Newcastle Hilang Arah di Etihad: Kekalahan Yang Menyedarkan Mereka

Newcastle kembali ke realiti di Etihad.

Eddie Howe menyebut perlawanan ini sebagai “permulaan kepada tempoh yang penting,” tetapi jika kekalahan di Etihad adalah ukuran sebenar, Newcastle mendapat isyarat yang jelas – mereka masih jauh ketinggalan.

Dalam musim penuh kejutan, Newcastle telah mencipta sejarah apabila menang di tempat yang sukar. Namun, di Stadium Etihad mereka kembali ke kebiasaan lama – kalah dengan cara yang menyakitkan. Pengajarannya mudah: jika tidak bermain dengan penuh semangat, mereka tidak akan dapat apa-apa.

Kekalahan ini bukan sesuatu yang luar biasa. Ini adalah kali ke-16 berturut-turut mereka kalah di gelanggang Manchester City dalam saingan Liga Perdana. Sepanjang tempoh itu, mereka pernah dibelasah teruk, pernah juga cuba bertahan tetapi tetap gagal dan pernah cuba menyerang tetapi berakhir dengan kekecewaan. Ada juga perlawanan di mana mereka seolah-olah sudah mengalah sebelum wisel penamat ditiup.

Perlawanan kali ini jatuh dalam kategori yang terakhir – pasukan yang kelihatan tidak bermaya sejak awal perlawanan. City mengawal permainan dari sepak mula dan tidak memberi peluang langsung kepada Newcastle.

Ia bukan perkara baru tetapi kali ini Newcastle benar-benar tidak kelihatan berada dalam perlawanan. Mereka hanya menunggu peluang menyerang tetapi kehilangan bola dengan mudah.

Apabila mereka mara ke hadapan, mereka membuka ruang besar di belakang yang mudah dieksploitasi oleh City. Bahagian tengah tidak berfungsi manakala bahagian serangan tumpul.

Sebelum ini, Newcastle berjaya bangkit di tempat-tempat sukar seperti Old Trafford dan Emirates, tetapi kali ini semuanya musnah dengan 4 gol pantas dari Omar Marmoush pada babak pertama.

Mereka bukan sekadar gagal menyaingi City tetapi seolah-olah ‘tidak hadir’ langsung di atas padang. Pep Guardiola mungkin menjangkakan perlawanan yang lebih sengit selepas melihat Newcastle menekan Arsenal dalam separuh akhir Piala Carabao 10 hari lalu.

Persembahan ini mengingatkan aksi buruk Newcastle ketika tewas kepada Brentford pada 7 Disember. Kekalahan itu akhirnya mencetuskan kebangkitan Newcastle apabila mencatat 9 kemenangan berturut-turut.

Mereka juga pernah bermain lesu di tempat sendiri menentang Bournemouth dan Fulham. Tetapi kali ini lebih teruk, lebih mengecewakan kerana mereka sebelum ini berada di kedudukan yang setaraf dengan City dalam carta liga. Mereka seperti sudah menyerah sebelum perlawanan bermula.

“Sangat sukar untuk ditonton,” kata Howe.

“Kami sentiasa lambat bertindak,” tambahnya. “Kami memberi terlalu banyak ruang kepada pemain City. Saya tahu ramai bercakap tentang rekod cemerlang City tetapi bagi saya, mereka tetap pasukan terbaik di Liga Perdana apabila menguasai bola. Kami tidak cukup bersaing, tidak cukup agresif. Kami tewas terlalu banyak pertarungan. Akhirnya, inilah sebab kami kalah.”

Kalau tidak boleh menandingi mereka dengan permainan sekurang-kurangnya lawan dengan lebih bersungguh-sungguh.

Kekalahan ini menamatkan minggu di mana penyokong Newcastle berebut membeli tiket perlawanan akhir piala. Walaupun mereka telah menang 12 daripada 15 perlawanan dalam semua kejohanan, Liga Perdana tetap memberi cabaran yang berbeza.

Ia merupakan kekalahan ke-3 dalam 4 perlawanan terakhir Newcastle, dengan satu-satunya kemenangan ketika menentang Southampton.

Kini mereka jatuh ke tangga ke-7. Selepas ini Nottingham Forest (tempat ke-3) menanti di St James’ Park sebelum bertemu pendahulu liga Liverpool. Jika Newcastle berjaya menjuarai piala musim ini, mereka mungkin dapat melupakan masalah di liga.

Pemain seperti Alexander Isak, Bruno Guimarães dan Anthony Gordon percaya mereka layak bermain di Liga Juara-Juara. Tetapi berdasarkan persembahan di Etihad, mereka masih belum cukup bagus. Jika mereka hilang fokus di liga, momentum mereka akan lenyap dan bukan persiapan terbaik sebelum berdepan Liverpool di Wembley.

“Jika itu berlaku, kami dalam masalah kerana musim liga akan tamat sebelum final itu tiba,” kata Howe. “Kami tak boleh biarkan ia mengganggu fokus. Ia sepatutnya memberi motivasi bukan gangguan.”

“Kami perlu kembali bekerja. Sudah 3 perlawanan Liga Perdana di mana kami tidak cukup bagus. Ada persamaan dalam semua perlawanan itu, jadi minggu depan kami perlu kembali kepada asas.”

Tiada keajaiban, hanya kekecewaan. Laman web penyokong, nufc.com meletakkan tajuk utama: “Etibad”, satu kata yang menggambarkan kekalahan ini dengan tepat.

Newcastle kini gagal menjaringkan gol liga di Etihad selama 10 jam permainan. Mereka hanya mengutip 2 mata daripada 60. Satu-satunya percubaan tepat mereka kali ini datang daripada pemain berusia 18 tahun, Lewis Miley, yang dimasukkan pada separuh masa kedua. Sekurang-kurangnya Miley berusaha keras.

“Sesetengah pemain kita perlu belajar daripadanya,” kata Howe. “Dia yang paling bekerja keras.”

Tempoh yang menentukan? Masih boleh jadi.

“Saya perlu jadikan perlawanan ini satu pengajaran,” kata Howe.

“Kami belajar banyak tentang apa yang tidak patut dilakukan. Kami kalah dalam pertarungan, kalah dari segi fizikal dan tidak cukup bagus dengan bola.”

“Kami langsung tidak mengancam lawan. Bila kami bermain sebegini sebelum ini, kami selalu memberikan tindak balas yang baik tetapi ketidakkonsistenan ini amat membimbangkan.”

Perlawanan ini sepatutnya berbeza. Tetapi seperti biasa di Etihad, Newcastle mendapat apa yang mereka layak.

BACA:  Manchester City Mulakan Rundingan Dengan Arsenal Berkenaan Alexis Sanchez