Paris Saint-Germain Kini Pasukan Wajib Ditonton – Terima Kasih kepada Luis Enrique

PSG Kini Berwajah Baru – Larian, Semangat dan Luis Enrique

Sebelum perlawanan satu perkara yang paling diingati tentang Paris Saint-Germain (PSG) adalah betapa rajin dan kuatnya mereka berlari.

Dalam 120 minit perlawanan menentang Liverpool, pasukan dari Perancis itu berlari lebih jauh daripada pasukan jaguh dari Liga Perdana Inggeris.

Walaupun jarak larian bukanlah faktor utama menentukan kemenangan, hakikat bahawa PSG berlari lebih banyak daripada Liverpool adalah sesuatu yang tidak pernah terbayang beberapa tahun lalu.

Dulu, Liverpool terkenal dengan heavy metal football yang agresif, manakala PSG pula lebih dikenali kerana pemain mereka yang malas bertahan.

Namun, apabila Desire Doue menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk memastikan kemenangan 4-1 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat agregat 1-1, reaksi pemain PSG cukup berbeza.

Mereka tidak berlari ke arah satu sama lain, tetapi ke arah penyokong mereka. Inilah PSG yang baru. PSGyang lebih bersatu antara pemain dan penyokong.

Pemilik kelab, Nasser Al-Khelaifi, merumuskan perubahan ini dengan penuh bangga.

“Musim ini, bintang sebenar adalah pasukan.” Malah, apabila ditanya siapa pemain terbaik dalam perlawanan itu, dia menjawab, “Saya tak tahu – semuanya!”

Akhirnya, PSG menyedari bahawa bola sepak adalah sukan berpasukan bukan sekadar pertunjukan bintang ternama.

Dari Pasukan Bintang yang Tidak Bersatu kepada Pasukan Berjiwa Besar

Beberapa tahun lalu, PSG lebih terkenal dengan drama di luar padang berbanding kehebatan di atas padang. Penyokong mereka pernah mengejek Lionel Messi dan Neymar, 2 pemain terbaik abad ini.

Malah, Kylian Mbappé sendiri tidak terlepas daripada kritikan. PSG sering bermain dalam formasi pelik “7-0-3” apabila kehilangan bola. 7 pemain bertahan, 3 yang lain sekadar menonton dari jauh. Taktik ini mungkin cukup untuk mendominasi Ligue 1 tetapi dalam Liga Juara-Juara, mereka sering tersungkur.

Kini, PSG tampil dengan pendekatan baru. Pemain mereka lebih berdisiplin, lebih bersemangat dan kurang ego. Malah, pemain baharu yang mahal seperti Khvicha Kvaratskhelia pun sanggup berlari ke belakang untuk melakukan terjahan dan meraikannya seperti baru menjaringkan gol. Kunci utama pasukan ini? Bahagian tengah mereka.

Fabian Ruiz, bintang Sepanyol dalam Euro 2024 kini menjadi pemain tengah berpengalaman yang menambah kekuatan fizikal.

Vitinha pula seorang perancang bertahan yang sangat tenang, manakala Joao Neves menggabungkan kawalan bola yang kemas dengan tenaga luar biasa.

Bahagian tengah Liverpool, yang biasanya dominan di Liga Perdana sering kali kehilangan bola dalam 2 perlawanan menentang PSG. Namun, PSG tetap memerlukan sepakan penalti untuk mara.

“Perlawanan pertama milik Alisson, perlawanan kedua milik (Gianluigi) Donnarumma,” kata Luis Enrique, jurulatih PSG.

Donnarumma mungkin antara sisa-sisa “PSG lama” yang masih tinggal, seorang penjaga gol hebat dalam menyelamatkan percubaan tetapi kurang baik dalam aspek permainan pasukan.

Di Anfield, terutamanya dalam separuh masa pertama, sepakannya sering tersasar dan meletakkan PSG dalam tekanan. Tapi apabila dia berdepan sepakan penalti, dia berubah menjadi dinding yang cukup kebal.

Ingat Euro 2020? Dialah wira Itali yang membantu pasukan itu menang dalam 2 penentuan sepakan penalti.

Ketika Donnarumma menyelamatkan sepakan Curtis Jones, Luis Enrique terus melompat memeluknya, mungkin dia teringat bagaimana dia sendiri pernah kalah kerana kehebatan Donnarumma semasa melatih Sepanyol di Euro 2020.

Ironinya, PSG di bawah Enrique sekarang mirip Sepanyol ketika itu, bukan pasukan penuh bintang besar tetapi pasukan yang bermain dengan kemas dan tersusun.

PSG Kini Bukan Sekadar Kelab Kaya

Dalam dekad terakhir, PSG sukar untuk disukai oleh peminat bola sepak neutral. Namun, 2 perlawanan menentang Liverpool telah mengubah persepsi tersebut. Bahkan kapten Liverpool, Virgil van Dijk terpaksa mengakui bahawa ini adalah “satu perlawanan bola sepak yang hebat,” manakala Arne Slot, jurulatih Liverpool, berkata,

“Ini adalah perlawanan terbaik yang pernah saya sertai. Kedua-dua pasukan berada di tahap luar biasa… Jika kami perlu tersingkir, sekurang-kurangnya biarlah dengan cara ini – bertarung habis-habisan menentang salah satu pasukan terbaik di Eropah.”

Seterusnya, PSG mungkin akan berdepan Aston Villa, jika pasukan England itu berjaya melepasi Club Brugge. Ironinya, Villa dikendalikan oleh Unai Emery – bekas jurulatih PSG yang mengalami detik pahit ketika mereka tewas 6-1 kepada Barcelona dalam Remontada 2017, ketika Barca masih dipimpin oleh… ya, Luis Enrique.

Dulu, kebanyakan peminat bola sepak neutral akan memilih Villa untuk menewaskan PSG. Mungkin masih ada yang begitu, kerana PSG tetap kelab kaya yang dimiliki oleh pemilik dari Timur Tengah.

Tapi satu perkara pasti – kali ini, orang akan menonton PSG bukan kerana nama besar pemain mereka, tetapi kerana mereka bermain bola sepak yang menghiburkan, penuh gerakan pantas dan kerjasama berpasukan.

“Kami telah menunjukkan siapa kami sebenarnya,” kata Enrique selepas perlawanan. “Kami adalah pasukan yang tetap menyerang, di mana sahaja kami bermain, tanpa pernah menyerah. Itulah PSG yang baru.”

BACA:  Ince: Kehilangan Coutinho Merupakan Perkara Terbaik Yang Mampu Terjadi Kepada Liverpool