Neto Menyerlah, Chelsea Benam Southampton 4-0 di Stamford Bridge

Chelsea kembali ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris selepas menang 4-0 ke atas Southampton semalam.

Christopher Nkunku membuka jaringan pada minit ke-24 selepas menyambar hantaran dari sepakan sudut. Pedro Neto kemudian menggandakan kelebihan Chelsea dengan rembatan padu 12 minit kemudian.

Menjelang tamat separuh masa pertama, Chelsea menambah satu lagi gol menerusi Levi Colwill yang menanduk masuk hantaran silang Pedro Neto.

Pada separuh masa kedua Chelsea terus mengawal permainan tetapi hanya berjaya menambah jaringan pada minit ke-77. Mereka mematahkan serangan Southampton sebelum Tyrique George melakukan hantaran cantik kepada Marc Cucurella dan dia menyempurnakan peluang itu untuk menjadikan kedudukan 4-0.


Adakah Kemenangan Ini Penting untuk Peluang Chelsea ke Liga Juara-Juara?

Chelsea mengalami permulaan sukar di bawah Mauricio Pochettino apabila hanya mencatat 3 kemenangan dalam 10 perlawanan pertamanya (M3 S3 K4), menjadikan usaha mereka untuk kembali ke Liga Juara-Juara semakin sukar. Menariknya, rekod itu lebih baik daripada Enzo Maresca, yang hanya menang 2 daripada 10 perlawanan terakhir sebelum bertemu Southampton (M2 S3 K5).

Namun, keadaan saingan untuk kelayakan Liga Juara-Juara musim ini jauh berbeza. Pada awal musim 2023-24, Tottenham dan Aston Villa sentiasa mengumpul mata yang cukup untuk memastikan Chelsea berada dalam tekanan. Tetapi musim ini, Chelsea masih berpeluang untuk kembali ke tangga keempat walaupun mengalami prestasi buruk selama 2 bulan.

Keputusan buruk Bournemouth dan Aston Villa memberi peluang kepada Chelsea untuk kembali mengumpul mata. Sementara itu, Newcastle dan Manchester City bakal menghadapi perlawanan sukar menentang Liverpool dan Tottenham. Jika keputusan berpihak kepada mereka, Chelsea mungkin akan berada dalam kedudukan yang lebih baik menjelang perlawanan menentang Leicester City minggu depan.

Cabaran selepas itu menjadi lebih sukar apabila Chelsea akan betermu Arsenal dan Tottenham. Namun, memandangkan Liga Perdana dijangka akan mendapat 5 slot ke Liga Juara-Juara musim depan, peluang Chelsea untuk kembali ke pentas Eropah masih terbuka luas.


Kecederaan Pemain Memberi Peluang Untuk Neto Menyerlah

Perjalanan Pedro Neto bersama Chelsea setakat ini penuh dengan cabaran. Ketika beraksi dengan Wolves, kepantasannya sesuai dengan gaya permainan yang pantas dan berasaskan serangan balas. Namun, sejak berpindah ke Chelsea dengan harga £51.4 juta, dia masih menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikal Enzo Maresca yang lebih tersusun.

Ketiadaan Nicolas Jackson yang terpaksa berehat hingga April akibat kecederaan hamstring membuka peluang untuk Neto beraksi sebagai penyerang tengah. Ketika menentang Aston Villa, dia mempamerkan aksi positif walaupun Chelsea tewas 2-1. Dalam perlawanan menentang Southampton yang lebih lemah, Neto menunjukkan potensinya dengan lebih jelas.

Pada awal perlawanan, dia beraksi sebagai penyerang nombor 9 tradisional, tetapi kemudian bergerak lebih bebas, bertukar posisi dengan Christopher Nkunku dan Jadon Sancho. Pergerakan ini membuka ruang untuk Nkunku melakukan hantaran bijak kepada Neto yang kemudiannya melepaskan rembatan padu untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Neto melengkapkan separuh masa pertama dengan hantaran silang cantik yang ditanduk masuk oleh Levi Colwill. Ia merupakan kali pertama Neto mencatatkan 1 gol dan 1 bantuan dalam 1 perlawanan untuk Chelsea. Ia menandakan perkembangan positif dalam penyesuaiannya di kelab baharu ini.


Adakah Penyudah Palmer Jadi Masalah?

“Masalahnya ialah kami terlalu bergantung pada Cole untuk segala-galanya…”

Kenyataan Enzo Maresca ini jelas menunjukkan kebimbangannya terhadap kebergantungan Chelsea kepada Cole Palmer. Dalam perlawanan menentang Southampton, Palmer tidak beraksi seperti biasa, beberapa percubaan yang kurang berkesan.

Dalam satu situasi satu lawan satu dengan Aaron Ramsdale, rembatan Palmer tepat ke arah penjaga gol. Satu lagi percubaan rendahnya tersasar manakala dalam separuh masa pertama, dia tergelincir ketika cuba melakukan rembatan. Kejadian itu mengulangi insiden ketika Chelsea kalah  kepada Aston Villa.

Chelsea tidak boleh hanya bergantung kepada Palmer untuk mencipta peluang dan menjaringkan gol. Pemain seperti Christopher Nkunku, Pedro Neto dan Jadon Sancho juga mempunyai keupayaan untuk menyumbang sesuatu tetapi mereka perlu lebih konsisten.

Walaupun Southampton bukan lawan yang sukar, Chelsea harus mengekalkan prestasi ini menjelang pertemuan dengan Leicester City pada 9 Mac, sebelum menghadapi cabaran yang lebih besar dalam saingan akan datang.

BACA:  FA Cup 2021/22: Liverpool 0-0 Chelsea (Penalti 6-5)