Kadangkala, perubahan hanya mengambil masa beberapa minggu sahaja untuk membuktikan sesuatu.
Antony meninggalkan Manchester United pada 25 Januari. Pada ketika itu, dia dikenali sebagai bahan jenaka berbanding seorang pemain bola sepak. Pemain Brazil itu menjadi simbol kepada segala masalah di Old Trafford. Tiada hala tuju, tiada matlamat yang jelas dan tiada perancangan jangka panjang. Rakaman Antony melakukan gerakan stepover tanpa hasil menjadi gambaran tepat tentang kekalutan kelab.
Namun pada 20 Februari, Antony mendakwa dirinya telah “menemui semula” keupayaannya. Dia berjaya menjaringkan 3 gol dalam 4 perlawanan pertamanya bersama Real Betis. Pengurusnya, Manuel Pellegrini memuji kebolehannya. “Dia pemain yang cukup berkualiti,” katanya. Pellegrini sendiri bingung mengapa Antony begitu teruk ketika di United.
Corak yang Sama Berulang?
Kisah ini bukan yang pertama terjadi.
David de Gea melalui pengakhiran yang menyedihkan di United, sehingga dia sendiri meragui sama ada dia mahu bermain lagi atau tidak. Kini, di Fiorentina dia disanjung sebagai penjaga gol yang menakjubkan.
Marcus Rashford pula dikritik hebat sepanjang musim ini. Ramai yang menyalahkannya atas masalah United. Mereka mendakwa dia tidak berada dalam keadaan fizikal dan mental yang sesuai untuk bermain di bawah Ruben Amorim. Tetapi sejak dipinjamkan ke Aston Villa pada Januari, dia dengan mudah mencipta peluang gol untuk Marco Asensio.
Dua persoalan besar timbul daripada situasi ini.
Pertama, mengapa Manchester United seolah-olah ‘menghancurkan’ karier pemainnya sendiri?
Kedua, adakah pasukan yang terdiri daripada pemain yang dibuang atau dijual oleh United mampu mengalahkan pasukan United sekarang?
Eksperimen: Pasukan ‘Buangan’ United Lawan United Semasa
Sudah tentu, ini hanyalah teori. Tiada bukti saintifik. Namun, kita boleh membayangkan satu perlawanan antara United yang sedang bergelut di liga dan pasukan yang terdiri daripada pemain yang telah disingkirkan oleh kelab itu
Sebagai permulaan, berikut adalah pasukan ‘buangan’ Manchester United yang akan kita gunakan dalam eksperimen ini:
Benteng yang Rapuh?
David de Gea, yang kini cemerlang bersama Fiorentina akan mengawal gawang. Namun, United tidak mempunyai ramai bek tengah berkualiti tinggi untuk dijual dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Raphael Varane mungkin pilihan terbaik tetapi selepas hanya bermain 23 minit untuk Como musim ini, dia mengalami kecederaan lutut dan akhirnya bersara. Oleh itu, dia tidak akan dimasukkan dalam pasukan ini.
Sebaliknya, kita akan menggunakan gandingan Eric Bailly dan Axel Tuanzebe di bahagian bek-tengah. Bailly kini cuba menghidupkan semula kariernya di Villarreal selepas melalui tempoh yang sukar di Besiktas. Tuanzebe pula, walaupun lebih cenderung bermain sebagai bek kanan telah beraksi sebagai bek tengah beberapa kali untuk Ipswich Town.
Nasib baik, bahagian bek sisi pasukan ini lebih kuat.
Aaron Wan-Bissaka yang kini bersama West Ham, telah menjadi antara pemain terbaik kelab itu pada musim ini. Di sebelah kiri, Alvaro Carreras pemain muda Sepanyol yang dijual kepada Benfica, menawarkan kelebihan dalam serangan. Walaupun United mempunyai pilihan untuk membelinya semula pada Januari, mereka memilih untuk mendapatkan Patrick Dorgu sebagai gantinya – satu keputusan yang dipersoalkan.
Jentera Tengah yang Mantap
Scott McTominay kini menjadi pemain kegemaran penyokong Napoli di bawah bimbingan Antonio Conte. Pemain yang digelar Braveheart itu dianggap sebagai penggerak utama pasukam itu untuk mencabar kejuaraan Serie A.
Di sampingnya, Andreas Pereira kini menjadi tonggak utama Fulham, sebuah pasukan yang bermain lebih baik daripada United musim ini.
Angel Gomes, yang pernah menjadi pemain paling muda United sejak Duncan Edwards juga layak disenaraikan. Dia kini berkembang menjadi pemain tengah berkualiti bersama Lille dan telah mewakili England. Sebagai pilihan lebih defensif, James Garner dari Everton juga boleh dimasukkan.
Barisan Serangan yang Tajam
Dalam serangan, beberapa pemain akan terpaksa diketepikan.
Mason Greenwood, walaupun menjaringkan 15 gol untuk Marseille di Ligue 1 tidak akan disertakan atas sebab moral.
Jadon Sancho, yang gagal memberi impak besar di Chelsea, hanya akan berada di bangku simpanan. Sebaliknya, Antony yang kini sedang bersinar di Real Betis dan Anthony Elanga yang cemerlang bersama Nottingham Forest akan mengisi bahagian sayap.
Di bahagian serangan, Marcus Rashford akan diletakkan sebagai penyerang utama. Prestasi awalnya di Aston Villa menunjukkan bahawa semua yang dia perlukan hanyalah perubahan persekitaran, pengurus yang menyokongnya dan sedikit motivasi untuk dia membuktikan sesuatu.
Untuk memperkuatkan bangku simpanan, Donny van de Beek (Girona) boleh memberikan kawalan permainan, Daniel James (Leeds) menawarkan kepantasan dan Teden Mengi memberikan pilihan tambahan di pertahanan. Di posisi penjaga gol, terdapat Matej Kovar (Bayer Leverkusen) dan Dean Henderson (Crystal Palace) sebagai sandaran kepada De Gea.
Bolehkah Pasukan Ini Kalahkan United?
Pasukan ini sememangnya tidak sempurna. Mereka bukan pasukan yang mampu menjuarai Liga Perdana Inggeris atau mara jauh dalam Liga Juara-Juara.
Tetapi itu bukan matlamatnya.
Soalan sebenarnya ialah: bolehkah pasukan ini menewaskan Manchester United dalam satu perlawanan?
United kini berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris dan berdasarkan prestasi mereka, idea bahawa sekumpulan ‘buangan’ boleh mengalahkan mereka bukanlah sesuatu yang mustahil.
Itoninya, kedua-dua pasukan ini terdiri daripada pemain yang dianggap ‘tidak cukup baik’ untuk Manchester United. Bezanya, ada yang terus merudum di Old Trafford, manakala yang lain menemui semula sentuhannya selepas meninggalkan kelab.
Jadi, jika perlawanan ini benar-benar berlaku, siapa yang akan menang?