Apa yang Newcastle Pelajari daripada ‘Latihan’ Final Piala Carabao?
Jika perlawanan ini dianggap sebagai ‘latihan’ bagi Newcastle United sebelum final Piala Carabao bulan depan, mereka harus berharap segala-galanya berjalan lancar pada malam sebenar.
Liverpool sudah pun menjadi pilihan utama untuk memenangi trofi. Cara mereka menewaskan Newcastle dengan begitu mudah tanpa perlu berusaha keras, hanya mengukuhkan lagi jangkaan tersebut.
Keputusan yang Sudah Dijangka
Newcastle sebenarnya bermain dengan baik dalam kekalahan 2-0 itu terutama di bahagian tengah padang. Mereka bersaing dengan baik dan tidak menyerah kalah seperti yang berlaku di Etihad awal bulan ini.
Namun, apa yang paling mengecewakan adalah keputusan perlawanan yang sudah boleh dijangka. Sejak 31 tahun lalu Newcastle gagal menang dalam 29 kunjungan Liga Perdana ke Anfield sejak. Eddie Howe belum mencatat kemenangan dalam 8 perlawanan menentang Liverpool. Sejak awal, semua orang sudah menjangkakan Newcastle akan tewas di Merseyside dan itulah yang berlaku.
Harapan Howe untuk Final di Wembley
Namun, Howe tidak akan membiarkan pemikiran negatif menguasai dirinya. Dia tahu bahawa jika semua pemainnya cergas dan tersedia, Newcastle memiliki kesebelasan utama yang mampu menewaskan mana-mana pasukan dalam liga, termasuk pendahulu liga. Untuk melakukannya, Newcastle “perlu berada pada tahap hampir sempurna”, menurut Howe.
“Setiap kali anda menentang pasukan lawan, anda akan belajar sesuatu yang baru,” kata Howe selepas perlawanan. “Kami pasti akan mengambil beberapa pengajaran.”
Mereka juga mungkin memerlukan elemen kejutan, sebab itulah pemilihan pemain dan pendekatan Howe cukup menarik.
Adakah Howe Bermain Permainan Minda?
Sebelum perlawanan, Howe menegaskan bahawa dia “tidak pandai bermain poker”. Dia juga menafikan bahawa dia cuba menyembunyikan taktikalnya, sebaliknya mengutamakan perlawanan ini kerana ia penting dalam usaha Newcastle merebut slot Liga Juara-Juara.
Namun, pengurus Liverpool, Arne Slot, tidak yakin.
“Saya melihat Newcastle yang berbeza berbanding ketika kami menentang mereka beberapa bulan lalu,” kata Slot kepada TNT Sports. “Jadi kami boleh menjangkakan sesuatu yang berbeza dalam beberapa minggu lagi.”
Permainan minda sudah pun bermula.
Eksperimen Howe Gagal
Perubahan strategi Newcastle sebahagiannya dipengaruhi oleh kecederaan Alexander Isak, yang mengalami masalah kecil pada pangkal paha. Namun, ada spekulasi bahawa jika perlawanan ini adalah perlawanan akhir, penyerang Sweden itu mungkin tetap akan diturunkan.
Tanpa Isak, Eddie Howe menurunkan Callum Wilson dalam kesebelasan utama untuk kali pertama sejak 4 Mei lalu. Dia juga menukar formasi pasukan daripada 4-5-1 kepada 4-4-2 untuk membolehkan Anthony Gordon memberi tekanan lebih tinggi kepada lawan. Howe menjelaskan bahawa perubahan ini hanya dibuat pada hari perlawanan selepas Isak mengesahkan bahawa dia tidak dapat bermain sekitar tengah hari.
Sekiranya Isak cergas untuk perlawanan akhir, Newcastle pasti tidak akan menggunakan taktik ini di Wembley. Eksperimen ini jelas tidak berjaya. Newcastle gagal menunjukkan ketajaman di hadapan gol, dengan hanya 3 percubaan dan tiada satu pun yang tepat ke sasaran.
Formasi Mana yang Lebih Sesuai?
Ada penyokong yang mencadangkan Newcastle kembali menggunakan tiga pertahanan tengah, seperti ketika mereka menang ke atas Arsenal. Namun, taktik ini mungkin kurang sesuai untuk menentang Liverpool kerana pasukan itu tidak menggunakan penyerang utama tradisional. Oleh itu, formasi 4-3-3 dilihat sebagai pilihan yang lebih baik untuk perlawanan akhir.
Namun, apa yang lebih penting daripada formasi ialah sama ada pemain utama boleh beraksi atau tidak.
Newcastle Perlukan Pemain Utama di Wembley
Newcastle tidak membawa masuk pemain berkualiti dalam 3 jendela perpindahan terakhir, jadi mereka tidak boleh kehilangan pemain utama untuk perlawanan akhir ini.
Pada musim ini Isak telah menjaringkan 21 gol. Dalam 3 perlawanan liga yang dia terlepas, Newcastle hanya mampu menjaringkan 1 gol. Walaupun Wilson mungkin lebih tajam selepas mendapat lebih banyak minit permainan, dia tidak memberi ancaman yang sama seperti Isak.
Isak berpotensi memberi masalah kepada Virgil van Dijk, sesuatu yang jarang dilakukan oleh penyerang lain. Prestasinya yang cemerlang menjadikannya pemain paling penting dalam usaha Newcastle menjulang trofi.
Selain Isak, Joelinton dan Sven Botman juga tidak diturunkan. Howe sebelum ini berkata mereka “hampir cergas”, tetapi selepas perlawanan dia mengakui bahawa mereka sebenarnya tidak pernah dirancang untuk bermain. Ini menunjukkan bahawa dia mungkin cuba bermain permainan minda.
Newcastle jelas merindui Joelinton yang mampu memberi kekuatan di bahagian tengah, serta Botman yang bijak mengawal bola di barisan pertahanan. Kehadiran mereka berdua di Wembley akan menjadi faktor penting untuk kejayaan pasukan.
Newcastle Tidak Boleh Bolos Gol Mudah
Newcastle perlu memulakan perlawanan dengan lebih baik. Jika mereka membenarkan Liverpool menjaringkan gol awal, peluang untuk bangkit semula akan menjadi sangat sukar. Dalam 5 daripada 6 perlawanan terakhir, Newcastle telah bolos terlebih dahulu.
Mereka juga tidak boleh mengulangi kesilapan dengan memberikan gol mudah kepada Liverpool seperti yang berlaku di Anfield.
“Kami tidak sepatutnya bolos dalam situasi seperti itu,” kata Howe, mengkritik pemainnya kerana gagal “menanda pemain lawan dengan betul”.
Kesilapan individu jelas memberi kesan besar. Sandro Tonali gagal mengawal Dominik Szoboszlai sehingga menyebabkan gol pertama Liverpool, manakala bahagian tengah Newcastle juga lambat bertindak ketika Alexis Mac Allister menjaringkan gol kedua.
Penjaga gol utama, Nick Pope yang baru kembali dalam kesebelasan utama turut kelihatan kurang meyakinkan dan mungkin boleh bertindak lebih baik untuk menghalang gol pertama Liverpool. Newcastle tidak boleh terganggu dengan isu pemilihan penjaga gol utama, jadi Pope perlu segera meningkatkan prestasinya untuk memastikan pasukan tidak terus dihukum.
Kelebihan Newcastle yang Boleh Dimanfaatkan
Walaupun Mohamed Salah berjaya mencipta satu bantuan gol, Lewis Hall sekali lagi tampil sebagai pemain terbaik Newcastle apanila berjaya mengawal pergerakan bintang Mesir itu. Jika Hall dapat mengekalkan prestasi cemerlangnya di final, Newcastle berpeluang untuk memberi tentangan sengit.
Selain itu, Newcastle menunjukkan peningkatan dalam kedua-dua penghujung babak pertama dan kedua, walaupun masih kurang tajam di bahagian serangan. Sebaliknya, Liverpool kelihatan keletihan selepas bermain 5 perlawanan dalam tempoh 15 hari.
Pengurus Liverpool, Arne Slot percaya pasukannya akan lebih segar pada bulan depan. Namun, mereka perlu berdepan 2 perlawanan sukar dalam Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain dan perlawanan kedua berlangsung hanya 5 hari sebelum final.
Jika Liverpool keletihan di Wembley, Eddie Howe yakin Newcastle boleh mengambil kesempatan atas situasi itu.
“Kami telah menunjukkan bahawa kami mampu menyakiti mereka dalam perlawanan 3-3 di tempat sendiri,” kata Howe. “Ketika itu, kami bermain sangat baik dalam serangan. Kali ini kami kurang menyerlah tetapi prestasi keseluruhan masih baik. Harapnya, di Wembley, kami dapat menggabungkan kedua-duanya.”
Newcastle gagal mencapai kesempurnaan dalam ‘latihan’ mereka di Anfield. Namun, jika mereka mahu menjulang trofi di Wembley, kesempurnaan itulah yang perlu mereka capai.