. Anda tidak boleh melakukan perbuatan macam tu.”
“Dalam mana-mana sukan atau di jalanan, ia merupakan perbuatan yang amat kurang ajar. NBA perlu bertindak segera dalam hal ini. Mereka perlu melakukan perkara yang betul. Saya berharap NBA akan melakukan perkara yang betul dalam hal ini.”
Chris Paul enggan memberikan komen mengenai insiden pergaduhan tersebut tetapi ketua jurulatih Rockets, Mike D’Antoni berkata beliau melihat insiden tersebut dengan jelas.
“Saya melihat insiden itu dari jauh. Saya tidak mahu masuk campur. Saya tidak boleh masuk campur kerana saya memakai cermin mata.”
“NBA perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dalam perkara ini. Ia merupakan insiden yang panas dan saya sangat yakin ada pemain yang meludah.”
Lebron James yang berada berdekatan ketika pergaduhan itu berlaku walau bagaimanapun berkata beliau tidak tahu apa yang menjadi punca ia berlaku.
“Saya tidak melihat apa-apa dan saya tidak berkata apa-apa kepada rakan sepasukan saya selepas tamat perlawanan tadi. Saya cuma menenangkan keadaan. Itu sahaja. Kita cuma mahu bermain basketball.”
NBA akan menyiasat kejadian pergaduhan ini dengan lebih lanjut dan keputusan siasatan dijangka bakal dikeluarkan dalam masa 24 jam yang akan datang.