Nilai Pendapatan Sadio Mane Bersama Bayern Munich Telah Didedahkan

Sadio Mane pada ketika ini akan menikmati kenaikkan gaji yang sangat lumayan selepas beliau melengkapkan perpindahannya menyertai Bayern Munich.

Mane yang kini sudah berusia 30 tahun itu dijangka akan menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama gergasi Bundesliga itu.

Liverpool sendiri sudah menerima tawaran bernilai £35.1 juta dari Bayern Munich untuk melepaskan pemain penyerang utama mereka itu.

Menurut sumber laporan dari The Mirror, Mane dijangka akan menerima pendapatan bernilai £250,000 seminggu di Allianz Arena.

Ia sebenarnya kadar kenaikkan gaji yang sangat tinggi berbanding apa beliau terima ketika kariernya bersama Liverpool sebelum ini.

Bersama Liverpool, Sadio Mane dilaporkan hanya menerima pendapatan bernilai £100,000 sahaja dan bersama Bayern Munich beliau menerima kenaikkan lebih satu kali ganda.

Kontrak Mane bersama Liverpool sebenarnya hanya berbaki setahun sahaja lagi dan The Reds sendiri sebenarnya berjaya mencipta keuntungan yang sangat banyak selepas menjual bintang Senegal itu dengan nilai £35 juta sedangkan beliau boleh pergi sebagai pemain bebas ejen pada musim panas akan datang.

Mane dan Liverpool sendiri sebelum ini telah mengadakan rundingan berkait tawaran kontrak baru untuk pemain penyerang itu.

Rundingan tersebut walau bagaimanapun berakhir dengan kegagalan dan kerana itulah Mane memutuskan untuk meneruskan kariernya di Jerman.

Bekas pemain penyerang Southampton itu dilaporkan meminta Liverpool supaya menaikkan gajinya kepada £400,000 seminggu dan permintaan beliau itu telah ditolak mentah-mentah oleh finalis saingan Champions League itu.

Seandainya Liverpool menerima permintaan dari Sadio Mane itu, maka bintang Senegal itu bakal menjadi penerima gaji tertinggi dalam saingan Premier League.

Mohamed Salah yang kini turut masih berunding dengan Liverpool berkait kontrak barunya itu juga dilaporkan meminta nilai yang sama seperti yang Mane pernah minta sebelum ini.

Dengan kontraknya hanya berbaki setahun sahaja lagi, Mo Salah sepertinya akan meninggalkan Liverpool sebagai pemain bebas ejen pada musim panas akan datang.

Salah sendiri pada ketika ini sudahpun menjadi penerima gaji tertinggi di Anfield bersama Virgil Van Dijk dan Thiago Alcantara.

Bintang Mesir itu bersama Thiago Alcantara dilaporkan menerima gaji bernilai £200,000 seminggu sementara Virgil Van Dijk pula menerima £220,000 seminggu.

Sadio Mane dijangka akan melengkapkan perpindahan beliau menyertai Bayern Munich pada minggu hadapan sebaik beliau selesai melakukan medical bersama gergasi Bundesliga itu.

Walau bagaimanapun, bekas penyerang Wales dan Liverpool, Dean Saunders baru-baru ini tampil memberi amaran kepada Sadio Mane kerana mahu meninggalkan Liverpool.

Beliau mengingatkan Mane yang bintang Senegal itu mungkin akan menyesal meninggalkan Anfield kerana beliau sedang berada di kemuncak kariernya bersama Liverpool pada ketika ini.

Bercakap kepada talkSPORT, beliau mendedahkan bahawa:

“Tidak ada masalah dengan kelab, ia kelab yang hebat, tapi liga mereka itu tak mencabar untuk Mane. Dia akan mampu menjaringkan gol, mereka menang 5-0 setiap minggu, hanya mereka sahaja yang mampu menang liga.”

“Itu bukan satu cabaran. Dia akan dapat kerusi rehat, nyalakan cigar, dia hanya perlu gunakan gear tiga bersama Bayern. Dia akan bazirkan dua tahu terbaik dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.”

Saunders turut menambah lagi dengan menyatakan:

“Di hujung kariernya nanti, jika dia kata kepada kamu, ‘Datang dan lihat kabinet piala saya.’ kamu akan nampak banyak piala dari Jerman yang terlalu mudah untuk dia dapat tu ada bersama dia.”

Pemergian Sadio Mane jelas sekali satu kehilangan yang besar untuk Liverpool walaupun mereka kini sudah berjaya mendapatkan Darwin Nunez sebagai pengganti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Sejarah Permusuhan Manchester United Dan Liverpool Bukan Sekadar Bola Sepak