Penganalisa bola sepak tersohor, Gary Neville berkata Manchester United tidak boleh terburu-buru memecat Jose Mourinho selepas dimalukan Tottenham Hotpurs di hadapan penyokong sendiri awal pagi tadi.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut Manchester United walaupun Liga Perdana Inggeris baru sahaja memasuki 3 perlawanan. Minggu lalu, Brighton & Hove Albion mencalar ego Red Devils apabila mencatatkan kemenangan 3-2 dan memberikan kekalahan pertama Mourinho musim ini.
Kali terakhir United tewas dua dari 3 perlawanan awal adalah pada tahun 1992. Dalam perlawanan ke-3 liga yang berlangsung di Old Trafford awal pagi tadi, Tottenham mengejutkan pasukan tuan rumah dengan menjaringkan 3 gol pada babak kedua untuk meneruskan rekod sempurna mereka dalam liga setakat ini.
Penyerang antarabangsa England, Harry Kane berjaya menanduk masuk gol pertama Spurs pada awal babak kedua menerusi sepakan sudut pertama yang diperolehi mereka dalam perlawanan tersebut.
Pemain sayap Brazil, Lucas Moura merupakan pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan dua gol selepas itu untuk memberikan kemenangan 3-0 kepada Tottenham. Dengan kekalahan ini, United kini berada di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris dengan mengutip hanya 3 mata.
Walaupun mencatatkan permulaan yang buruk, bekas pemain Manchester United dan England, Gary Neville percaya Mourinho masih lagi individu yang tepat untuk membimbing United musim ini. Neville memberi amaran United tidak boleh berterusan menukar pengurus setiap kali keputusan di atas padang tidak berpihak kepada mereka.
Mourinho merupakan pengurus ke-3 yang dilantik Manchester United sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan pasukan tersebut pada tahun 2013. David Moyes dan Louis Van Gaal dibawa masuk untuk mengemudi Red Devils selepas itu tetapi trofi Liga Perdana Inggeris masih lagi gagal untuk dibawa kembali ke Old Trafford.
“Kita lihat bagaimana Louis Van Gaal dipecat walaupun beliau berjaya memenangi Piala FA. Kita juga melihat David Moyes dipecat walaupun liga masih mempuyai baki 4 perlawanan. Disebabkan itu, Manchester United bukan lagi sebuah kelab yang mengukur kejayaan berdasarkan sejarah lampau.”
“Saya akui kita berada di masa yang berlainan dan mempunyai cabaran yang berlainan. Tetapi berdasarkan pandangan jujur saya mengenai perkara ini, Ed Woordward baru sahaja memberikan kontrak baru kepada Mourinho musim lepas dan Mourinho patut diberi peluang untuk menamatkan kontraknya di sini.”
“Anda tidak boleh sentiasa menukar pengurus. Saya ada dengar cerita mengenai sindrom ‘tahun ke-3’ Mourinho. Kita tidak boleh menolak cerita ini kerana ia pernah berlaku sebelum ini.”
“Apa yang ingin saya perkatakan di sini adalah sudah tiba masanya untuk Manchester United mempersiapakn diri bagi menghadapi waktu yang sukar di hadapan. Jose Mourinho dan Ed Woordward perlu menyelesaikan segala permasalahan, jika wujud masalah di antara mereka.”
“Persiapkan pasukan ini untuk menghadapi musim ini kerana kelab lebih besar dari mana-mana individu. Mereka perlu menyelesaikan segala masalah kerana ini bukan masanya untuk melayan pergaduhan dalaman dan juga politik.”